Fungsi Organisasi

KEILMUAN

BAHAGIAN IFTA'

BAHAGIAN IFTA’ berfungsi sebagai jentera dalam membantu Mufti Kerajaan pada perkara-perkara berkaitan hal ehwal istinbath dan shiaghah iaitu penyediaan draf fatwa yang memerlukan kepada kerja-kerja kajian dan rujukan. Selain itu, bahagian ini juga berfungsi sebagai penyebar dan penyalur fatwa untuk pengetahuan umum melalui pelbagai program memasyarakatkan fatwa.

BAHAGIAN BUHUTH & IRSYAD

BAHAGIAN BUHUTH & IRSYAD berperanan membantu Mufti Kerajaan dalam memberikan penjelasan dan penerangan mengenai hukum-hakam syara‘ serta ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Secara umumnya, bahagian ini bertindak sebagai penggerak yang proaktif dalam memberikan bimbingan, panduan dan kefahaman kepada masyarakat mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan seharian serta isu-isu semasa.

Selain itu, Bahagian Buhuth & Irsyad turut bertanggungjawab melaksanakan penyelidikan dan kajian berkaitan hukum-hakam Islam, di samping menghasilkan penulisan Irsyad Hukum yang diterbitkan secara mingguan dalam akhbar rasmi kerajaan, Pelita Brunei. Hasil kajian dan penulisan tersebut turut disebarluaskan kepada masyarakat melalui pelbagai saluran media, termasuk akhbar, buku, radio, televisyen dan laman sesawang, bagi memastikan maklumat serta panduan berkaitan hukum-hakam Islam dapat diakses oleh masyarakat secara lebih meluas.

PENTADBIRAN

BAHAGIAN URUSETIA FATWA

BAHAGIAN URUSETIA FATWA merupakan salah satu bahagian bertanggungjawab dalam mentadbir dan mengurus Fatwa Mufti Kerajaan, Irsyad Hukum serta bahan-bahan rujukan yang berkaitan.

Tanggungjawab tersebut meliputi proses pengurusan persoalan berkaitan hukum syara‘ yang diterima daripada orang ramai melalui surat, e-mel atau telefon. Selain itu, bahagian ini turut bertanggungjawab dalam mengumpul, menyimpan, menjaga, memelihara dan menyebarluaskan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Mufti Pertama bagi tempoh 1962–1965 dan 1967–1993.

Di samping itu, Bahagian Urusetia Fatwa turut membantu dalam usaha penyebaran Fatwa dan Irsyad Hukum kepada masyarakat. Bahagian ini juga berfungsi sebagai pusat rujukan bagi orang ramai yang ingin mendapatkan fatwa dan Irsyad Hukum, sama ada untuk tujuan rujukan atau mendapatkan salinan, melalui permohonan rasmi secara bersurat.

BAHAGIAN PENERBITAN DAN PENERANGAN

BAHAGIAN PENERBITAN DAN PENERANGAN berfungsi dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan dan menyebarkan Fatwa Mufti Kerajaan dan Irsyad Hukum yang merupakan dua bahan utama Jabatan Mufti Kerajaan. Di samping itu, ia berfungsi sebagai platform dalam mendekatkan Jabatan Mufti Kerajaan dengan masyarakat melalui penerbitan dan penerangan sama ada melalui media massa, media elektronik dan media cetak iaitu dengan usaha mencetak dan menerbitkan buku, cakera padat dan suratkhabar.

BAHAGIAN PERANCANGAN DAN KEWANGAN

BAHAGIAN PERANCANGAN DAN KEWANGAN bertanggungjawab dalam merancang dan mengurus projek-projek tahunan dan kemajuan, kewangan iaitu merangka anggaran peruntukan tahunan dan mengawal perbelanjaan.

Di samping itu, Bahagian Perancangan dan Kewangan turut mengendalikan maklumat pegawai dan kakitangan dan hal ehwal am jabatan seperti hal ehwal lantikan dan kenaikan pangkat, disiplin dan kebajikan, serta perkara-perkara yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Skim Tarbiah Ulama dan pengurusan prestasi.

Selain itu, bahagian ini turut mengurus dan menyelaras perkara berkaitan bangunan, termasuk fasiliti, peralatan serta pengangkutan jabatan.

PERPUSTAKAAN ISLAM BRUNEI DARUSSALAM (PIBD)

PERPUSTAKAAN ISLAM BRUNEI DARUSSALAM (PIBD) mempunyai misi untuk menjadikannya sebagai “pusat rujukan Islam yang lengkap serta pusat penyelidikan dalam pelbagai disiplin ilmu dan maklumat Islam yang komprehensif”.

Bagi merealisasikan misi tersebut, bahagian ini bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan perpustakaan yang berkualiti dan terbaik kepada para pengguna melalui penyediaan kemudahan serta prasarana yang kondusif dan mesra pengguna.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah pembangunan dan pengkayaan koleksi perpustakaan yang merangkumi buku, manuskrip serta bahan-bahan audiovisual seperti video dan audio yang mengandungi ceramah, persoalan agama, motivasi dan sebagainya. Selain itu, perpustakaan turut menyediakan perkhidmatan koleksi digital, zon internet, perkhidmatan perpustakaan kanak-kanak serta pelbagai perkhidmatan lain yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan pengguna dan mendukung peranan perpustakaan sebagai pusat rujukan dan penyelidikan Islam.