Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Darulifta Brunei Darussalam Spg 26, Jln Pg Babu Raja BA2112, Negara Brunei Darussalam

 


Kuliah Bersama Mufti

Di Masjid Kg Lambak, Berakas

Oleh : Osman bin Abu Bakar
 Foto : Osman bin Abu Bakar

 Sabtu 15 Jamadilawal 1430 bersamaan 9 Mei 2009. 

 

 
 

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika berceramah di dalam rancangan Kuliah Bersama Mufti yang diadakan di Masjid Kampont Lambak, Berakas pada 15 Jamadilawal 1430 bersamaan 9 Mei, 2009, menjelaskan bahawa dalam Islam babi adalah binatang najis mughallazhah (najis berat) yang haram dimakan. 

Sejak lebih seribu tahun yang lalu, jelasnya Allah telahpun merakam nama binatang itu di dalam al-Qur’an untuk memberi peringatan dan amaran mengenainya iaitu di dalam surah al-Baqarah ayat 173, surah al-Maidah ayat 3, surah al-An‘am ayat 145 dan surah an-Naml ayat 115. 

Menurutnya, ayat-ayat berkenaan berulang-ulang disebut oleh Allah di beberapa tempat di dalam al-Qur’an membawa pengertian kepada kita betapa ia adalah betul-betul perlu untuk diambil ingatan dan salah satu daripada empat ayat itu memberitahu pula mengapa ia diharamkan iaitu kerana kotornya.   

Apa sifat benda yang kotor?  Yang Berhormat Pehin menjelaskan benda yang kotor mengandungi kuman, virus, parasit dan bakteria yang mengakibatkan penyakit dan pembawa penyakit. 

Oleh kerana itu, Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa kalau kita orang yang arif dan bijaksana, perkara tersebut sudah memadai untuk kita meyakini tentang hukum haram babi itu dan semestinya menambahkan lagi azam kita untuk lebih menjauhkan diri daripadanya. 

Kesan seperti ini, katanya kita dapat setelah memahami hakikat babi menerusi ayat-ayat tersebut dan dinamakan ia “kesan ilmu”. Pada peringkat ini,  katanya lagi ilmu telah mula membuka rahsia babi dan rahsia pengharamannya, yakni mengapa babi itu diharamkan? 

Yang Berhormat Pehin berkata, Allah telah mengharamkan babi dengan IlmuNya dan Allah telah menegaskan babi itu kotor supaya kita faham seterusnya  menerima rasional pengharamannya. 

“Allah mengharamkan babi, kerana Allah tahu - setahu-tahunya - akan babi itu.  Dia tahu luar dalamnya.  Dia tahu, sudah lebih awal Dia tahu apa yang kita turut menumpang tahu dengan cara  mengkaji, dan malah Allah tahu apa yang kita tidak mampu tahu walaupun sudah mengkajinya.   Ini hakikat Ilmu Allah itu,” tegas yang Berhormat Pehin. 

Katanya, penyakit bawaan babi sudah tidak asing lagi kepada dunia dan telah turut mengisi lipatan sejarah sejak lama. 

Sambil menyarankan agar kita yakin dan menerima bulat ketentuan Allah bahawa babi itu adalah haram dan wajib dijauhi, Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan bahawa kejadian-kejadian musibah yang dikaitkan dengan binatang ini, dengan jelasnya menjadi bukti terang akan kebenaran Islam yang bersumber daripada al-Qur’an dan hadits.  


 


 
   

Para Jemaah mendengar Kuliah yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Mufti
 

 

YB Pehin Mufti  menyampaikan cenderamata Jabatan Mufti Kerajaan
kepada Imam Masjid Kg Lambak

 
 

<< Arkib Berita JMK

 

Copyright @ 2009 Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri