|
|
|
Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Darulifta Brunei Darussalam Spg 26, Jln Pg Babu Raja BA2112, Negara Brunei Darussalam |
|
Sambutan Maulud Kementerian Pembangunan
Oleh:
Awang Osman bin Awang Abu Bakar
|
|||
|
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan berkata bahawa dalam langkah awal membangun negara, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak membina bangunan-bangunan atau kilang, tetapi Baginda membina diri dan jiwa terlebih dahulu kemudian barulah Baginda membina dan membangun negara. Yang Berhormat Pehin berkata setiap pembangunan yang diungkayahkan ada menggunakan material tetapi dalam membangun manusia ini, apakah material yang digunakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam? Menurut yang Berhormat Pehin, Baginda tidak menggunakan matelial berbentuk benda, tetapi material yang digunakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah “material Iman” iaitu iman kepada Allah, kepada Rasul, kepada Malaikat, kepada Kitab-Kitab, kepada Hari Akhirat dan Qada’ dan Qadar Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Material jenis inilah, jelasnya yang telah melahirkan manusia-manusia seperti Abu Bakar asy-Syidiq, ‘Umar al-Khathab, ‘Usman bin ‘Affan, ‘Ali bin Abi Thalib, ‘Abdul Rahman bin ‘Aub, Sayyidina Khadijah, Sayyidina ‘Aisyah, Sayyidina Fathimah dan lain-lain lagi para sahabat. “Dengan bahan binaan Iman ini, menjadikan mereka bersih, jiwa dan hati bersih dan bercahaya,” jelas Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan ceramah di Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad anjuran Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya bertempat di Dewan Betabur, kementerian berkenaan Pada 19 Rabiulawal 1430H/16 Mac, 2009M. Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa orang yang jiwanya bersih dan bercahaya adalah bersih pula terhadap Allah iaitu ibadat dan amalnya ikhlas. Dia juga bersih terhadap sesama manusia iaitu tidak dengki, tidak zalim dan tidak mementingkan diri sendiri. Malah dia juga bersih terhadap haiwan iaitu kesihan dan tidak mungkir janji (tulus dengan haiwan) “Kita semua pendukung-pendukung pembangunan, jika jiwa dan rohani kita pernah dibangun dengan iman dan tauhid, insyaallah semua pembangunan yang kita kehendaki akan terlaksana dan kita akan dilimpahi dengan kemakmuran,” tegasnya. Yang Berhormat Pehin menjelaskan, pembangunan bukan diasaskan hanya dengan kapital dan bajet semata-mata tetapi lebih utama ialah penggerak dan pelaksana pembangunan itu kerana mereka ini yang akan memanfaatkan kapital dan bajet berkenaan. Katanya, jika pengerak dan pelaksana pembangunan itu tidak betul maka berapa banyak pun kapital dan bajet yang disediakan tidak akan berguna. “Bila menyebut kapital dan bajet, bagaimana pula dengan ‘main power’? Orang biasanya sangat-sangat confidance dengan jumlah main power yang ramai sama dengan kapital yang besar dan dan cukup yakin dengan jumlah yang ramai, tetapi belum tentu jumlah yang ramai itu menjadi jaminan muthlak untuk membawa keuntungan, kekuatan dan kemenangan,” tegasnya. Menurutnya, jumlah yang sedikit, walau berhadapan dengan jumlah yang besar, jika terdiri daripada peribadi-peribadi besar yang pernah dibangun dengan Iman, Tauhid dan akhirat, insyaallah, akan mengalahkan jumlah yang besar.
Kualiti orang-orang yang berjaya,
tegasnya bukan semestinya pada jumlah yang besar, wang yang banyak dan
peralatan canggih tetapi kualiti mereka adalah bertaraf dunia dan
akhirat. Mereka adalah orang-orang Islam yang berkualiti dengan kualiti
para sahabat dan orang-orang shalih. |
|||
|
|
|||
|
|
|
||
|
Copyright @ 2009 Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri |