Buku ini adalah teks
ceramah Yang Berhormat
Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz
Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan sempena
Sambutan Awal Tahun Hijriyyah 1428/2007 anjuran Kementerian
Kewangan.
Pada Hari ini, dunia perbelanjaan semakin
meluas. Umat Islam seperti masyarakat lain tidak terkecuali
daripada menggunakan mekanisme pengurusan kewangan moden. Kita
tidak dapat mengelakkan diri daripada berurusan dengan
pusat-pusat kewangan yang tidak memenuhi ciri-ciri yang
digariskan oleh Islam. Kita turut menyimpan, meminjam dan
juga membayar Interest. Cukup
lama kita turut meringkuk di dalam penjara-penjara riba,
sehinggalah lahirnya pakar ekonomi Islam dan penubuhan
bank-bank atau institusi kewangan Islam. Setakat
pandai berbank sahaja dan setakat mahir berinteraksi dalam
pengurusan dan pengendalian bank belum cukup untuk kita
kerana ia baru syari‘ahnya sahaja. Kita mesti memasuki dua
pertimbangan teras lagi: Aqidah dan Ibadah.
Dengan pertimbangan Ibadah yang berpaksikan
ketaatan, perbankan Islam dapat melepaskan fardhu kifayah
dan melepaskan ummah daripada belenggu riba. Dengan
pertimbangan itulah kita akan sentiasa ingatkan Allah,
sentiasa berniat kerana Allah dan tidak akan bersungut
kerana keuntungan yang sedikit dan adanya tuntutan
mengeluarkan zakat serta sedekah. Sambil itu kita
mengelakkan riba. Kita hendaklah konsisten dan menjalankan
sistem perbankan yang dapat menyumbang kepada ekonomi yang
lebih kukuh dan maju untuk ummah dan negara. Pertimbangan
aqidah pula akan menentukan survival institusi
kewangan kita, apabila kita mengimani dengan mendalam bahawa
langkah berbank tanpa riba, langkah mengurus dan
mengendalikan kewangan mengikut lunas-lunas Islam akan
mendatangkan keberkatan daripada redha Allah. Langkah
demikianlah yang akan kita kembang dan pertahankan sehingga
akhir hayat. Keyakinan bahawa zakat yang dikeluarkan akan
menggandakan keuntungan dan sedekah yang diberikan akan
mengembangkan lagi urusniaga bank adalah ciri-ciri aqidah
yang dapat menyelamatkan ekonomi daripada runtuh dilanda
inflasi dan berbagai lagi bencana lain. Beberapa
kisah tauladan dinukil oleh penulis untuk dihayati bagaimana
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendidik para
sahabat supaya benar-benar yakin dan beriman kepada Allah
dalam setiap urusan, khususnya dalam hal rezeki dan kewangan.
Untuk mendapatkan penjelasan yang sepenuhnya
mengenai perkara-perkara tersebut, silalah ikuti seterusnya
isi kandungan buku ini yang mengungkap dengan jelasnya apa
yang dimaksudkan oleh penulis sebagai “Kita Berbank Dengan
Aqidah, Syariah Dan Ibadah”.