Yang
Berhormat Pehin mengingatkan doa orang mazhlum adalah mustajab, senjata
yang merbahaya dan amat tajam serta jangan dipandang ringgan.
Mengenai perkara tersebut, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa Nabi
Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, Nabi pembawa rahmat,
mengingatkan dan memberi amaran kepada kita mengenai bahaya doa orang
“mazhlum” dengan sabda Baginda yang bermaksud: “Takutlah kamu akan doa
orang yang mazhlum (yang teraniaya), sekali pun dia itu orang kafir,
kerana doa orang mazhlum itu mustajab. Sesungguhnya tiada dinding di
antara doanya itu dengan Allah.”
Yang
Berhormat Pehin menjelaskan perkara tersebut ketika menyampaikan ceramah
di raancangan Kuliah Bersama Mufti di Masjid Kampong Sinaut, Tutong
pada 1 Jamadilawal 1430 bersamaan 25 April 2009.
Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan bahawa
agama Islam menghendaki semua orang menjadi baik dan melarang
sekeras-kerasnya menjadi jahat kerana orang jahat itu biasanya bukan
sahaja merugikan diri sendiri, tetapi juga menjejaskan orang lain.
Katanya
orang yang terjejas kerana kejahatan seseorang dipanggil “mazhlum” iaitu
orang yang teraniaya dan apa sahaja jenis atau bentuk kejahatan yang
merugikan orang lain namanya “kezaliman” dan kezaliman itu amat dibenci
oleh Allah. Allah tidak redha kezaliman berlaku ke atas para hambaNya
dan tidak meredhainya. Kalau berlaku juga Dia akan membalas orang yang
melakukan kezaliman itu.