“Halalan Tayyiban” Isu Ugama yang Perlu Kefahaman Untuk DiIkuti

Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain berkata isu “Halalan Tayyiban” adalah isu ugama yang memerlukan kefahaman untuk diikuti oleh manusia dalam semua aspek kehidupan termasuk memilih makanan, minuman, pakaian dan bahan gunaan. Begitu juga dengan perkara harta pendapatan, perniagaan dan perkhidmatan.

Para ulama juga,tambahnya telah banyak membahaskannya dalam kitab-kitab mereka terutama dalam kitab-kitab Fiqh dan Tasawwuf kerana perkara makanan, minuman, bahan gunaan, perniagaan, perkhidmatan dan harta pendapatan itu adalah perkara penting dalam kehidupan manusia.

Dato Seri Setia Dr. Haji Japar menjelaskan perkara tersebut ketika menyampaikan ucaptama bertajuk  “Halalan Tayyiban: Kepentingan dalam  Kehidupan Umat Islam” di Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Tayyiban (SAPPHAT) di Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada 31 Ogos, 2016 yang lalu.

Khusus dalam penjagaan kehalalan makanan, beliau seterusnya  berkata sebahagian orang mengambil sikap sangat berhati-hati dan bersungguh-sungguh mengenainya dan sebahagiannya pula sangat mengambil berat tentang kebersihan dan sihatnya makanan dan minuman yang dinikmati tetapi kurang bersungguh-sungguh dalam menjaga perkara hukum mengenainya, kerana mereka beranggapan tidak ada apa-apa mudharat pun yang akan timbul, manakala sebahagian yang lain lagi langsung tidak menghiraukan apa-apa mengenai makanan dan minuman ini.

Sebahagian orang kita pula, tambahnya berfahaman, perkara yang perlu dielakkan  dalam soal makan dan minum itu hanyalah benda-benda yang jelas haramnya seperti arak dan babi.

Sebab itu, tambahnya lagi kita masih biasa mendapati sebahagian orang Islam tanpa rasa segan silu makan dan minum di kedai yang telah dilabel sebagai “Bukan Untuk Makanan Orang Islam” sekalipun mereka duduk betul-betul dibawah label “Bukan Untuk Makanan Orang Islam” yang ditampal di dinding kedai tersebut.

Menurutnya mereka beranggapan tidak mengapa jika duduk di situ sekadar untuk minum kopi dan makan mee goreng atau nasi goreng ayam kerana mereka berfahaman dalam Islam tidak ada pun larangan memakan mee, nasi dan ayam.

Pada hakikatnya, tegasnya banyak perkara yang perlu diambil kira dalam memastikan makanan dan minuman itu halal dimakan dan diminum, bukan setakat melihat pada zahir apa yang terhidang.

Kefahaman seperti ini, tegasnya bukan sahaja terdapat di kalangan pelanggan makanan tetapi fahaman sedemikian inilah juga yang menjadi pegangan sebahagian pengendali dan penyedia makanan.

Menurutnya perkara besar yang berbangkit dalam isu makanan halal ini ialah kawalan dan pengesahan makanan halal.

Katanya inisiatif mewujudkan kawalan dan pengesahan makanan halal, bahan gunaan dan perkhidmatan bukan lagi suatu alternatif tetapi sudah merupakan sesuatu yang asas dalam keperluan saingan komersil global, dan keupayaan dalam mengawal selia makanan halal untuk kepentingan orang Islam menjadi perkara utama bagi pengguna Islam.

“Alhamdulillah Negara Brunei telah pun mengambil berat mengenainya seperti prosedur yang dilaksanakan dalam pengimportan daging lembu dari luar negara. Pengendalian daging tersebut perlu disahkan oleh  pegawai-pegawai yang dilantik khas untuk memastikan segala urusan dari proses penyembelihan dan pengendaliannya hinggalah daging-daging tersebut dimasukkan ke dalam kontena dan dikunci untuk dihantar ke Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.

Prosedur yang ditetapkan ini, tegasnya  adalah munasabah dan wajar kerana banyak perkara yang perlu diteliti dan diawasi.

Negara Brunei Darussalam, katanya sangat berpotensi untuk menjadi sebuah negara Hub-Halal yang unggul di peringkat global. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan terkini seperti wujudnya Bahagian Kawalan Makanan Halal, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Bahagian Pembangunan Industri Halal Global, Jabatan Tenaga dan Industri, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Sains Halal dan Metrologi, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Saintifik Kementerian Kesihatan.

Berdasarkan isu-isu yang dibincangkan di atas, jelasnya dapatlah disimpulkan bahawa perkara “Halalan Tayyiban” adalah perkara yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan seharian kita terutama dalam permakanan.

Menjaga permakanan halal, tegasnya adalah suatu tuntutan dalam syariat Islam yang kepentingannya bukan setakat untuk keperluan hidup di dunia bahkan untuk keselamatan di akhirat kelak, dan untuk mencapai kesempurnaan permakanan orang Islam itu memerlukan sistem yang teratur terutama perkara yang berkaitan dengan perundangan, penguatkuasaan dan pengawasan.