Forum Irsyad Hukum Sempena Sambutan Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1448H/2026M





Dalam usaha Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) menghidupkan Projek Memasyarakatkan Fatwa, satu sesi Forum Irsyad Hukum telah diadakan bersempena sambutan Maulidurrasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H / 2026M yang bertemakan “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah”.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusuf, Penolong Mufti (Buhuth), dan Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti (Ifta), serta pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan..
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Martino @ Abdul Azim bin Haji Ahmad, Pegawai Buhuth.
Acara diteruskan dengan Sesi Forum Irsyad Hukum yang dipengerusikan oleh Yang Mulia Abdul Hafiy bin Yahya, Pegawai Istinbat. Forum ini menampilkan dua orang panel iaitu Yang Mulia Dr. Haji Mas Reduan bin Haji Jumat, Ketua Buhuth, selaku Panel Pertama dan Yang Mulia Hajah Azalinah binti Haji Zainal Abidin, Pegawai Istinbat, selaku Panel Kedua untuk mengupas tema majlis secara mendalam.
Dalam sesi forum tersebut, para panel antara lain mengupas peranan keperibadian dan ajaran Baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai teladan utama dalam membimbing serta memantapkan pegangan akidah umat Islam. Perbincangan turut menekankan bagaimana pengorbanan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam menyelamatkan manusia daripada kegelapan syirik kepada cahaya iman dan tauhid dapat dijadikan panduan hidup dan suluh kehidupan dalam menghadapi cabaran semasa.
Bagi menyemarakkan lagi majlis, acara diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan di bawah pimpinan Yang Mulia Ustaz Mohammad Hilmi bin Yakop, Pegawai Buhuth.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh tetamu kehormat dan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Martino @ Abdul Azim bin Haji Ahmad.
Forum ini diadakan bagi meraikan dan menyemarakkan sambutan hari memperingati kelahiran Nabi Junjungan kita Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang merupakan salah satu hari-hari kebesaran Islam yang disambut di Negara Brunei Darussalam. Rakaman Forum Irsyad Hukum ini juga akan disiarkan melalui rancangan TV dan Rangkaian Nur Islam, Radio Televisyen Brunei (RTB). Selain itu, orang ramai juga boleh mengikutinya melalui laman YouTube rasmi JMK dan seksyen podcast di laman sesawang rasmi JMK melalui www.mufti.gov.bn setelah RTB menerbitkan siarannya.