Yang
Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato paduka Seri Setia Dr. Ustaz
Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan secara peribadi
melahirkan rasa kagum dan bangga membaca surat keliling Jabatan
Perdana Menteri Bil. 11/2009 bertarikh 27 Ramadhan 1430/17
September, 2009 bertajuk: Garis Panduan Tambahan Bagi Penghantaran
Keluar Negeri Untuk: A) Dihantar Bertugas atau Menghadiri
Persidangan/mesyuarat, B) Menghadiri Program Yang Berupa Latihan
Jangka Pendik.
Menurut Yang Berhormat Pehin, surat keliling itu ternyata merupakan
kelainan yang istimewa, tanda keperihatinan kerajaan untuk kebaikkan
semua iaitu baik pada kerajaan sendiri, baik kepada pegawai dan
kakitangannya, dan baik kepada negara.
Yang
Berhormat Pehin berkata, kerajaan dengan surat keliling tersebut
telah mentadbir dan mengurus supaya pelayaran bagi tiap-tiap pegawai
dan kakitangan hendaklah ia dari kategori “pelayaran taat”.
Kerajaan mahu pelayaran kita kerana tugas mesti bernama “pelayaran
taat” dan bersih daripada sebarang unsur dosa atau maksiat.
Yang
Berhormat Pehin menjelaskan demikian ketika menyampaikan kuliah
subuh bertempat di Masjid Kampong Bunut pada 27 Syaaban 1431 Hijriah
bersamaan 8 Ogos 2010.
Menurut Yang Berhormat Pehin, garis panduan di dalam surat keliling
tersebut adalah cukup cantik dan orang lain jarang teringat akan
perkara ini. Mungkin di mana-mana jua pun di dalam dunia ini, harus
saja belum pernah ada lagi garis panduan seumpama itu. Dan jika ini
betul, ini tandanya Brunei hebat, rajanya hebat, kerajaan dan
umatnya hebat kerana perkara ini bukan perkara remeh. Ini adalah
jalan atau cara untuk mencari berkat. Kerajaan Kebawah Duli mahu
supaya pelayaran pegawai-pegawai dan kakitangannya adalah pelayaran
taat. Pelayaran taat itu pelayaran berkat, Malaikat mendoakan,
Malaikat memayungi dengan benderanya.
Adapun belayar seorang diri, jelas Yang Berhormat Pehin tidak
termasuk dalam kategori pelayaran taat dan tidak diingini oleh agama
kerana beresiko dan macam-macam boleh terjadi dalam pelayaran.
Terdahulu sebelum itu Yang Berhormat Pehin telah menjelaskan bahawa
perkara belayar atau berjalan-jalan mengembara adalah termasuk
perkara agama dan setiap perkara agama itu adalah bertempat di sisi
Allah, dibuat ada dengan hukum-hukumnya, adab dan etikanya.
Faedah safar dan belayar seperti Sabda Nabi Shalllallhu ‘alaihi
wasallam dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi
Syaibah, at-Thabarani dan al-Baihaqi daripada Imam Ahmad yang
bermaksud: Belayarlah kamu, nescaya kamu sihat, dan pergilah
berjihad nescaya kamu beroleh kekayaan.
“Kita pernah menasihati orang-orang yang ada masalah kesihatan atau
kita sendiri yang dinasihati supaya pergi ke tempat-tempat yang
bagus untuk bertukar angin supaya sihat atau bertambah-tambah
sihat. Nasihat ini selaras dengan nasihat para doktor kepada
pesakit-pesakit mereka. Namun sebelum para doktor menemukan faedah
“bertukar angin” ini sebagai cara mendapatkan kesihatan, Nabi kita
Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah
terlebih awal menemukannya.” jelas Yang Berhormat Pehin.
Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam telah memberitahu kita tentang orang yang belayar dan
mengambara ini apa yang berlaku kepadanya sejajar dengan tujuannya
belayar itu sebagaimana peringatan baginda dalam sebuah hadits
riwayat Abu Hurairah, Isnad sahih daripada al-Imam Ahmad bahawa
tidak dari orang yang keluar bermusafir itu, melainkan pintu
rumahnya akan ada dua bendera: Satu bendera dipegang oleh Malaikat
dan satu bendera lagi dipegang oleh syaitan. Jika ia keluar musafir
bagi sesuatu tujuan yang disukai oleh Allah, maka Malaikat akan
mengikutnya dengan bendera di tangan, serta dia akan sentiasa di
bawah bendera Malaikat itu sehingga ia kembali semula di rumahnya.
Sementara kalau dia keluar musafir bagi sesuatu tujuan yang dibenci
oleh Allah, maka syaitan akan mengikutnya dengan bendera di tangan
serta dia akan sentiasa di bawah bendera syaitan itu sampai dia
kembali ke rumahnya.
“Orang yang musafir diiringi Malaikat dengan benderanya dinamakan
safar atau pelayaran taat. Orang ini adalah orang besar atau VIP
pada sisi Allah dan akan memperolehi inayah Allah (pemedulian Allah)
dan keredhaan-Nya.
Sementera safar atau pelayaran orang yang diiringi syaitan dengan
benderanya adalah namanya safar atau pelayaran maksiat dan adalah
hina dina dan dimurkai oleh Allah. Tidak ada doa Malaikat dan inayah
Allah (pemedulian Allah) kepadanya, yang ada hanya dosa dan laknat
sebagaimana syaitan dilaknat.” tegas Yang Berhormat Pehin.
Yang
Berhormat Pehin seterusnya menegaskan bahawa sebelum memulakan
pelayaran adalah penting untuk kita menentukan dan mengenal pasti
tujuan kita belayar. Pastikan tidak ada sebarang unsur maksiat.
Hadir di majlis tersebut ialah Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti
Kerajaan, Dato Paduka Awang Ahmad Bukhari, pegawai-pegawai dari
jabatan Mufti Kerajaan, pegawai-pegawai masjid dan ahli-ahli takmir
masjid Kampong Bunut serta penduduk kampong sekitar.