13 Zulhijjah 1436 bersamaan 27 September 2015
Seramai 95 orang asnaf fakir miskin dari 51 orang ketua keluarga dengan 44 orang tanggungan menerima daging ibadah korban Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei Sdn. Bhd. dalam Majlis Ibadah Korban bersama kedua-dua institusi.
Kesepakatan antara kedua institusi ini telah berlangsung selama lebih 15 tahun iaitu sejak 1999 yang lalu. Pada tahun ini sejumlah dua ekor lembu, 10 ekor kerbau dan tiga ekor kambing disembelih untuk dijadikan ibadah korban.
Asnaf dari Kampong Lambak dan Terunjing itu menerima daging-daging korban tersebut di Majlis Ibadah Korban anjuran bersama Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dan Penerbangan Diraja Brunei dan anak-anak syarikat dibawahnya.
Majlis berlangsung di Masjid Kampong Lambak, Berakas, Negara Brunei Darussalam pada 13 Zulhijjah 1436 Hijriah bersamaan27 September 2015 Masihi dengan kerjasam Majlis Perundingan Kampong Lambak ‘A’ dan Lambak ‘B’.
Hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat Penerbangan Diraja Brunei Sdn. Bhd., pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari kedua-dua institusi.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah diikuti dengan penyembelihan binatang korban iaitu tiga ekor kambing dan bacaan Selawat Ibrahimiah oleh pegawai-pegawai JMK dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei Sdn. Bhd.
Majlis kemudian beredar ke dalam dewan masjid dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Bersama Majlis, Yang Mulia Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Abu Hanifah, Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan. Acara kemudian diteruskan dengan penyerahan daging korban kepada ketua keluarga asnaf fakir miskin disempurnakan oleh Yang Mulia Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.
Usai majlis di dalam dewan, penyampaian daging-daging korban kepada para jemputan telah disempurnakan di luar dewan.​







