Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
10 April 2021 - Bengkel dan Pelancaran Buku Sembahyang Menggunakan Kerusi

Oleh Awang Osman bin A. Bakar


 


Bengkel Sembahyang Menggunakan Kerusi

Tuntutan menunaikan sembahyang fardhu lima waktu ke atas seorang muslim yang mukallaf adalah wajib dalam apa jua keadaan dan kondisi.  Dalam kontek ini, Islam telah menunjukan cara dan kaedah dalam melakukan ibadah sembahyang itu termasuklah cara dan kaedah melakukan sembahyang dalam keadaan sakit, sibuk, musafir, berperang pada jalan Allah dan sebagainya. Cara dan kaedah itu adalah satu kemudahan bagi umat Islam untuk melaksanakan dan menyempurnakan sembahyang itu dengan apa jua cara yang terdaya sesuai dengan situasi dan kondisi masing-masing.  Selama mana akal fikiran masih sedar dan waras, kewajipan sembahyang fardhu lima waktu itu tetap wajib dilaksanakan dan disempurnakan tanpa sebarang alasan.

Di akhir-akhir ini, penggunaan kerusi ketika menunaikan sembahyang di masjid-masjid dan surau-surau dilihat jelas semakin meningkat terutamanya di kalangan warga emas, orang kurang upaya dan sebagainya disebabkan beberapa faktor, antaranya kerana tidak mampu melaksanakan rukun-rukun fi'li (perbuatan) tertentu seperti sakit, tidak mampu berdiri betul (qiyam), sujud di lantai, duduk antara dua sujud dan juga duduk tahiyyat awal dan akhir.

Berbangkit dari perkara tersebut, timbul persoalan, adakah sembahyang menggunakan kerusi itu menepati cara sembahyang yang disyariatkan?  Bagaimana caranya?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam melalui Bahagian Hal Ehwal Fatwa pada 27 Sya'aban, 1422H bersamaan 10 April, 2021 telah mengambil inisiatif mengadakan bengkel 'Sembahyang Menggunakan Kerusi' selama sehari sebagai pengisian Program Memasyarakatkan Fatwa khasya untuk memberi panduan yang betul mengenai sesuatu perkara yang memerlukan bimbingan.

Bengkel berkenaan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam selaku tetamu kehormat Majlis Perasmian Bengkel dan Pelancaran buku "Sembahyang Menggunakan Kerusi:  Cara-Caranya".

Bengkel ini diisi dengan perkara-perkara berkaitan rukun-rukun fi'li dalam sembahyang dengan difokuskan kepada sembahyang orang sakit yang menggunakan kerusi secara teori dan praktikal.


Seramai 317 peserta telah dipilih untuk menyertai bengkel ini. Mereka daripada imam-imam, guru-guru dan penceramah-penceramah bertujuan memudahkan mereka menyampaikan maklumat mengenai cara sembahyang menggunakan kerusi kepada masyarakat awam. 

 

Antara objektif bengkel ini ialah;  

1. Menerangkan kepada orang ramai situasi keuzuran yang membolehkan seseorang melakukan sembahyang menggunakan kerusi, 

2. Memberi kefahaman dan gambaran jelas tentang cara-cara sembahyang menggunakan kerusi,  

3. Melerai kekeliruan orang ramai tentang kepelbagaian cara-cara sembahyang menggunakan kerusi yang tersebar luas melalui media massa, 

4. Menjadi asas panduan kepada bakal tenaga-tenaga pengajar tentang cara-cara sembahyang menggunakan kerusi dan,

5. Merealisasikan misi Jabatan iaitu 'Menunaikan Ifta dan Melaksanakan Agenda Ilmu dengan Organisasi yang Berupaya'.

 

Dengan terlaksananya bengkel ini, diharapkan dapat memberi panduan kepada masyarakat awam tentang cara-cara yang betul bagi orang yang terpaksa sembahyang menggunakan kerusi disamping dapat membantu menyelesaikan kekeliruan orang ramai tentang perlaksanaannya.

 


Buku SEMBAHYANG MENGGUNAKAN KERUSI:  CARA-CARANYA

 

Untuk membantu dalam pelaksanaan dan keberkesanan bengkel ini, dan sebagai salah satu inisiatif dan aktiviti keilmuan Jabatan Mufti Kerajaan dalam mempelbagaikan sumber rujukan berkenaan dengan kesempurnaan dalam tatacara melaksanakan ibadah khasnya berhubung dengan menunaikan sembahyang menggunakan kerusi, Jabatan Mufti Kerajaan juga menerbitkan, dan seterusnya pada pagi ini melancarkan, buku mengenainya bertajuk:  Sembahyang Menggunakan Kerusi:  Cara-Caranya.

