Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
18 Januari 2017 - PIB ke Arah Pusat Maklumat Islam yang Lengkap

Oleh: Awang Osman bin Abu Bakar

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan berkata matlamat asal dan fungsi utama penubuhan perpustakaan ini adalah untuk menjadi pusat maklumat Islam yang lengkap.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, sebagai sebuah perpustakaan umum Islam, yang satu-satunya di negara ini, PIB kini memiliki koleksi sejumlah 230,965 naskhah dan 60,000 judul kitab/buku.

Selain daripada kitab dan buku, katanya perpustakaan ini juga mempunyai koleksi manuskrip, jurnal, kertas persidangan, audio-video, tesis dan disertasi dari pelbagai bahasa seperti Arab, Parsi, Urdu, Thailand, Melayu, Inggeris dan lain-lain.
Dengan jumlah koleksi yang besar ini, Yang Berhormat Pehin percaya, perpustakaan ini akan dapat menyumbang khidmat kepada umat Islam, bukan sahaja di negara ini bahkan juga di luar negara.

Yang Berhormat Pehin berkata demikian ketika berucap selaku tetamu kehormat Majlis Hari Terbuka Perpustakaan Islam Brunei Darussalam yang diadakan pada 19 Rabiulakhir, 1438 Hijriah bersamaan 18 Januari, 2017 Masihi yang lalu bertempat di Lobi PIB.  

Yang Berhormat Pehin yakin, jumlah koleksi yang ada setakat ini akan dapat ditambah lagi dari masa ke semasa.  

“Target asal kita ialah untuk mengumpul sekitar 500,000 koleksi, dan target ini Insya Allah ada harapan tercapai, kerana Jabatan Mufti, pada setiap tahun, diberikan peruntukan khas oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan untuk perpustakaan ini menambah koleksinya,” tegasnya.

Blok bangunan, tempat kita mengadakan majlis ini sekarang, jelas Yang Berhormat Pehin telah diperkenankan untuk menjadi  Perpustakaan Islam yang menyimpan koleksi kitab-kitab atau bahan-bahan ilmu Islam yang pelbagai.

Katanya ruang perpustakaan ini ada empat tingkat dan tiap-tiap tingkat dihasratkan untuk menempatkan koleksi kitab-kitab mazhab tertentu, iaitu:  untuk mazhab Syafie satu tingkat, mazhab Maliki satu tingkat, mazhab Hanbali satu tingkat dan mazhab Hanafi satu tingkat.

Hasrat ini jelasnya Insya Allah, akan direalisasikan apabila jumlah koleksi sudah mencukupi untuk mengisi semua ruang keempat-empat tingkat tersebut.
Pada hari ini, katanya akan bermula satu detik bersejarah perpustakaan ini, iaitu kita akan secara resminya memulakan pekhidmatan bersistem yang kita panggil “Sistem Perpustakaan Digital Islam (Islamic Digital Library System – IDLS) dan portalnya ialah kepada orang ramai.

Melalui portal ini, jelasnya pengguna perpustakaan yang berdaftar akan dapat melayari pekhidmatan-perkhidmatan seperti seperti e-fatwa, e-irsyad, koleksi digital yang merangkumi ceramah-ceramah melalui video, koleksi digital seperti buku-buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), manuskrip, keratan-keratan akhbar dan sebagainya.

“Tidak syak lagi, melalui perkhidmatan sistem IDLS ini akan dapat memenuhi keperluan orang ramai, khasnya mereka yang sudah berdaftar menjadi ahli, bagi mengakses apa jua kemudahan yang disediakan secara remote oleh mereka,” tegasnya.
Menurutnya hari terbuka yang diadakan pada hari ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai berkunjung  ke perpustakaan ini bagi melihat lebih dekat lagi segala kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan dan seterusnya merebut peluang untuk menjadi ahli perpustakaan.

Attachments