|
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja
Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti
Kerajaan telah berceramah di dalam rancangan Kuliah Bersama Mufti yang
diadakan di Masjid Kampong Sungai Liang Daerah Belait pada 19 Safar 1431 bersamaan
4 Februari 2010. Antara lain Yang
Berhormat Pehin menjelaskan Pada kuliahnya malam ini, Yang Berhormat
Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang
Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan akan bercakap mengenai kehidupan
manusia. Antara lain Yang Berhormat Pehin menjelaskan:
1. Hidup Penuh Dengan Masalah
Sayugia diingat, hidup kita di dunia ini penuh
dengan masalah, derita, sengsara. Semua orang, hatta nabi-nabi, tidak
terlepas daripada masalah, kesukaran-kesukaran, kesulitan-kesulitan,
ujian-ujian dan bencana-bencana. Semua itu membuat kita gundah, resah
dan gelisah.
Menurut Yang Berhormat Pehin, di dalam kehidupan
ini tidak ada yang kekal hidup senang, tenteram, sihat afiat, mewah,
kaya dan berkuasa melainkan semuanya itu boleh berganti, berubah dan
bertukar.
Menurut yang Berhormat Pehin lagi, kita selaku
hamba, mesti faham bahawa setiap orang akan melalui dua kesukaran atau
kepayahan iaitu kesukaran atau kepayahan di dunia dan kesukaran dan
kepayahan di akhirat.
Menurut Yang Berhormat Pehin, kesukaran atau
kepayahan di dunia bermacam-macam, sebagai contoh kesukaran dan
kepayahan ketika belajar dan bersekolah, kesukaran dan kepayahan ketika
mentelaah pelajaran seterusnya menghadapi ujian dan peperiksaan.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan menghadapi
peperiksaan di dunia ini tidak setanding dengan menghadapi peperiksaan
di dalam kubur. Soalan-soalannya sudah bocor, kita sudah diberitahu apa
soalan-soalan yang bakal ditanya, tetapi yang menyoal kita di dalam
kubur itu bukanlah hamba biasa tetapi adalah hamba pilihan Allah
sendiri, makhluk paling tulus, paling amanah, paling tegas dan paling
hebat yang belum pernah kita jumpa dan lihat iaitu Munkar dan Nakir,
Oleh kerana itu, Yang Berhormat Pehin mengingatkan
supaya kita tidak menganggap mudah peperiksaan dalam kubur itu.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan,
peperiksaan yang paling besar, agung dan muktamat adalah peperiksaan
pada hari kiamat. Ketua lembaga peperiksaan ini bukanlah dari kalangan
hamba-hamba Allah, pengawas dan penyoalnya bukan dari kalangan manusia
tetapi adalah Allah Subhanahu wa Ta‘ala sendiri.
2. Pada Hari Kiamat Semua Urusan Di Tangan
Allah.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan,
peperiksaan yang paling besar, agung dan muktamat adalah peperiksaan
pada hari kiamat. Ketua lembaga, peperiksaan ini bukanlah dari kalangan
hamba-hamba Allah, pengawas dan penyoalnya bukan dari kalangan manusia
tetapi adalah Allah Subhanahu wa Ta‘ala sendiri.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan, pada hari
kiamat semua urusan di tangan Allah. Mahkamah hanya satu iaitu
“Mahkamah Keadilan Negara Akhirat” dan hakimnya tidak dua atau tiga
tetapi cuma satu iaitu Allah.
Tidak ada nama-nama mahkamah lain sebagaimana di
dunia seperti Mahkamah Sivil, Mahkamah Syar’iah, Mahkamah Ulang Bicara,
Mahkamah Rayuan, Mahkamah Perang, Mahkamah Antarabangsa dan lain-lain
melainkan satu sahaja iaitu Mahkamah Keadilan Negara Akhirat.
Begitu juga tidak ada lagi pelbagai nama “hakim”
yang disandarkan kepada pelbagai mahkamah melainkan satu-satunya Hakim
Mahkamah Keadilan Negara Akhirat sahaja iaitu Allah Subhanahu wa
Ta‘ala.
Mahkamah ini jelas Yang Berhormat Pehin berdiri
sendiri dan tidak memerlukan mekanisme seperti mahkamah dunia. Apa bila
ia bersidang, tidak memerlukan pendakwan, saksi, juru bahasa dan peguam
kerana pada ketika itu sudah tidak ada lagi segala keperluan. Segala
khidmat, seperti khidmat pendakwa, saksi, juru bahasa dan peguam, tidak
lagi berguna. Semua anggota manusia seperti lidah, tangan, kaki dan
lain-lain anggota, akan tampil menjadi pendakwa, saksi, peguam dan juru
bahasa.
|