Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Darulifta Brunei Darussalam Spg 26, Jln Pg Babu Raja BA2112, Negara Brunei Darussalam

 

 

MAJLIS PENANDATANGANAN MEMORANDUM
PERSEFAHAMAN DI ANTARA JABATAN MUFTI KERAJAAN DAN
B-MOBILE COMMUNICATIONS SDN.BHD.

Oleh: Osman bin Abu Bakar
 Foto : Osman bin Abu Bakar

16 Jamadilakhir 1430 bersamaan 10 Jun 2009.
 

 
 

 Dalam rangka untuk memperbanyak media penyebaran Fatwa Mufti Kerajaan, Irsyad Hukum dan bahan-bahan ilmu yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri kepada orang ramai khususnya umat Islam, satu langkah baharu akan diterokai dan dilaksanakan bersama B-Mobile Communications Sdn.Bhd melalui e-Muslim.

Antara tujuan dan manfaatnya ialah untuk memudahkan orang ramai membuat rujukan fatwa dan hukum-hukum serta bahan-bahan ilmu dimana saja mereka berada melalui telefon B-Mobile. 

Selain itu projek ini juga diharapkan dapat memandu dan memimpin orang ramai dengan fatwa, Irsyad dan bahan ilmu yang dimuatkan dengan lebih mudah dan cepat daripada sumber yang boleh diterima dan dipercayai. 

Bagi melaksanakan projek e-Muslim ini, satu Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dan  B-Mobile Communications Sdn.Bhd diadakan pada hari ini, Rabu, 16 Jamadilakhir, 1430 bersamaan 10 Jun, 2009  di Darulifta Brunei Darussalam. 

Melalui memorandum persefahaman ini, Jabatan Mufti Kerajaan akan menyediakan Fatwa Mufti Kerajaan, Irsyad Hukum, ceramah-ceramah dan bahan-bahan ilmu yang bersesuaian, sementara B-Mobile Communications Sdn.Bhd akan menyediakan platform B-Mobile di bawah kategori e-Muslim. 

Di peringkat permulaan ini, antara kandungan menarik yang akan dimuatkan ke dalam telepon B-Mobile berkenaan ialah Kuliah Subuh Bersama Mufti dan Fatwa berhubung dengan mewarnakan rambut.  Projek ini akan bermula sedikit masa lagi dan B-Mobile Communications Sdn.Bhd akan mengenakan bayaran perkhidmatan yang berpatutan kepada setiap pelanggan yang mengaksesnya. 

Menandatangani bagi pihak Jabatan Mufti Kerajaan selaku wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Mulia Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah, Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan, sementara bagi pihak B-Mobile Communications  Sdn.Bhd ditandatangani oleh Hjh Noorul Baiyinah bte Haji Kassim, Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat. 

Hadir bagi menyaksikan majlis penandatanganan tersebut termasuklah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili  bin Haji Mohiddin, Timbalan Mufti Kerajaan dan Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, Setiausaha  Tetap, Jabatan Perdana Menteri.
 

 
 


Penandatangan bagi pihak JMK dan B-Mobile Communication Sdn
 

 
   
 

 Hadir di Majlis Penandatangan  MoU di antara JMK dan B-Mobile Communication Sdn Bhd
 

 

<< Arkib Berita JMK

Copyright @ 2009  Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri