Penolong Mufti (Buhuth) Hadiri Muzakarah Zakat Nusantara Kali Ke-2

Ahad, 23 Zulhijjah 1445 bersamaan 30 Jun 2024

Penolong Mufti (Buhuth), Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof telah bertolak ke Selangor, Malaysia pada pagi ini sebagai wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Hj Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan untuk membentang kertas kerja bertajuk “Agihan Dana Zakat oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD): Suatu Sorotan” di Muzakarah Zakat Nusantara Kali Ke-2 Tahun 2024.

Turut mengiringi beliau ialah Ustaz Pg Muhammad Wafiuddin bin Pg Hj Zulkarnain, Pegawai Buhuth di Jabatan Mufti Kerajaan.

Acara tahunan ini dijadualkan berlangsung selama empat (4) hari bermula pada 01 sehingga 04 Julai, 2024, bertempat di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia. Tema pada kali ini ialah ‘Kelestarian Syariah Dan Pemerkasaan Dakwah Zakat Mendepani Keperluan Zaman.’

Muzakarah Zakat Nusantara adalah anjuran Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan & Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Selangor (LZS). Pada penganjuran julung kali tahun lepas, Muzakarah Zakat Nusantara telah berjaya menghimpunkan para pemain dalam industri zakat melibatkan lima buah negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand.

Muzakarah Zakat Nusantara diharapkan menjadi medan terbaik untuk mempertemukan para pakar dan pengamal zakat, melibatkan penggubal fatwa, pembuat dasar, pengambil keputusan syariah dan juga tenaga pelaksana zakat, serta seterusnya saling berkongsi dan mempelajari perkembangan dalam industri zakat di negara masing-masing untuk dibawa pulang dan dilaksanakan di negara sendiri demi manfaat bersama.