Majlis Meraikan dan Penyampaian Sijil Tamat Menjalani Penempatan Kerja Sementara bagi Pelajar Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Majlis Meraikan dan Penyampaian Sijil Tamat Menjalani Penempatan Kerja Sementara bagi Pelajar Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) telah mengendalikan Majlis Meraikan dan Penyampaian Sijil Tamat Menjalani Penempatan Kerja Sementara bagi seorang pelajar Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Mulia Awang Ahmad Syahmi bin Haji Mohamad Rozaini, pada 10 September 2026 bersamaan 28 Rabiulawal 1448 bertempat di Darulifta’ Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan.

Pelajar berkenaan merupakan penerima anugerah biasiswa berprestij Sultan’s Scholar yang kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.

Majlis berkenaan dianjurkan bagi menandakan berakhirnya tempoh penempatan kerja sementara pelajar berkenaan yang telah dijalankan selama hampir dua bulan, bermula dari 13 Julai 2026 sehingga 10 September 2026. Sepanjang tempoh penempatan kerja sementara tersebut, beliau telah ditempatkan dan menjalani pendedahan tugas di Bahagian Ifta’ serta Bahagian Buhuth dan Irsyad.

Pada majlis tersebut, Pemangku Ketua Urusetia Fatwa, Yang Mulia Haji Hazimin bin Haji Ibrahim telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Mulia Awang Ahmad Syahmi atas komitmen, dedikasi, serta sumbangan yang telah diberikan sepanjang menjalani program penempatan kerja di JMK.

Majlis turut diselangi dengan ucapan sepatah dua kata daripada Yang Mulia Awang Ahmad Syahmi bin Haji Mohamad Rozaini, yang menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas bimbingan, pendedahan, serta pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang berkhidmat bersama pegawai dan kakitangan jabatan.

Majlis kemudiannya menyaksikan penyampaian Sijil Tamat Penempatan Kerja Sementara dan cenderahati kenang-kenangan yang disempurnakan oleh Pemangku Ketua Urusetia Fatwa kepada pelajar berkenaan.

Semoga pengalaman latihan yang ditimba di Bahagian Ifta’ serta Bahagian Buhuth dan Irsyad sepanjang tempoh penempatan ini akan dapat memberikan nilai tambah dan pemangkin semangat kepada pelajar berkenaan dalam meneruskan kecemerlangan akademik mahupun kerjaya pada masa hadapan.