Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
27 September 2016 - Majlis Pelancaran Dan Penyerahan Buku Rezeki & Hutang: Tazkirah, Doa & Amalan

​Oleh: Awang Osman bin Abu Bakar



Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri melancarkan sebuah buku terbitan terbaharunya bertempat di Ruang Legar, Darulifta’ Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan pada 25 Zulhijjah, 1437H bersamaan 27 September, 2016M.


Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan pelancaran buku tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.


Majlis pada hari ini dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihaah beramai-ramai, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Awang Mohd. Sofian bin Haji Basri.


Majlis diteruskan dengan ucapan dan pelancaran oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan penyerahan buku kepada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) diterima oleh Yang Mulia Awang Maswadi bin Haji Mohsin, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, selaku Pengerusi Bersama Sambutan 25 Tahun Penubuhan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB). Majlis diteruskan dengan penyerahan wakaf bagi Perpustakaan Awam dan Perpustakaan Institusi Pengajian Tinggi.


Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis oleh Yang Mulia Awang Maswadi bin Haji Mohsin, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, selaku Pengerusi Bersama Sambutan 25 Tahun Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei.


BUKU REZEKI & HUTANG: TAZKIRAH, DO’A & AMALAN


Buku Rezeki & Hutang: Tazkirah, Do’a & Amalan terbit hasil dari perbincangan awal diantara pegawai-pegawai Bahagian Penerbitan dan Penerangan, Jabatan Mufti Kerajaan dengan pegawai-pegawai dari Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) pada bulan Julai yang lalu.


Dalam waktu yang singkat, hasil dari kegigihan pegawai-pegawai Bahagian Buhuth dan Irsyad isi kandungan buku ini berhasil ditulis dan dapat diterbitan seterusnya dilancarkan pada hari ini.


Sesuai dengan tajuknya, buku setebal 71 muka surat ini, membicarakan tentang rezeki dan hutang. Dijelaskan bahawa di dalam Islam konsep rezeki itu tidak hanya terbatas kepada memperolehi atau memiliki harta benda sahaja, malah jika difahami melalui ayat-ayat al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, ianya juga tidak lari dari menyentuh aspek aqidah, syari’ah dan akhlak.


Dinyatakan, di dalam al-Qur’an perkataan rezeki disebut sebanyak 123 kali iaitu 61 kali disebut dalam bentuk kata perbuatan dan 62 kali dalam bentuk kata nama.


Berhubung dengan hutang, buku ini menjelaskan berhutang itu adalah satu keperluan dalam perkara-perkara yang bemanfaat, dan sebaliknya satu bebanan jika ia menjurus kepada perkara-perkara yang tidak penting dan tidak bermanfaat.


Disebutkan bahawa amalan berhutang adalah sangat tidak disukai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana hutang itu adalah kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Sebegitu beratnya bebanan hutang maka kerana itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam selalu berdoa meminta perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala daripada berhutang.


Disamping membahaskan mengenai rezeki dan hutang, buku ini juga dilengkapi dengan beberapa amalan, zikir dan doa pembuka pintu rezeki dan beberapa sebab yang boleh menutup pintu rezeki, termasuk amalan, zikir dan doa untuk membebaskan diri daripada hutang.


Terbitan khas buku ini untuk Perbadanan Tabung Islam Brunei akan dijadikan cenderamata sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei yang ke-25 pada 29 Septgember, 2016 yang akan, sementara buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan akan dijual dengan harga $3.00 senaskhah.

Attachments