Timbalan Mufti Hadiri Seminar Anjuran Akademi Fiqh Islam Antarabangsa di Jeddah

Timbalan Mufti Hadiri Seminar Anjuran Akademi Fiqh Islam Antarabangsa di Jeddah

Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan selaku ahli tetap Akademi Fiqh Islam Antarabangsa telah bertolak ke Jeddah, Kerajaan Arab Saudi pada hari ini bagi menghadiri seminar “Peranan Pemimpin Agama dalam Menangani Keganasan Terhadap Wanita”.

Turut mendampingi beliau ke seminar tersebut ialah Yang Mulia Haji Muhammad Ahmad Roza bin Haji Md Daud, Pegawai Istinbat Kanan di Jabatan Mufti Kerajaan. Seminar bertaraf antarabangsa ini dianjurkan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (International Islamic Fiqh Academy) dengan kerjasama Liga Dunia Islam (Muslim World
League) dan akan berlangsung pada 7 September, 2026 bersamaan 25 Rabiulawal, 1448 di sebuah hotel di Jeddah.

Seminar sehari ini bakal mengumpulkan pakar serta tokoh agama antarabangsa untuk membincangkan pelbagai kertas kerja utama mengenai konsep, punca, dan bentuk keganasan terhadap wanita.

Perbincangan juga menumpukan kepada peranan dan rujukan syarak dalam membetulkan kefahaman yang salah, serta strategi pendekatan kemasyarakatan, institusi, media, dan antarabangsa dalam pencegahan dan menangani isu berkenaan. Penyertaan ini membuktikan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam menyumbang pandangan syariah bagi isu-isu kemanusiaan dan sejagat di peringkat global.