|
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja
Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti
Kerajaan telah berceramah di dalam rancangan Kuliah Bersama Mufti yang
diadakan di Surau ABDB, Kementerian Pertahanan Bolkiah Garissons,
Berakas pada 13 Safar 1431 bersamaan 29 Januari 2010.
Antara lain Yang
Berhormat Pehin menjelaskan:
1. Orang Hidup
Mempunyai Jiwa
Hanya orang hidup
mempunyai jiwa, semangat, perasaan dan sikap. Orang mati tidak
mempunyai jiwa, semangat, perasaan dan sikap.
Menurut Yang Berhormat
Pehin, jiwa, semangat, perasaan dan sikap itu perlu diasuh, digilap dan
dipupuk supaya sentiasa hebat dan besar. Orang akan merasa megah
apabila dianggap berjiwa besar.
2. Mengasuh dan
Menggilap jiwa, semangat, perasaan dan sikap dengan Sejarah.
Yang Berhormat Pehin
menjelaskan, cara untuk mengasuh dan menggilap jiwa, semangat, perasaan
dan sikap supaya hebat dan besar antaranya ialah dengan belajar dari
sejarah, menggali sejarah dan tidak buta sejarah.
Menurut Yang Berhormat
Pehin orang cerdik pandai mengatakan sejarah adalah berstatus mahaguru.
Sebab itu, tegas yang Berhormat Pehin al-Qur’an juga merakamkan sejarah,
lihat kisah-kisah para nabi di dalamnya, ini sejarah.
Menurut yang Berhormat
Pehin, sejarah adalah benda penting, mustahak dan asasi. Sejarah juga
unik dan cukup luas. Kita menyebut nama Nabi Muhammad Shallallahu
‘alaihi wasallam sajapun sudah sejarah, belum lagi menyingkap perjalanan
hidup Baginda, perjuangan dan pengorbanan Baginda dan tujuan Baginda
diutus.
Yang Berhormat Pehin
seterusnya menjelaskan pengetahuan kita tentang sejarah Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam tidak syak lagi adalah air dan baja terbaik untuk
menumbuhkan jiwa besar, semangat patriotik serta perasaan taat dan kasih
kepada agama Allah.
Begitu juga, tegas Yang
Berhormat Pehin sejarah para sahabat tidak kurang pentingnya kerana
tingkahlaku dan gaya hidup mereka turut menterjemahkan kepimpinan
tulinNabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Para sahabat itu, jelas
Yang Berhormat Pehin adalah lampu zaman sebagaimana Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam adalah lampu alam. Kedua-duanya kekal sebagai
warisan.
3.
Sejarah Tiga Orang Sahabat
Sesuai dengan
perhimpunan pagi ini bersama-sama para perajurit kesateria bangsa
dan negara, Yang Berhormat Pehin mengajak kita melihat sejarah tiga
orang sahabat dan hubungannya dengan perjuangan menegakkan aqidah
atau agama Islam. Menurut Yang Berhormat Pehin, sejarah mereka itu
benar-benar merujuk kepada sifat-sifat perwira/kesateria yang sukar
ditandingi.
Para sahabat yang
dimaksudkan oleh yang Berhormat Perhin itu ialah Shuib ar-Rumi
Radhiallahu anh seorang peniaga kaya tetapi demi iman, Shuib menyerahkan
semua hartanya itu kepada kaum musyrikin kemudian terus berhijrah ke
Madinah supaya dapat bertemu dan berkumpul dengan Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam.
Sahabat yang lain ialah
Ummu Salamah iaitu isteri kepada Abu Salamah dan seorang sahabat warga
emas bernama Samrah bin Jundub.
Yang Berhormat Pehin
mejelaskan, pejuang Islam dahulu adalah pejuang sejati dan pejuang tulin
kerana itu semua pengorbanan, jerih payah, harapan dan doa mereka
dibalas oleh Allah dengan kemenangan.
Kuliah Bersama Mufti
seterusnya akan diadakan di Masjid Kampong Sungai Liang, Daerah
Belait pada 19 Safar 1431 bersamaan 4 Februari 2010 selepas
menunaikan sembahyang Fardhu Isya.
|