 

Buku ini cuba menghuraikan tatacara dan kaedah yang betul mengenai sembahyang tersebut mengikut keadaan-keadaan yang biasa dihadapi oleh orang yang sembahyang duduk menggunakan kerusi. Buku ini juga dilengkapi dengan gambar-gambar bagi memudahkan pembaca mendapat gambaran yang lebih jelas tentang cara melaksanakannya menurut pandangan Mazhab Syafi'i.

 

Buku setebal 71 mukasurat ini dijual dengan harga $ 6.00 senaskhah.   Disamping membicarakan secara khusus mengenai tuntutan menunaikan sembahyang sekalipun ada keuzuran dan beberapa isu berkaitan sembahyang menggunakan kerusi, buku ini juga turut membicarakan tentang kewajipan dan hikmah sembahyang secara umum.

 

Adalah diharapkan buku ini akan dapat menjadi bahan rujukan dan panduan dalam melaksanakan ibadah khususnya sembahyang menggunakan kerusi dan semoga penerbitan buku ini juga akan dapat menyumbang kepada kemaslahatan umat dan dapat  meleraikan kekeliruan serta persoalan orang ramai berkenaan dengan pelbagai cara sembahyang menggunakan kerusi khususnya yang tular dan tersebar luas di media massa. 

 
Ketika menyampaikan ucapan perasmian, Yang Berhormat Pehin menegaskan sembahyang di atas kerusi bukan bererti hanya duduk sepanjang-panjangnya di atas kerusi, dari mula Takbiratul Ihram sehingga salam   tetapi ada cara-caranya mengikut kemampuan masing-masing.

Maka atas asas untuk meluruskan 'cara' inilah, katanya Jabatan Mufti Kerajaan mengadakan bengkel "Sembahyang Mengunakan Kerusi" bagi mendapatkan panduan yang betul cara teori dan praktikal menggunakan kerusi itu.

"Dan mengiringi bengkel ini pula, Jabatan Mufti Kerajaan telah menerbitkan sebuah buku berjudul "Sembahyang Menggunakan Kerusi:  Cara-Caranya".  Di dalam buku ini ada dihuraikan tatacara dan kaedah sembahyang menggunakan kerusi dengan dilengkapi gambar-gambar bagi memberikan gambaran lebih jelas kepada pembaca atau masyarakat.  Diharap buku ini dapat menyumbang keilmuan sembahyang menggunakan kerusi.  Kita percaya, ia mampu untuk menjadi rujukan yang berkesan.  Mudah-mudahan," jelasnya.

Terdahulu sebelum itu, Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth), selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Bengkel di dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa ada sebilangan orang masih kabur dan sebahagiannya belum mengetahui dengan jelas tentang panduan dan tatacara sembahyang menggunakan kerusi yang betul sepertimana yang telah ditujukkan oleh Syara', apatah lagi sekarang ini tersebarnya di media massa dan media social secara meluas pelbagai cara yang berbeza-beza sembahyang menggunakan kerusi.  Perkara ini, tegasnya setentunya menambahkan lagi kekeliruan orang ramai.

Jesteru itu, untuk menyelesaikan segala kekeliruan dan kewahaman, tegasnya adalah signifiken/sewajarnya bengkel ini diadakan.

 
 Majlis Penutup Bengkel



Para peserta bengkel telah menerima Sijil Penyertaan di Majlis Penutup Bengkel yang berlangsung pada sebelah petang.  Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Jaapar bin Haji Mat Dain @Maidin.

Di dalam ucapan penutupnya, Dato Seri Setia Dr. Haji Jaapar berharap segala tunjuk ajar yang diberikan sepanjang bengkel ini akan dapat menjadi ilmu kepada para peserta dan dengan ilmu tersebut para peserta bengkel mampu menyampaikan pula kepada kaum keluarga, sahabat, jiran dan masyarakat umumnya agar semua orang dapat melakukan Sembahyang Menggunakan Kerusi dengan lebih teratur sebagaimana yang dikehendaki oleh Syarak.

"Kita berharap dengan adanya ilmu yang betul ini, akan menambah semangat semua orang untuk terus gigih melakukan sembahyang dan kitapun sedia mengetahui bahawa sembahyang itu adalah tiang agama, yang perlu kita kukuhkan dengan mendirikannya.

"Kesungguhan kita dalam melaksanakan ibadat-ibadat yang difardhu ini akan lebih mengeratkan hubungan kita dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan bukanlah ibadat itu untuk menjadi beban kepada kita untuk melaksanakannya," tegasnya.


Attachments