Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Darulifta Brunei Darussalam Spg 26, Jln Pg Babu Raja BA2112, Negara Brunei Darussalam

 

 

Buku Melayu Islam Beraja: “Mahkota Negara”  Dan
Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah: Penyelamat Ummah Di Lancarkan

Oleh : Awang Osman bin Awang Abu Bakar


 Selasa 3 Muharram, 1433 bersamaan 29 November 2011
 

 
 

Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri melancarkan dua buah buku terbitan terbarunya bertempat di Indera Kayangan Ballroom, Empire Hotel anda Country Club, Jerudong pada 3 Muharram, 1433 bersamaan 29 November, 2011 jam 10.00 pagi. 

Hadir selaku tetamu kehormat seterus menyempurnakan pelancaran buku-buku tersebut ialah Menteri Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, yang juga Pengerusi Majlis Tertinggi MIB. 

Dijangka turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis Tertinggi MIB; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan  Pehin Orang kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Suhaili bin Haji Mohiddin; beberapa orang Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan, Pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan. 

Majlis pada hari ini dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihaah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis iaitu Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah. 

Majlis diteruskan dengan ucapan dan pelancaran oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan Bicara Buku  Melayu Islam Beraja: ”Mahkota Negara” – Wacana Sajak Sebuah Negara Bangsa: Memohon KeredhaanNya oleh Yang Mulia Prof.  Dr. Hj. Mohd Sahlan bin Hj. Mohd Saman, (Profesor Kesusasteraan Bandingan), Program Kesusasteraan Melayu, FSSS, Universiti Brunei Darussalam. 

Majlis turut diserikan dengan bacaan Selawat Ibrahimiah oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan. 

Dua buah buku yang dilancarkan itu ialah: 

1.  Melayu Islam Beraja: “Mahkota Negara” . 

Buku ini setebal 76 mukasurat ini adalah sebuah puisi panjang hasil penaYang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan yang juga dikenali dengan nama pena Adi Rumi. 

Penerbitan buku ini adalah sebagai usaha awal dan langkah permulaan JMK untuk mempelbagaikan bahan terbitannya. 

Melayu Islam Beraja: “Mahkota Negara” adalah penulisan mengenai konsep negara iaitu Melayu Islam Beraja (MIB) yang diterjemahkan dalam bentuk puisi oleh penulisnya seorang pemikir dan intelektual Islam. 

MIB memang layak disifatkan sebagai Mahkota Negara kerana statusnya dan fungsinya sebagai lambang kedaulatan.  Selaku kedaulatan, konsep ini hendaklah didokong dan dipertahankan dan tidak boleh diabaikan atau ditolak, malah tidak boleh sumbing kerana jika sumbing bermakna cacatlah kedautalan itu. 

Selain daripada orang awam, buku ini sangat relevan dan mustahak dimiliki oleh para penulis, penyair, pelajar pusat-pusat pengajian tinggi dan peminat-peminat yang tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan puisi dan sastera tanah air. 

2.  Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah: Penyelamat Ummah 

Buku ini adalah kandungan kertas kerja Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan di Seminar Antarabangsa  Mengenai Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, sempena Sambutan Jubli Perak Penubuhan Pusat Da’wah Islamiah, pada 24 Rabiulakhir 1432 bersamaan 29 Mac, 2011 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam. 

Buku ini mengandungi 72 mukasurat  diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Arab dan Inggeris.  Buku ini menjelaskan bahawa Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah kepercayaan dan keyakinan yang dianuti oeh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat Baginda. 

Buku ini juga mengupas tentang hadits yang menjelaskan bahawa umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam akan berpecah kepada 73 golongan dan kesemua golongan itu akan masuk neraka kecuali satu sahaja yang akan masuk Syurga iaitu golongan yang berpegang dengan pegangan Rasulullah dan para sahabat Baginda.  Golongan yang dimaksudkan itu ialah golongan yang berpegang dengan aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah. 

Golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ini bulat dalam ucapan Dua Kalimah Syahadah dan bulat dalam aqidah:  Percaya kepada ‘alam ghaib (Akhirat), Hari Kebangkitan, perkumpulan di Padang Mahsyar, pahala dan dosa ditimbang, berjalan melalui ash-Shirath (titian Shirath al-Mustaqim), orang yang baik/yang salih masuk syurga, sementara orang derhaka akan tergelincir jatuh dan masuk neraka. 

Orang Ramai Yang Ingin Memiliki Buku-Buku Ini 

Kedua-dua buku ini akan mula dijual kepada orang ramai di luar dewan sebaik sahaja Majlis Pelancaran sempurna diadakan.  Selain daripada itu, buku ini juga akan dijual di Pesta Buku dan ICT, anjuran Persatuan Perpustakaan Negara Brunei Darussalam bertempat di Dewan Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas dari 28 November hingga 2 Disember, 2011 jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam. 

Pada hari-hari biasa buku ini akan dijual di Jabatan Mufti Kerajaan pada waktu pejabat. 

Buku Melayu Islam Beraja: “Mahkota Negara” akan dijual dengan harga $4.00 senaskhah dan buku Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah akan dijual pada harga $3.00 senaskhah. 

Jabatan Mufti Kerajaan sehingga kini telah menerbitkan 76 judul buku.  Buku-buku tersebut boleh dibeli di Jabatan Mufti Kerajaan pada waktu bekerja, di toko-toko buku yang dilantik dan di pesta dan pameran buku yang disertainya.

 

Antara Tetamu  Dan Jemputan Yang Hadir ketika  pelancaran  buku  : 
Melayu Islam Beraja: “Mahkota Negara” Dan
Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah: Penyelamat Ummah 

 

Ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin PSRK Hj Abu Hanifah, Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan

 

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong melancarkan kedua-dua buah buku tersebut

 

Selawat Ibrahimiah oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan.

 

Menyaksikan Penjualan Buku Terbitan JMK dan Buku Yang Baru Dilancarkan

 
 
 

<< Kembali ke Muka Depan

 

Copyright @ 2009 Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri