Kertas Perdana Persidangan Antarabangsa Universiti-Universiti Islam (ICIU 2023)

TEMA: “LANDSKAP PENDIDIKAN TINGGI ISLAM
ABAD KE-21: STRATEGI DAN HALA TUJU”
TAJUK:
“LANDSKAP PENDIDIKAN TINGGI ISLAM
ABAD KE-21: STRATEGI DAN HALA TUJU”
Anjuran UNISSA dengan kerjasama
ASIAN Islamic Universities Association (AIUA)
Disampaikan oleh:
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja
Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz
Haji Awang Abdul Aziz bin Juned
Mufti Kerajaan
Negara Brunei Darussalam
Tempat:
Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, Jerudong,
Negara Brunei Darussalam
Hari Selasa
8 Zulhijjah, 1444H
27 Jun, 2023M

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
.اَلَْحمدُ للهَ  ، وَالص​لَاةُ​ وَالسلَامُ ​عَلَى رَسُولَ الله ، وَعَلَى اٰلَهَ وَصَحبه وَمَن تَبَعَهُ وَوَالََاه. أَما بعدُ

Mengadap Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ampun beribu ampun,

Hamba Kebawah Duli Tuan Patik menjunjung kurnia perkenan untuk menunaikan hajat Jawatankuasa Penganjur Persidangan Antarabangsa Universiti-Universiti Islam 2023 anjuran UNISSA dengan kerjasama Pertubuhan Universiti-Universiti Islam Asia bagi hamba Kebawah Duli Tuan Patik membentangkan Kertas Perdana bertajuk “Landskap Pendidikan Tinggi Islam Abad Ke-21: Strategi dan Hala Tuju.” Hamba Kebawah Duli Tuan Patik juga menjunjung kurnia perkenan untuk menyampaikan pembentangan ini dalam​ bahasa biasa sebagai kemudahan jua.

Para hadirin yang dihormati,
Abad ke-21 disebut juga milenium ketiga dan abad golbalisasi, yang mencetuskan persaingan bebas yang sangat ketara lagi meluas. Dan salah satu impak negatif globalisasi atau modernisasi itu ialah menurunnya nilai ugama.

Nah, kerana itulah di sini, kita perlu mempunyai Landskap Pendidikan Tinggi Islam Abad Ke-21 dengan mengambil kira strategi dan hala tuju. Strategi bermaksud rancangan yang teratur untuk menyampaikan kita kepada matlamat atau sasaran hala tuju yang kita kehendaki.

Maka strategi utama kita, ialah untuk melihat Pendidikan Tinggi Islam terus unggul, bukan lemah atau dikaburi oleh globalisasi. Kalau globalisasi itu hebat, maka Islam juga, yang memang sedia hebat, mestilah terus hebat. Kerana Islam adalah tinggi, selamanya tinggi, tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Sebagaimana ungkapan الإسلام يعلو ولا
يعلى عليه . Islam adalah ugama Allah, ugama yang diredhaiNya, firmanNya: إن الدين عند الله الإسلام .

Para hadirin,
Mengenai pendidikan…

United Nation Educational Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah menggariskan dasar pendidikan itu sebagai:

i. Learning to think (belajar bagaimana berfikir).
ii. Learning to do (belajar bagaimana bekerja).
iii. Learning to be (belajar bagaimana untuk survive tetap hidup) dan;
iv. Learning to live together (belajar bagaimana untuk hidup bersama).

Semua inti pati dasar ini kita boleh terima. Kerana Islam sebenarnya sudah lebih awal mengungkap perkara-perkara itu. Di dalam al-Qur’an banyak ayat-ayat yang menggalakkan berfikir, seperti ungkapan-ungkapan berbunyi:

لَعَلَّكُمۡ​ تَتَفَ​كَّرُونَ (البقرة : 219) 
Tafsirnya: “Mudah-mudahan kamu memikirkannya.”

فَلََ تَعۡقِلُونَ ​(أالبقرة : ​44 )
Tafsirnya: “Apakah kamu tidak berfikir?”

أفَلََا تَذَ​كَّرُونَ​ (الصافات : 15​​5)​ 
Tafsirnya“Apakah kamu tidak mengambil pengajaran dengan berfikir?”

Dan lain-lain lagi. Islam juga menggalakkan kerja keras, seperti firman Allah:

ٱعۡمَلُواْ فَسَيَََى ٱلَّلَُّ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُُُ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ (التوبة : 105 ) …

Tafsirnya: “…. Bekerjalah kamu, Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

Dalam Surah al-Jumu`ah ayat 10, Allah mengingatkan tafsirnya: “Apabila sembahyang sudah ditunaikan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah Ta`ala…” Sementara konsep hidup bersama, al-Qur’an telah mengungkap dalam Surah al-Hujuraat ayat 13, tafsirnya: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami juga telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (hidup bersama dan beramah mesra)…”

Demikian Islam telah mendahului UNESCO dalam mencipta dasar pendidikan. Namun begitu, kita umat Islam masih saja dilihat tertinggal di belakang. Ya, mengapa, mengapa kita masih tetap di belakang? Mengapa orang lain sudah berjaya meneroka angkasa, sedang kita masih tetap tahan-tahan di bumi?

Ya mengapa, mengapa nama Neil Armstrong yang dinobat sebagai manusia pertama menjejaki bulan, mengapa bukan nama Ahmad atau Ali?

Ah inilah persoalan itu yang perlu kita cari jawapannya. Jawapan yang tepat adalah merujuk kepada “penguasaan.” Semua bidang kehidupan memerlukan penguasaan. Bidang ekonomi dikuasai dengan apa? Bidang pentadbiran dikuasai dengan apa? Bidang ketenteraan dikuasai dengan apa? Bidang pembangunan dikuasai dengan apa? Bidang sains dan teknologi dikuasai dengan apa? Dengan apa ALAT untuk menguasai semua ini, dengan apa?

Ya, disinilah persoalan kita itu. Al-Qur’an al-Karim telah mengisyaratkan petunjuk, bahawa penguasaan tidak mungkin dicapai,​ kecuali hanya dengan ilmu sahaja, termasuk penguasaan angkasa lepas yang sangat mencabar itu, hanya mampu untuk dicapai dengan ilmu juaز

Allah Subhanahu Wata`ala berfirman dalam Surah ar-Rahman ayat 33:

يَـٰمَعۡشَرَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ إِنِ ٱسۡتَطَعۡتُمۡ أَن تَنفُذُواْ مِنۡ أَقۡطَارِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ فَٱنفُذُواْ‌ۚ لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلۡطَـٰنٍ۬​

Tafsirnya: “Wahai jemaah jin dan manusia, kalau kamu (merasa) mampu untuk menembusi lapisan-lapisan langit dan bumi, maka cubalah kamu menembusinya. (Tetapi ingat) kamu tidak akan mampu menembusi, kecuali dengan kuasa sahaja.”

Ada ulama yang menafsirkan kuasa ini sebagai “ilmu”, yakni, dengan kuasa ilmu sahaja, makhluk jin dan manusia baru akan mampu untuk meneroka kehidupan ini, khasnya meneroka angkasa dan bumi.

Oleh itu, kita usah hairan, kalau nama Neil Armstrong, bukan nama Ahmad atau Ali yang dinobat menjejaki bulan, kerana ilmu meneroka angkasa sudah dimiliki oleh pihak Neil Armstrong, sedang di pihak kita pula, belum lagi memilikinya, maka kekallah kita masih jadi penonton sahaja.

Ayatيَـٰمَعۡشَرَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ adalah cabaran terbuka secara umum kepada seluruh makhluk jin dan manusia tanpa mengira pengangan mereka. Kerana ayat itu di sini tidak berbunyi نِيََٰمَعۡشَََ ٱلۡۡجن والمسلمين (wahai jemaah jin dan kaum muslimin) tidak! Tetapi ayat berbunyi:يَـٰمَعۡشَرَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ terbuka kepada siapa sahaja, muslim atau non muslim, siapa sahaja pemilik ilmu, merekalah yang akan diperkenankan oleh Allah untuk menguasai segala bidang.

Ah lantaran itu di sini, Landskap dan Strategi Pendidikan Tinggi Islam Abad Ke-21 perlu dikemas kini dan diperkasa. Kalau yang membawa Neil Armstrong ke bulan ialah ilmu sains dan teknologi, maka Pendidikan Islam Abad Ke-21 juga mesti turut mengutamakan ilmu ini. Pusat-Pusat Pendidikan Tinggi kita mesti membuka pintunya luas-luas untuk ilmu ini. Kita akan namakan ia dengan nama “Ilmu Sains Islam.” Kerana ilmu sains Islam mempunyai kelebihan dari ilmu sains barat. Ilmu sains barat hanya semata-mata berteraskan uji kaji terhadap benda-benda yang dapat dilihat, ditimbang, dihitung dan diukur semata-mata, sementara ilmu metafizik dan soal-soal keimanan hanya dianggap “andaian” sahaja, yang sukar untuk diterima oleh akal, berbanding sains Islam, tetap percaya kepada kuasa Allah dan perkara-perkara ghaib.

Kita tidak mahu pusat-pusat pengajian tinggi kita tidak celek ilmu sains, tetapi yang kita mahu, mereka juga mesti jadi pelopor dan penghayat ilmu ini. Kita tidak mahu para mahasiswa dan mahasiswi kita menganggap Islam itu miskin sains atau dalam al-Qur’an tidak ada sains.

Saya sebutkan perkara ini, berdasarkan kejadian telah pernah berlaku, iaitu seseorang menganggap, dalam al-Qur’an tidak ada sains.
Pada kira-kira akhir tahun 70an atau awal 80an, saya telah diminta untuk menjadi salah seorang ahli panel dalam forum anjuran Sekolah SOAS. Saya amat terkejut apabila seorang guru bangun memberi pendapat, katanya: “Dalam al-Qur’an tidak ada ilmu sains.”

Tanpa mempunyai persediaan awal, saya alhamdulillah dapat menyangkal pendapat guru ini. Saya katakan kepadanya: “Tuan! Al-Qur’an mengandungi khazanah ilmu, tidak terkecuali juga ilmu sains. Kalau tuan membaca Surah Yaasiin sahaja, surah ini mengandungi fakta-fakta saintifik mengenai fenomena alam, fenomena siang dan malam, peredaran planet dan cakerawala dan lain-lain.​

Satu contoh ayat sains dapat saya bawakan, Allah berfirman:

وَأَرۡسَلۡنَا ٱلرِّيَـٰحَ لَوَٲقِحَ (الحجر : 22)

Tafsirnya: “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih (angin membawa awan mengandungi hujan, angin juga membawa dibunga jantan kepada dibunga betina dari sebatang pohon ke pohon yang lain. Dan dari hasil pertemuan inilah, maka lahirnya buah-buahan).”

Nah tidakkah ini sains? Ya, tidak dapat disangkal lagi bahawa ini adalah ayat sains.

Menurut Sayyid Qutb Rahimahullah, kata saya, dalam kitab tafsirnya “فى ظلال القرآن ”, sebelum ayat وَأرۡسَلۡنَا ٱلرِيََٰحَ لَوََٰقِحَ ini turun, buah kurma di Tanah Arab adalah biasa-biasa sahaja, bersaiz kecil-kecil. Tetapi manakala ayat ini turun, orang Arab sudah pandai mengahwinkan pohon-pohon kurma, menjadikan buah-buah kurma jadi pelbagai dan bersaiz besar-besar. Dan kini, amalan mengahwinkan pohon-pohon itu telah pun jadi budaya di seluruh dunia. Dari mana ilmu ini didapat? Dari al-Qur’an, semenjak dari 1400 tahun lebih lagi.

Isu yang seakan-akan sama merendahkan al-Qur’an, telah berlaku di zaman Ibnu Sina seribu tahun yang lalu (980-1037M): Seorang mulhid (atheis) muncul menyergah Ibnu Sina: “Wahai Ibnu Sina, saya telah pun membaca seluruh al-Qur’an, tetapi saya tidak berjumpa walau satu ayat pun mengenai perubatan.”

