Penolong Mufti (Ifta’) Hadiri Persidangan Antarabangsa ke-11 Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa Sedunia



Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti (Ifta’) hari ini bertolak ke Kaherah, Republik Arab Mesir bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-10 Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa Sedunia (General Secretariat for Fatwa Authorities Worldwide), selaku wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.
Tema persidangan pada tahun ini ialah “Cabaran Kekeluargaan dalam Menghadapi
Transformasi Besar: Suatu pendekatan Kefatwaan bagi Melindungi Institusi Keluarga,
Menjangkakan Masa Depannya serta Memelihara Identiti” dan akan bersidang selama dua
(2) hari bermula 02 sehingga 03 September 2026 di Kaherah, Republik Arab Mesir.
Turut mendampingi beliau ke persidangan tersebut ialah Haji Khairul Anwar bin Haji Muhammad, Pegawai Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan.
Diadakan di bawah naungan Tuan Yang Terutama Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Republik Arab Mesir, persidangan ini diadakan untuk membina asas pendekatan penyelesaian yang bersistematik dalam memahami perubahan cara kehidupan berkeluarga masa kini, dengan menggabungkan tiga aspek utama; iaitu analisis ilmiah yang tepat, sumbangan fatwa yang teratur dan pandangan jauh yang berorientasikan masa depan yang kukuh. Diharapkan pendekatan tersebut dapat memperkukuhkan keupayaan institusi agama dan institusi fatwa dalam mengikuti perkembangan semasa, di samping memberikan jalan penyelesaian yang bertanggungjawab dan seimbang, demi memelihara kestabilan keluarga serta menyokong Maqasid Syariah.
Dihoskan oleh Dar al-Ifta Republik Arab Mesir, persidangan ini dijangka akan dihadiri oleh para cendekiawan, mufti-mufti dan penyelidik dari 80 buah negara. Kehadiran ke persidangan tersebut juga adalah atas jemputan Yang Mulia Ustaz Dr. Nazir Muhammad ‘Ayyad, Mufti Besar Republik Arab Mesir selaku Presiden Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa Sedunia.