

TEMBURONG – Selasa, 18 Zulkaedah 1442 bersamaan 29 Jun 2021, bertempat di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Kampung Batu Apoi, Temburong diadakan Bengkel Sembahyang Menggunakan Kerusi anjuran Jabatan Daerah Temburong dengan kerjasama Jabatan Mufti Kerajaan.
Bengkel Sembahyang Menggunakan Kerusi merupakan tajuk bagi program Ceramah Bersiri Jabatan Daerah Temburong kali ini. Tajuk yang dipilih amatlah bersesuaian den bertepatan dengan salah satu strategik objektif Jabatan Daerah Temburong iaitu untuk meningkatkan keupayaan masyarakat Daerah Temburong dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran sebagai pembina keimanan, akhlak dan asas kemakmuran. Program ini juga antaralain bertujuan sebagai platform penyampaian ilmu pengetahuan dan maklumat mengenai hal ehwal ugama, kemasyarakatan dan isu-isu semasa serta hal ehwal keselamatan ke arah memelihara kemaslahatan masyarakat Daerah Temburong. Program merupkan insiatif pembelajaran sepanjang hayat bagi Pegawai dan Kakitangan Jabatan Daerah Temburong, Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Masyarakat Daerah Temburong amnya.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Yang Mulia Awang Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman, Pemangku Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan selaku Pengerusi Bersama Majlis, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusuf, Penolong Mufti (Buhuth) dan Yang Mulia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, Pemangku Penolong Mufti (‘Ifta).
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Daerah Temburong selaku Pengerusi Majlis. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan tetamu kehormat Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Pg Zamiri bin Pg Haji Jamaluddin, Pemangku Ketua Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan.


Bengkel selama satu hari tersebut disertai oleh lebih kurang 200 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan di daerah ini, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, majlis perundingan mukim dan kampung, imam dan bilal-bilal, warga emas, saudara-saudara baru dan penduduk daerah ini.


Penjualan buku berjudul “Sembahyang Menggunakan Kerusi: Cara-Caranya” cetakan kedua terbitan Jabatan Mufti Kerajaan juga diungkayahkan pada hari tersebut. Buku terbitan tersebut menghuraikan tatacara dan kaedah yang betul mengenai sembahyang menggunakan kerusi mengikut keadaan-keadaan yang biasa dihadapi. Buku tersebut dilengkapi dengan gambar-gambar bagi memudahkan pembaca mendapat gambaran yang lebih jelas tentang cara perlaksaan menurut pandangan Mazhab Syafi’i.

Majlis penutup bengkel seterusnya berlangsung pada waktu petang dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta bengkel dan juga pembengkel oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan.