





Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Tauliah Amil kepada Amil-Amil yang dilantik seluruh Negara bagi Tahun 1445–1446 Hijrah bersamaan 2024–2025 Masihi yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah pada 25 Sya’ban 1445 bersamaan 06 Mac 2024.
Bagi majlis di Daerah Tutong, hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan Sijil Tauliah kepada Amil-Amil ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan, selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei. Majlis berlangsung di Masjid Ar-Rahim, Kampong Bukit Panggal, Daerah Tutong.
Seramai 372 orang Amil dilantik bagi 144 kawasan tempat mengutip zakat di seluruh Negara pada kali ini. Bagi Daerah Tutong sahaja, penyampaian sijil telah disempurnakan kepada 60 orang Amil bagi 30 kawasan di Daerah Tutong.
Menurut siaran akhbar daripada Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Amil-Amil yang dilantik adalah terdiri daripada Pegawai-Pegawai Masjid, Imam-Imam, Bilal-Bilal, pegawai-pegawai beruniform daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pegawai Bomba dan Penyelamat serta kakitangan kerajaan yang bersesuaian.
Tempat-tempat pengutipan dan pembayaran zakat dilakukan di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadat, tempat bertugas Amil-Amil, di Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Daerah Brunei dan Muara serta cawangan-cawangan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal di Pejabat-Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Tutong dan Temburong.
Selain itu, orang ramai juga akan dapat membayar Zakat Fitrah secara atas talian ‘online’ melalui platform perbankan di Bank Islam Brunei Berhad (BIBD) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), dan juga melalui aplikasi syarikat telekomunikasi Datastream Digital (DST) dan Imagine Sdn Bhd. di sepanjang bulan Ramadhan 1445H nanti.