Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) pada 08 Februari, 2017M bersamaan 11 Jamadilawal, 1438H telah menerima kunjungan muhibbah daripada pengerusi Tahfiz Mutmainnah, Kedah Darul Aman dan rombongan.
Hadir mengalu-alukan dan menerima rombongan ialah Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman, Pemangku Pengarah Pentadbiran serta beberapa pegawai JMK.


Kunjungan tersebut berlangsung di pejabat Jabatan Mufti Kerajaan, Darulifta’ Brunei Darussalam, Jalan Pengiran Babu Raja. Kunjungan Muhibbah daripada Ustaz Haji Sharir bin Long disertai oleh isteri beliau Ustazah Hajah Halijah binti Shaari dan Ustaz Mohd Termizi bin Zainal selaku pegawai pengiring.
Pada perjumpaan itu, kedua-dua belah pihak telah berkongsi tentang sejarah, peranan dan struktur organisasi masing-masing. Selain itu, mereka juga turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa.


Pengerusi Tahfiz Mutmainnah serta rombongan adalah dalam rangka lawatan ke Brunei Darussalam dengan membuat kunjungan-kunjungan Muhibbah bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan kerjasama antara pihak-pihak berkenaan.