Majlis Meraikan Tamat Kursus Latihan Industri Bagi 2 Pelajar Program Sarjana Muda Syariah, UNISSA

Majlis Meraikan Tamat Kursus Latihan Industri Bagi 2 Pelajar Program Sarjana Muda Syariah, UNISSA

Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) telah mengadakan Majlis Meraikan dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Latihan Industri bagi dua orang pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bertempat di Darulifta’ Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan.

Kedua-dua pelajar berkenaan merupakan pelajar Tahun 2 daripada Program Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Ushul), Fakulti Syariah, UNISSA yang telah menjalani Kursus Latihan Industri di jabatan ini selama 7 minggu bermula 13 Julai 2026 hingga 30 Ogos 2026. Majlis tersebut dihadiri oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman serta para pegawai dan kakitangan jabatan yang dijemput.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pentadbiran JMK. Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan sepatah dua kata yang disampaikan oleh wakil pelajar, Yang Mulia Muhamad Zuhairi bin Haji Jaludin, bagi menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan perkongsian pengalaman sepanjang menjalani latihan di jabatan berkenaan.

Majlis juga menyaksikan penyampaian Sijil Tamat Kursus Latihan Industri serta cenderahati kenang-kenangan kepada para pelajar UNISSA yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.