Ucapan YB Pehin Mufti ketika Bengkel Sembahyang Menggunakan Kerusi di Daerah Temburong

Ucapan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan selaku Tetamu Kehormat Bengkel Sembahyang Menggunakan Kerusi pada 18 Dzulkaedah, 1442 bersamaan 29 Jun, 2021 di Bangunan Program Khidmat Bakti Negara, Daerah Temburong.

Saya sangat bahagia pada hari ini kerana dapat bersama-sama hadir di dalam satu majlis yang amat berkebajikan:  Majlis Bengkel Sembahyang Menggunakan Kerusi bagi daerah Temburong.  Majlis serupa telah kita adakan pada 10 April, 2021 di DarulIfta, Bandar Seri Begawan.  Dalam majlis itu kita selajurkan juga melancarkan buku bertajuk: Sembahyang Menggunakan Kerusi: Cara-Caranya.

Buku ini sangat mendapat sambutan daripada mesyarakat, sehingga hanya dalam beberapa hari ia sudah habis dijual, dan pada hari ini Alhamdulillah kita dapat pula menatap cetakan kedua dalam bentuk sedikit baharu.

Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri beranggapan, bengkel dan buku ini sangat mustahak diadakan, memandanngkan ia bertujuan untuk memperbaiki ibadat sembahyang bagi mereka yang memerlukan.  Sembahyang menggunakan kerusi sudah jadi lumrah pada masa ini.

Sudah tentu, bila disebut kerusi adalah ia tempat duduk.  Jadi orang memahamkan sembahyang menggunakan kerusi adalah sembahyang duduk di atas kerusi.  Memang tidak salah pemahaman itu, tetapi perlu diingat, duduk sembahyang di atas kerusi ada cara-caranya mengikut keadaan orang yang duduk itu.  Bukan mesti terus duduk sepanjang-panjang sembahyang, dari Takbiratul Ihram sampai salam terus duduk.

Hendaklah dilihat keadaan orang sembahyang itu.  Kalau di luar sembahyang dia mampu berdiri malah mampu berjalan, hanya sakit belakang jika tunduk ruku’, maka dia tidak boleh angkat Takbiratul Ihram sambil duduk.  Dia mesti angkat Takbiratul Ihram dalam keadaan dia berdiri.  Membaca Fatihah, membaca ayat juga dalam keadaan berdiri.  Nanti bila hendak ruku’, kerana dia tidak dapat tunduk ruku’ sambil berdiri kerana sakit belakang, maka barulah dia boleh duduk di kerusi dan ruku’ di atas kerusi.  Begitulah seterusnya, sujud juga adalah di atas kerusi.  Duduk di antara dua sujud juga di atas kerusi.  Kemudian selesai semua itu, tiba untuk qiam (berdiri) masuk ke rakaat kedua, maka terus saja berdiri membaca Fatihah dan ayat dan seterusnya melakukan rukun-rukun yang lain.

Lain-lain cara seterusnya ada diterangkan dalam buku.  Saya yakin, ramai lagi orang berhajat untuk memiliki buku ini.

Setahu saya dan rakan-rakan di Jabatan Mufti, kami belum pernah berjumpa buku seperti ini di pasaran.  Kerana itu, kalau di luar pun, buku ini mungkin laku juga.  Pengalaman Jabatan Mufti, jika kita membawa buku-buku keluar, terbitan Jabatan Mufti ke ekspo-ekspo buku antarabangsa, biasanya buku-buku kita sangat laris, terutama buku fatwa.  Pernah saya diberitahu, ada orang pernah membeli buku-buku kita di ekspo-ekspo antarabangsa secara borong, sehingga terus kehabisan.  Anehnya orang membeli itu  orang puteh dari sebuah negara besar.  Bila diberitahu buku-buku yang dibelinya itu semuanya dalam bahasa Melayu, dia membalas:  “Kami tahu.  Kami memang mencari dan berhajat kepada buku-buku dari Brunei.”

Pengalaman ini saya sifatkan sebagai tidak pernah diduga dan malah luar biasa.  Tetapi itulah hakikat:  Hakikat yang mengembirakan bahkan membanggakan bahawa buku-buku agama keluaran Negara Brunei Darussalam turut mendapat perhatian dunia.

Secara khusus, saya dan jabatan memuji orang-orang kita Brunei kerana berminat dan menghargai buku-buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan.  Bila ada buku baru terbit, tidak lama, akan menyusul pula cetakan kedua, ketiga dan seterusnya.  Setakat ini, terdapat buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan yang telah diulang-ulang cetak sebanyak sembilan kali.  Buku ini laris di dalam dan di luar negara.  Dan ada pihak dari luar negara yang pernah meminta kebenaran untuk menggunakan buku ini sebagai buku teks di masjid.  Saya tidak keberatan sebagai sumbangan keilmuan negara kita kepada umat Islam di mana sahaja yang ingin memanfaatkan.

Saya melihat, masa depan buku-buku agama adalah terus cerah.  Walaupun kemajuan teknologi dapat melahirkan kemudahan-kemudahan bagi/untuk mendapatkan bahan seperti internet, namun peranan buku untuk mengasah dan memperkaya minda dengan ilmu adalah tidak boleh dilemahkan oleh sebarang alat lain termasuk internet.  Membaca buku tetap berbeza dengan melayari internet.  Membaca buku tidak dibatasi oleh sebarang tempat dan waktu,  di mana sahaja dan waktu apapun kita boleh  saja membaca buku.  Di atas kerusi, di tempat tidur, dalam kapal terbang, kereta api, kapal laut dan sebagainya, kita boleh membaca, berbanding melayari internet.

Itulah kelebihan buku.  Saudara dalam penerbangan dari Bandar Seri Begawan ke London, sebuah buku yang mengandungi 300 muka surat, boleh habis dibaca.  Bayangkan buku 300 muka surat dituang masuk ke dalam minda saudara, betapa kayanya minda yang seperti itu?

Istimewa, jika buku itu buku agama, yang terdapat di dalamnya ayat-ayat al-Qur’an, hadits-hadits, aqwal ulama dan pelbagai pemikiran bernas boleh saja  menjadi suluh kehidupan, yang tiada ternilai harganya.

Maka demi pentingnya buku, dapatlah saya tegaskan di sini, Insya Allah, Jabatan Mufti, Jabatan Perdana Menteri akan terus berusaha dari masa ke semasa untuk lebih aktif menerbitkan buku-buku agama yang diperlukan oleh masyarakat.

Akhirnya saya mengambil peluang merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Mulia Pengiran Pemangku Pegawai Daerah yang mengambil initiatif mengadakan bengkel ini untuk umat Islam di Daerah Temburong, semoga Allah memberi ganjaran kepada beliau.  Aamin.