Membalas Ibnu Sina:

”…يَا هٰذَا ، إِ نَّ كِتَابَنَا جَمَعَ الطِّبَّ كُلَّهُ فِي نِصفِ اٰيَة“

Maksudnya: “Wahai lelaki, sesungguhnya kitab kami (al-Qur’an) telah mengumpul semua hal ehwal perubatan (cuma) dalam setengah ayat sahaja.”

“Apa ia setengah ayat itu, wahai Ibnu Sina?”

Ibnu Sina pun membaca setengah daripada ayat 31 Surah al-A‘raaf:

وَڪُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ ​

Tafsirnya: “… dan makan serta minumlah kamu, tetapi jangan sampai melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batasan.”

Ah ini ayat perubatan selengkapnya menurut Ibnu Sina, cuma setengah ayat sahaja dari al-Qur’an Subhanallah. Apa betulkah pendapat Ibnu Sina ini? Ya, tidak diragukan lagi adalah seratus peratus tepat dan betul berdasarkan, cuba kita perhati, para pakar, baik di timur mahupun di barat, semua mereka telah sekata berpendapat, bahawa kesihatan adalah dibina dengan makanan, sementara penyakit pula, juga berpunca daripada makanan. Jika makanan dimakan dengan sukatan yang betul dan tidak melampau batasan, maka ia adalah ubat. Sebaliknya jika makanan dimakan tanpa sukatan yang betul dan melampaui batasan, ia adalah racun.

Demikian, sains perubatan Islam ini, yang merujuk kepada hal ehwal permakanan telah pun sama-sama dipakai dan diperaku oleh kalangan antarabangsa.

Sedikit lagi tentang hebatnya sains Islam. Di zaman Sayyidina Umar bin al-Khaththab Radhiallahu `Anhu, datang seorang perempuan mengadu bahawa dia telah diperkosa oleh seorang lelaki, dengan menunjukkan bukti air mani lelaki itu ada melakat dibajunya. Sayyidina Umar berpuas hati dengan bukti ini sebagai boleh diterima dan lelaki yang dituduh mesti dihukum. Tetapi Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah tidak segera bersetuju, sebaliknya beliau mahu untuk membuat ujian terlebih dahulu. Lalu beliau pun meminta air panas mendidih dan menuangnya ke atas baju perempuan yang ada air mani lelaki itu. Apabila air mani yang didakwa oleh perempuan itu terkena air panas, kedapatan ianya membeku. Membeku. Ternyata ia adalah “putih telur” bukannya air mani. Kerana jika betul ia air mani apabila terkena air panas ia akan hilang begitu sahaja, bukannya membeku.

Nah, dengan ujian yang dilakukan oleh Sayyidina Ali ini, maka terbuktilah bahawa perempuan adalah pembohong, dan lelaki yang dituduh mesti dibebaskan, terselamat daripada menerima hukuman.

Nampak kita, Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah di sini adalah pakar sains (saintis) yang tidak ada tolak bandingnya ketika itu, sehingga Sayyidina Umar mengaku, sekiranya bukan kerana Ali, nescaya binasalah Umar akan menghukum orang yang tidak berdosa.

Demikian gambaran, betapa pentingnya ilmu sains. Ia bukan sahaja alat untuk meneroka angkasa, bahkan juga lebih utama, berperanan untuk menegakkan hukum Allah dalam kehidupan manusia.

Makanya, Landskap Pendidikan Tinggi Islam, jangan ia meminggirkan ilmu sains, tetapi turut memertabatkannya sebagai salah satu ilmu teras yang wajib dipelajari. Tiada halangan bagi kita untuk menerima dan mempelajari sama sains barat yang berunsur kebendaan, tetapi kita akan lengkapi ia dengan sains Islam yang mengiktiraf kuasa Allah dan mempercayai perkara-perkara yang berhubung kait dengan keimanan sebagai pasaknya.

Ampun beribu ampun,

Sekian sahaja pembentangan secara ringkas. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau sorok langkah, maka hamba Kebawah Duli Tuan Patik menjunjung berbanyak-banyak ampun dan maaf jua.

وبالله التوفيق والهداية ، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hamba Kebawah Duli Tuan Patik menjunjung anugeraha.
* ​* *