Buku Haji & Umrah
merupakan kompilasi/himpunan fatwa yang berkaitan dengan
berbagai persoalan masyarakat Islam mengenai ibadat haji,
umrah, Tanah Suci Makkah dan Madinah serta berbagai isu yang
berkaitan dengannya. Himpunan fatwa ini mencerminkan tentang
keprihatinan dan pemedulian masyarakat Islam tentang
pelaksanaan rukun Islam yang kelima ini agar ibadat yang
dilaksanakan ini bukan hanya sekadar dibuat mengikut
tradisi atau trend semata-mata, tetapi lebih daripada itu
adalah untuk mencapai kesempurnaan pengabdian kepada Allah
dan mendapatkan haji dan umrah yang mabrûr.
Keistimewaan buku ini ialah, ia menggabungkan fatwa-fatwa
dua zaman, iaitu semasa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja
Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dan juga
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Setia
Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan yang
ada sekarang ini.
Buku ini mengetengahkan
berbagai aspek pelaksanaan ibadat haji dan umrah berdasarkan
soalan-soalan daripada umat Islam setempat, terdiri daripada
berbagai lapisan masyarakat awam, para pentadbir yang
menyelenggarakan urusan haji dan umrah, dan pegawai-pegawai
yang ditugaskan untuk menguruskan hal ehwal jemaah haji dari
tahun 1964 hingga 2005. Antara kandungannya yang menarik
ialah mengenai perempuan hamil menunaikan haji, berhutang
untuk pergi haji tetapi setelah pulang tidak terbayar
hutangnya, permasalahan jemaah haji yang sakit, peranan
pegawai haji dan pegawai perubatan ketika bertugas di Tanah
Suci, dan banyak lagi isi kandungan bernilai ilmiah yang
perlu diketahui oleh semua.
Mengandungi lebih daripada 80
soalan berkaitan haji dan umrah, buku ini mengupas dan
membincangkan dengan meluas berbagai masalah dan persoalan
hukum dalam ibadat ini dengan berpandukan al-Qur’an, hadits
dan qaul para ulama dengan kupasan yang menarik.
Orang ramai boleh membeli buku ini selepas majlis
pelancarannya di Jabatan Mufti Kerajaan dan juga kaunter
pejabat Darussalam Holdings. Pada hari pelancaran buku ini,
harga yang ditawarkan adalah dengan potongan 20% iaitu $8.00
senaskhah, sementara pada hari-hari lain berharga $10.00.
Harga
Halaman
ISBN
Harga |
: 294 muka surat
: 99917-33-78-7
: B$10.00 |
>>> back