Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
20 September 2016 - Ceramah Perdana di Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu Kali Ke-VI

Oleh: Awang Osman bin Abu Bakar


Tidak diragukan lagi Islam adalah pembawa perubahan berupa kemakmuran di Alam Melayu. Malah Islam pemangkin global, menyinari seluruh alam, di mana rantau Alam Melayu adalah sebahagian daripadanya.


Kerana Islamlah, Alam Melayu, berjaya tampil sebagai sebuah temaddun yang gilang gemilang. Kerana Islamlah, umat Melayu berjaya membina pemerintahan, melaksanakan undang-undang, menyebarkan pendidikan dan merancakkan ekonomi.


Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika menyampaikan ucaptama selaku tetamu kehormat Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu Kali Ke-VI iaitu sebuah seminar kolaborasi anjuran bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA, Brunei Darussalam), Universiti Malaya (Malaysia), Universiti Prince Songkhla (Thailand), Universiti Islam Negeri Sunan Gunung Djati (Indonesia).


Seminar bertemakan “Islam Pemangkin Kemakmuran di Alam Melayu” itu diadakan di Auditorium UNISSA pada 18 Zulhijjah, 1437H. bersamaan 20 September, 2016M.


Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa tamaddun Melayu tumbuh dalam lingkungan sebuah wilayah yang luas di Asia Tenggara, yang dikenali dengan pelbagai nama, seperti gugusan kepulauan Melayu, atau gugusan kepulauan Melayu-Indonesia, atau Nusantara, atau Alam Melayu dan Tanah Jawi.


Istilah “Melayu”, tegasnya mempunyai maksud tersendiri. Setengah pengkaji, katanya memberikan dua makna: satu membawa makna rumpun bangsa (bangsa Melayu) yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa mereka, dan dua, merujuk kepada sifat Melayu dari sudut anutan, budaya dan jati diri.


Kedatangan Islam, katanya menjadikan tamaddun Melayu berubah wajah baru, isi dan kulitnya ditunjangi oleh Islam.


Menurut Yang Berhormat Pehin, terdapat banyak teori tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu. Ada yang cenderong mengatakan Islam datang ke rantau ini sejak dari abad ke-7 Masihi dibawa oleh para mubaligh dari semenanjung tanah Arab, sementara oleh para sejarawan Barat pula, mereka lebih yakin Islam telah datang ke rantau ini pada penghujung abad ke-13 Masihi, kira-kira diantara tahun 1292 hingga 1390 Masihi dibawa oleh para saudagar dari India dan China.


Menurut Yang Berhormat Pehin, yang penting ialah Islam sudah benar-benar wujud di Alam Melayu dan kewujudannya itu telah membawa sinar kepada Alam Melayu, dan diantara sinar yang sangat-sangat bermakna ialah “kemakmuran”.


Tetapi, tegas Yang Berhormat Pehin makmur di sini bukanlah semata-mata berupa hasil mahsul dalam bentuk kebendaan, seperti kaya wang, mewah benda, kereta dan rumah besar, bangunan tinggi mencakar langit dan sumpamanya yang beliau istilahkan sebagai baru makmur kulit, belum lagi makmur isinya. Sedangkan yang kita mahu, tegasnya ialah dua-dua sekali iaitu makmur kulit dan makmur isi.


“Makmur dengan ibadat dan ketaatan kepada Allah, itulah makmur menurut pendekatan al-Qur’an,” tegas Yang Berhormat Pehin.


“Alam Melayu dan bangsanya memilih Islam adalah setelah mendapat hidayah daripada Allah. Ini pasti, kerana tanpa hidayah, lidah dan hati tidak akan mampu bergerak untuk mengucapkan kalimah syahadah. Hidayah adalah muthlak daripada Allah,” tegasnya lagi.


