Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksOrang Sembahyang Di tangisi Oleh Tempat Sujudnya



Halaman :    197 muka surat
ISBN        :    99917-33-74-4
Harga      :    B$8.00

    

Kandungan

Buku ini ditulis oleh  Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam berdasarkan rancangan Bersama Mufti sempena sambutan Isra’ dan Mi’raj 1428 Hijriyyah yang disiarkan melalui Radio televisyen Brunei. Ceramah ini diolah semula, ditambah dan diformat sehingga ia menjadi sebuah buku yang sangat berguna untuk dijadikan panduan, bimbingan dan kesedaran minda.  

Mengapakah tempat sujud itu menangisi orang yang bersembahyang? Buku ini mengungkap berbagai rahsia dan keajaiban orang yang menunaikan sembahyang dengan teratur, konsisten dan penuh khusyu’ semata-mata kerana Allah. Dalam satu riwayat, Sayyidina ‘Ali Karramallahu wajhah berkata maksudnya: “Apabila seorang hamba itu meninggal dunia, dia ditangisi oleh mushallânya (tempat dia melakukan sembahyang) dan ditangisi oleh tempat amalannya naik ke langit.” Ertinya, di mana sahaja kita sembahyang dan beramal ibadat, tenpat-tempat itu kasih, hormat dan rindu pada kita. Sekiranya kita mati, mereka akan turut menangisi, mendo‘akan dan menjadi saksi utama kita di akhirat kelak. 

Sembahyang bukanlah suatu beban atau penghalang bagi menjalankan aktiviti keduniaan. Sebaliknya sembahyang adalah suatu jalinan hubungan amat rapat di antara seorang hamba dengan Penciptanya, malah ia merupakan suatu kerehatan bagi seorang hamba setelah penat menjalankan berbagai tugas harian. Sembahyang dapat merehatkan rohani dan jasmani insan dan menghilangkan stress yang sering dikaitkan dengan gangguan kesihatan dan fikiran seseorang.  

Buku ini juga mengupas beberapa insiden dahsyat dan mengerikan yang menimpa mereka yang mencuaikan dan tidak menunaikan sembahyang ketika hayat. Berbagai paparan yang amat menakutkan daripada kisah-kisah sejarah silam dan terkini dapat diikuti dalam buku ini. Menghayati kisah-kisah ini dapat memberi motivasi kepada pembaca untuk memperbaiki kelemahan dan lebih tekun lagi mengerjakan ibadat sembahyang. Sembahyang bukan sahaja sebagai penyelamat diri individu yang menunaikannya, tetapi juga jika dilakukan secara berjemaah, ia adalah penyelamat daripada berlakunya bala dan bencana kepada sesebuah masyarakat, negara mahupun dunia. 

Semoga buku Orang Sembahyang Ditangisi Oleh Tempat Sujudnya ini dapat dijadikan sebagai pembimbing semua golongan masyarakat untuk memahami kewajipan sembahyang yang mampu menciptakan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup setiap Muslim di dunia dan juga di akhirat kelak.  

Buku ini berserta cakera padat, yang berharga $8.00 dijual dengan harga istimewa pada hari pelancarannya iaitu $7.00 senaskah. Cd dan VCD  berharga $2 setiap satu, dan DVD berharga $3.00. Satu set VCD berharga $10 dan DVD $15 dengan kotak percuma.