Timbalan Mufti Kerajaan Terima Lawatan Daripada Delegasi AUSTRALIA-ASEAN Muslim Exchange Program (AAMEP)

Isnin, 28 Zulhijjah 1444 bersamaan 17 Julai 2023

Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan telah menerima lawatan daripada 5 orang perwakilan delegasi Australian-ASEAN Muslim Exchange Program (AAMEP). Kunjungan tersebut berlangsung pada 17 Julai 2023 bersamaan 28 Zulhijjah 1444 di Darulifta’ Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan.

Delegasi diketuai oleh Rowan Gould, Pengarah program AAMEP. Turut hadir pada kunjungan tersebut ialah Tuan Yang Terutama Luke Lazarus Arnold, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam.

Delegasi daripada perwakilan AAMEP yang dalam rangka lawatan ke Brunei Darussalam selama seminggu ini adalah terdiri daripada lima pemimpin Islam dari Australia iaitu Kauthar Abdulalim, Zinab Al Hilaly, Anjuma Kasmani, Mohammad Khelil dan Ameen Soliman. Kunjungan ini adalah sebahagian daripada program pertukaran budaya dan intelektual perwakilan-perwakilan Muslim di kalangan negara-negara Australia dan ASEAN.

AAMEP ialah inisiatif Majlis Australia-ASEAN di bawah Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia, bersama Mosaic Connections dan disokong oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam. AAMEP bertujuan untuk memupuk hubungan rakyat dengan rakyat antara komuniti Islam di Australia dan ASEAN.