Merukyah Anak Bulan Ramadhan 1437H/2016M

Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan antara yang hadir merukyah di menara ibu pejabat DST.

Negara Brunei Darussalam pada tahun ini memulakan ibadah puasa Ramadhan pada hari Selasa 1 Ramadhan, 1437 bersamaan 7 Jun, 2015 setelah hasil merukyah anak bulan Ramadhan tidak berhasil kelihatan pada petang hari Ahad 29 Sya’ban, 1437 bersamaan 5 Jun, 2016.

Aktiviti merukyah anak bulan Ramadhan dilakukan di beberapa tempat di Negara Brunei Darussalam, iaitu di menara bangunan ibu pejabat DST, Lebuhraya Tungku, Gadong; Bukit Agok, Jerudong; Bukit Ambok di Daerah Tutong dan Bukit Lumut di Daerah Belait.

Rombongan merukyah adalah terdiri daripada pegawai-pegawai dari Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Mahkamah Syariah, Jabatan Mufti Kerajaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Ukur.

Antara yang hadir merukyah di menara ibu pejabat DST ialah Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gapar, Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Awang Haji Juanda bin Haji Abdul Rashidm, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri dan Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan beserta beberapa pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Ukur dan Jabatan Mahkamah Syar’iah.