|
Sempena Majlis Perasmian Expo
Islam Antarabangsa Pertama pada hari sabtu, 28 Jamadilakhir,
1422 bersamaan 18 Ogos 2001, Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin
Waddaulah Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei
Darussalam telah berkenan menamakan bangunan Jabatan Mufti
Kerajaan sebagai Darulifta' Brunei Darussalam.
Kompleks bangunan Darulifta'
Brunei Darussalam mengandungi dua blok bangunan utama. Blok
pertama ialah blok pentadbiran yang menempatkan pejabat
Mufti Kerajaan, Timbalan Mufti Kerajaan dan Pengarah
Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan. Di blok pentadbiran ini
juga disediakan kemudahan bilik-bilik mesyuarat dan
ruang-ruang pejabat bagi pegawai dan kakitangan, seperti
bahagian-bahagian Ifta', Buhuth dan Irsyad, Tasyrie',
Urusetia Fatwa, Penerbitan dan Penerangan, Kakitangan dan
Perkhidmatan serta Perancangan dan Kewangan.
Sementara blok kedua
kompleks bangunan ini mengandungi Balai Pameran Islam Sultan
Haji Hassanal Bolkiah, Perpustakaan Islam Brunei Darussalam
dan surau.
Balai Pameran Islam Sultan
Haji Hasanal Bolkiah mempamerkan koleksi Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Mushaf,
Tasbih, Tongkat dan Manuskrip Arab, Parsi dan Nusantara.
Perpustakaan Islam Brunei
Darussalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kajian dan
rujukan sebagai langkah ke arah melaksanakan agenda Jabatan
Mufti Kerajaan untuk mengumpul, mengembang dan menyebarkan
ilmu dan maklumat Islam.
Sementara surau yang
ditempatkan di tingkat 3 boleh menampung seramai lebih
kurang 300 orang jemaah. Ia juga digunakan untuk
majlis-majlis ilmu seperti seminar, forum dan sebagainya. |