Menurut Yang Berhormat Pehin, Alam Melayu dan bangsanya, bangsa Melayu, tidak syak lagi telah turut menerima hidayah dan Islam daripada Allah subhanahu wa Ta’ala, bukan daripada para mubaligh dari tanah Arab atau dari para saudagar dari India dan China. Adapun para mubaligh dan saudagar ini, katanya hanyalah sebab sahaja selaku pengantara untuk menyampaikan dakwah dan Islam itu.


Adalah wajar malah wajib bagi Alam Melayu dan bangsanya, tegas Yang Berhormat Pehin untuk bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wa Ta’ala kerana dikurniakan oleh Allah dengan Islam, suatu nikmat paling berharga dan agong, nikmat yang bernama nikmat Islam dan nikmat Iman.


Menurut Yang Berhormat Pehin, dengan bertapaknya Islam di alam Melayu, bermakna dunia Melayu sudah jadi makmur, sudah jadi kaya raya: kaya raya dengan rahmat, kaya raya dengan berkat dan kaya raya dengan cahaya ketuhanan.


“Tidak hebat bagaimanakah lagi Alam Melayu itu? Tidak istimewa bagaimanakah lagi dunia Melayu di sisi Allah? Ya hebat, bahkan istimewa. Bangsa Melayu juga dikurniakan kawasan yang sangat luas dengan jumlah penduduk yang amat ramai,” jelas Yang Berhormat Pehin.


Alam atau dunia Melayu, jelasnya tidak syak lagi memiliki ciri-ciri kehebatan dan kekuatan semula jadi. Umatnya yang berjumlah sangat besar, dijalin pula oleh satu bahasa namanya “Bahasa Melayu”.


Variasi dan dialek-dialek Melayu digunakan di Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura. Ia juga dituturkan di Thailand, di Filipina, di Kepulauan Cocos, di Laos dan Sri Lanka.


Ciri-ciri ini, katanya mampu untuk bangsa ini menibarkan kuasa dan pengaruhnya, tetapi dengan syarat, mereka mesti bersatu.


Menurutnya, jumlah yang disebut seramai 350 juta jiwa itu bukanlah jumlah yang kecil, tetapi satu jumlah yang besar dan jika bersatu, jumlah yang sebesar ini sudah pasti mampu untuk menciptakan bangsa yang besar, hebat lagi kuat dengan syarat mestilah bersatu dalam satu ikatan persaudaraan kerana Allah, Ukhuwah Fillah atau Ukhuwah Fi Dinillah (bersatu dalam persaudaraan seagama, agama Allah), bukan Ukhuwah Fi al-Tsafaqah ( bersatu dalam kebudayaan) atau Ukhuwah Fi al-Siasah (bersatu dalam siasah).


Tetapi malang, katanya inilah yang kurang dipromosi oleh kita kerana kita lebih sebuk mempromosi lain-lain bidang: lebih mempromosi kerjasama kebudayaan, ekonomi, pertahanan dan lain-lain, tetapi tidak atau jarang-jarang teringat untuk mempromosi perpaduan dan hidup bersatu padu di bawah payung Islam.


Kerana itulah, tegasnya umat Melayu/bangsa Melayu tidak nampak hebat, tidak nampak gagah dan yang nampak hanyalah umpama buih di laut sahaja, bilangan betul ramai tetapi kurang kualiti.


Malah, tegasnya lagi bukan umat Melayu Muslim sahaja, bahkan umat Islam di seluruh dunia juga, tidak atau kurang mempromosi perpaduan dan persaudaraan sesama mereka, persaudaraan seagama.


Menurut Yang Berhormat Pehin, kalau orang memahami rahsia persaudaraan seagama nescaya mereka akan mendapati bahawa persaudaraan seagama itu adalah lebih kudus, boleh mengatasi persaudaraan senasab atau Ukhuwah Fi al-Nasab.


Persaudaraan senasab, menurut Yang Berhormat Pehin adalah ia dijalin dengan akad nikah, yang dilakukan oleh wali atau juru nikah, tetapi persaudaraan seagama, akad itu, adalah ia datang langsung dari Allah, dilakukan oleh Allah sendiri sebagaimana firmanNya di dalam surah al-Anfal ayat 63 yang tafsirnya: “Dan (dia yakni Allah-lah) yang menyatukan hati-hati mereka (orang-orang yang beriman itu). Sekiranya engkau membelanjakan segala yang ada di bumi (untuk menyatukan mereka), nescaya engkau tidak akan dapat menyatukan hati-hati mereka, tetapi Allah-lah (yang berkuasa) menyatukan mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.”


Menurut Yang Berhormat Pehin, boleh dibuktikan bahawa persaudaraan seagama atau Ukhuwah Fillah itu adalah lebih agung, lebih mulia dan lebih kudus sifatnya daripada persaudaraan senasab.


Katanya, adik beradik senasab kadang-kadang tidak mahu berdiri menyebelahi kita dalam masa-masa kita susah, tetapi saudara kita seagama, tidak berganjak dari bersama-sama dengan kita, malah sanggup berkorban apa sahaja untuk membela kita.


“Buktinya sila lihat, siapa Abu Lahab? Ya, siapa Abu Lahab? Bukankah Abu Lahab itu bapa saudara Nabi Shallallahu ’alaihi wasallam? Ya, bapa saudara, tetapi sifatnya jahat, di pasar atau di tempat awam, Abu Lahab ini, akan sentiasa mengekori Nabi, berdekatan dengan Nabi – dengan tujuan – apabila ia mendengar Nabi berseru: “Wahai manusia, tauhidkanlah oleh kamu Allah!” Jangan sekutukan Allah!” Lalu Abu Lahab akan cepat-cepat menyampuk: “Tidak payahlah kamu mempercayainya, jangan percaya, dia ini anak saudaraku, dia adalah pembohong.”


“Nampak kita saudara! Sampai hati bapa saudara, saudara senasab, terhadap anak saudara yang berpangkat Nabi dan Rasul lagi.


“Inilah Ukhuwah Fi al-Nasab, persaudaraan senasab, persaudaraan yang tercipta dari keturunan atau jalinan kekeluargaan,” jelas Yang Berhormat Pehin.


Berbanding, Abu Bakar as-Shidek radhiallau anh, katanya beliau itu bukan saudara Nabi senasab, beliau hanya saudara Nabi seagama, tetapi terhadap Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Abu Bakar as-Shidek berkata: “Saya mencintai/menyukai tiga perkara, wahai Rasulullah.” Bertanya Nabi: “Apakah tiga perkara itu wahai Abu Bakar?” Menjawab Abu Bakar menerangkan: “Saya sangat suka memandang tuan (1), Duduk bersama-sama/ berhadapan-berhadapan dengan tuan (2), dan membelanjakan harta saya (untuk Islam) melalui tuan (3).”


Yang Berhormat berkata bahawa ini memperlihatkan perbandingan dua attitude, sikap dan akhlak yang berbeza iaitu satu datangnya daripada saudara senasab (Abu Lahab) dan satu lagi daripada saudara seagama, Abu Bakar as-Shidek.


“Manakah satu diantara dua ini yang indah, yang baik dan yang diredhai oleh Allah?


“Jawabnya, tentu saja attitude yang kedua, sikap yang kedua dan akhlak yang kedua yang dimiliki oleh sahabat besar, Sayyidina Abu Bakar as-Shidek radhiallahu anh,” katanya.


Yang Berhormat Pehin menegaskan, kita sepatutnya terpanggil untuk mencontohi Sayyidina Abu Bakar dalam menyemarakkan semangat Ukhuwah Fillah, semangat persaudaraan seagama dikalangan seluruh umat Islam, khasnya umat Melayu atau bangsa Melayu di Alam Melayu.

Attachments