Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
19 Mei 2017 - Pembina Masjid Punya Status Tersendiri, Menerima Ganjaran Hebat

Oleh: Awang Osman bin Abu Bakar


Di sisi Allah orang yang membina masjid mempunyai status yang tersendiri dan akan diganjar oleh Allah dengan ganjaran yang hebat.  
Kita jangan merasa terkejut kalau Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bahawa “Barangsiapa yang membina masjid kerana Allah, walau umpama sarang burung atau lebih kecil lagi, nescaya Allah bina untuknya rumah di dalam Syurga.”

Rumah dalam Syurga, akan jadi habuan, bagi mereka yang membina masjid, tidak kira besar ataupun kecil masjid itu, yang penting ialah membina, kerja  membina, belanja membina, keterlibatan membina, dan lebih-lebih lagi pentingnya ialah “niat membina”, apa qasat kita, apa niat kita membina masjid?

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan menjelaskan bahawa memperkatakan mengenai masjid, masjid jangan dilihat dari saiznya atau ukur kapasitinya, tetapi lihat ia sebagai masjid kerana di sisi Allah masjid itu tetap masjid, apapun keadaanya.

Yang Berhoarmat Pehin menekankan perkara tersebut ketika menyampaikan khutbah Juma’at di Majlis Menunaikan Sembahyang Fardhu Juma’at pertama  bagi masjid baru Kampong Kulapis, Masjid Pehin Khatib Abdullah, pada 19 Mei, 2017.

Menurut Yang Berhormat Pehin, sekarang di Brunei sudah ada peluang untuk semua orang terlibat membina masjid melalui tabung dana bagi pembinaan masjid yang telahpun dilancarkan sejak 4 Jun, 2015 yang lalu.  

Penubuhan dan pelancaran dana ini, jelasnya  adalah atas titah dan wawasan raja kita untuk membawa orang-orang Islam rakyat baginda sama-sama bertanam saham di akhirat, dan  setakat ini, kita sudah mempunyai jawatankuasa untuk mengutip dan mentadbir dana tersebut di bawah kementerian berkenaan.

Katanya sumbangan kepada dana bukanlah mandatori,  tetapi lebih bersifat seangkat-angkat hati iaitu  siapa yang suka  banyak, boleh saja menyumbang banyak, atau  yang sedikit menurut kesukaan masing-masing.

Setakat Disember 2016, katanya dana telah berjaya mengumpul menghampiri 4 juta ringgit Brunei.  Itupun belum sumbangan keseluruhan pegawai-pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan awam yang berjumlah 60,000.  Hanya yang baru terlibat menyumbang itu dianggarkan 15 peratus sahaja atau kurang lagi daripada itu.  

“Kita optimis, dana ini sekarang sudah mula difahami dan di minati. Sumbangan adalah semakin mantap di terima melalui pemotongan gaji. Allah telah meluruskan jalan setiap orang kearah tampil menabung untuk pahala di akhirat. Ya, mari saudara! Mari saudara! Sama-sama kita menyumbang untuk masjid. Sumbangan tidak kira, banyak atau sedikit. Bagi mereka yang kurang mampu, sedikit pun, juga tetap bererti. Allah akan menjawat sumbangan yang sedikit, sama dengan dia menjawat sumbangan yang banyak,” jelasnya.

Menurut hadits Nabi,  katanya sedekah atau sumbangan kita walau sekadar setampik buah kurma adalah mampu untuk menyelamatkan kita daripada api neraka. 

“Maka demikian itulah, seringgit/dua ringgit sumbangan kita kepada dana pembangunan masjid, insyaAllah, akan menghadirkan sebuah rumah di dalam syurga.

“Cuma soalnya kita mesti ikhlas: kita bersedekah ikhlas walau sedikit. Kita menyumbang ikhlas walau sedikit, ikhlaslah pembersih amal. Tanpa ikhlas, amalan akan di label “riya’” dan riya’ tidak ada markah di sisi Allah,” tegasnya.

Menurutnya lagi,  ikhlas itu adalah punca segala kebaikkan dan orang yang melakukannya adalah orang tulus kepada Allah dan lurus kepada sesama manusia. 

Orang yang demikian inilah, jelasnya yang di beri jolokkan oleh Allah dalam Al-Qur’an sebagai “Muhlishin Nalahudin”, yang tulus ikhlas, yang beragama dan beramal semata-mata hanya kerana Allah, manakala orang beragama semata-mata hanya kerana Allah, dunianya adalah gemilang, dan lebih-lebih lagi akhiratnya pasti cemerlang.

Di dalam khutbahnya, Yang Berhormat Pehin turut menyeru kita supaya sama-sama ingat mengingati, bahawa dunia ini hanyalah pinjaman, sementara akhirat adalah kekal abadi, tidak pernah punah, tidak pernah musnah, dan malah tidak akan berlaku samasekali kematian di dalamnya.  

“Semua adalah hidup.  Semata-mata hidup.  Baik penduduk syurga mahupun neraka, semuanya hidup, tiada mati-mati.  Cuma, bentuk kehidupan itu sahaja yang berbeza.  Adapun hidup di syurga adalah penuh dengan nikmat, sementara hidup di neraka pula penuh dengan azab sengsara.  Inilah hakikat, yang akan kita tempuh selaku hamba,” jelas Yang Berhormat Pehin sambil turut mengajak kita berdoa, semoga kita dirahmati oleh Allah dan di tempatkan dalam syurgaNya.

“Pada saat ini, kita berada dalam hari yang paling istimewa, yang dipanggil hari Juma’at.  Pada hari ini, terdapat satu saat “Sa’atul Ijabah”, saat di mana semua doa adalah diterima, kecuali doa yang mengandungi dosa atau maksiat.  Nah, kalau begitu, mari kita betul-betul menghayati hari ini,” tegasnya.
Attachments