Majlis Pelancaran Laman Sesawang Jabatan Mufti Kerajaan dan Buku Terbaharu Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan

Majlis Pelancaran Laman Sesawang Jabatan Mufti Kerajaan dan Buku Terbaharu Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan

Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri mengadakan Majlis Pelancaran Laman Sesawang Jabatan Mufti Kerajaan dan Buku Terbaharu Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan berjudul “Khutbah ‘Idul-Adhha 1447H/2026M” bertempat di Ruang Legar, DarulIfta Brunei Darussalam.

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi menyempurnakan pelancaran laman sesawang serta buku terbaharu tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan; Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusuf, Penolong Mufti (Buhuth); Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti (Ifta’) serta jemputan- jemputan khas dan pegawai-pegawai dan kakitangan JMK.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Jakaria bin Haji Hitam, Pegawai Istinbat. Ini diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis, Yang Mulia Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman. Majlis diteruskan dengan ucapan khas daripada Tetamu Kehormat sebelum upacara pelancaran rasmi disempurnakan.

Pelancaran laman sesawang baharu ini diharapkan dapat memberikan kemudahan kepada masyarakat awam untuk mengakses maklumat keagamaan dan fatwa secara digital dengan lebih meluas. Manakala, buku terbaharu yang dilancarkan, “Khutbah ‘Idul-Adhha 1447H/2026M”, mengupas secara mendalam tentang hakikat ibadat korban yang bukan sekadar penyembelihan haiwan dan pengagihan daging kepada mereka yang berhak, malah
tersimpan daripadanya kisah agung yang penuh pengajaran mengenai keimanan, kesabaran, serta penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

Majlis tersebut turut menyaksikan Yang Berhormat Mufti Kerajaan menyempurnakan penandatanganan buku terbaharu terbitan jabatan dan dilanjutkan dengan penyampaian Waqaf Buku kepada para penerima.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji Jakaria bin Haji Hitam, Pegawai Istinbat.