Majlis Ceramah Khas Dan Penyampaian Surat Lantikan Jawatankuasa Takmir Masjid Pg Muda ‘Abdul Mateen

Dalam ceramahnya pada malam ini di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Kampong Mulaut, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan telah mengulas mengenai isu bid’ah yang berkisar pada perkara 1.  Menyapu muka selepas memberi salam selesai sembahyang, 2. Mengangkat tangan sambil mengaminkan doa yang dibaca oleh imam selepas sembahyang, dan 3. Bersalam-salaman selepas doa setelah selesai menunaikan sembahyang.

Menurut Yang Berhormat Pehin, isu tersebut telah pernah diceramahkan oleh seorang penceramah di sebuah masjid dan khabarnya ceramah tersebut berkesan sehingga mampu mempengaruhi bebarapa jemaah.

Yang Berhormat Pehin berkata, tiga perkara ini menurut penceramah berkenaan adalah bid’ah.  Tidak pernah wujud di dalam hadits, tidak pernah dibuat oleh Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, kerana itu masuklah ia ke dalam kategori bid’ah.  Sedang bid’ah mesti ditolak, kerana semua bid’ah itu adalah sesat.

Menurut Yang Berhormat Pehin, tanggapan tentang bid’ah ini,  orang mengambil dalil daripada riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi yang bermaksud:  “Dan jauhilah oleh kamu perkara-perkara baru (yang tidak disebut oleh al-Qur’an atau Hadits), kerana tiap-tiap perkara baru itu bid’ah, dan tiap-tiap bid’ah adalah sesat.”

“Pada dzahir riwayat ini memang membawa makna: segala perkara baharu yang tidak disebut oleh al-Qur’an atau hadits itu, adalah kesemuanya bid’ah, ditolak dan sesat.  Apa bertulkah begitu?  Tidak adakah sebarang ulasan ulama mengenainya?

“Jawabnya ada, kerana itu tunggu, jangan lekas-lekas membuat rumusan dangkal.  Buka minda terlebih dahulu dengan melihat pandangan atau ulasan-ulasan ulama mengenainya.” tegas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan bahawa ulama itu adalah suluh, penafsir al-Qur’an, penafsir al-Hadits, dan tanpa ulama kita akan terus meraba-raba.

Menurutnya al-Qur’an padat dengan ilmu, tetapi tanpa ulama, ilmu al-Qur’an tidak akan tersingkap,  dan Hadits juga padat dengan ilmu, tetapi tanpa ulama, ilmu Hadits tidak akan terhurai.

Sepotong ayat atau sebuah hadits, katanya kadang-kadang adalah ilmu selautan, begitulah dengan sebuah hadits bid’ah, ia cuma satu baris dalam ungkapan, tetapi huraian ulama mengenainya boleh jadi sebuah buku atau sebuah kitab.

“Apakah ini sudah dilihat oleh penceramah sebelum menyampaikan ceramahnya mengenai bid’ah?  Apakah sudah dibacanya pendapat-pendapat atau huraian-huraian para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah mengenai bid’ah?

“Sudahkah dilihatnya qaul Imam asy-Syafi’e, qaul Imam an-Nawawi, qaul Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, qaul Imam ‘Izuddin ‘Abdul Aziz bin Abdussalam dan lain-lain?”  Soal Yang Berhormat Pehin.

Menurut Yang Berhormat Pehin, semua ulama berkenaan itu telah sepakat berpendapat bahawa bid’ah itu terbahagi kepada dua: 1.  Bid’ah Hassanah, iaitu sesuatu yang baru direka atau diadakan selepas zaman Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang tidak diketahui sama ada ia pernah wujud atau dibuat oleh Baginda, tetapi asasnya adalah bagus atau baik dan pada timbangan syara’ tidak menyalahi al-Qur’an atau Hadits atau atsar para sahabat atau ijma’ ulama Islam.  Maka bid’ah seperti ini dinamakan ia oleh para ulama sebagai “Bid’ah Hasannah” atau “Bid’ah Mahmudah” (bid’ah yang terpuji).  2.  Bid’ah Sayyiah iaitu bid’ah yang buruk, yang dibuat selepas zaman Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang tidak diketahui sama ada pernah wujud atau pernah dibuat di zaman Baginda.  Tetapi asasnya kedapatan tidak bagus atau tidak baik dan malah menyalahi dalil al-Qur’an atau Hadits atau atsar para sahabat atau ijma’ ulama Islam.  Kalau ada salah satu ciri-ciri seperti ini, inilah Bid’ah Sayyiah (bid’ah yang buruk) menurut ulama atau dipanggil juga bid’ah Dhalalah (bid’ah yang sesat).  Bid’ah ini wajib dihindari.  Ini jenis bid’ah yang masuk di bawah amaran Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Jadi, tegas Yang Berhormat Pehin bukan selarah-larah menolak bid’ah.  Lihat dulu apa asas dan cirinya.  Adakah asas dan cirinya itu baik atau buruk,  cantik atau hodoh?  Timbang ia dengan timbangan syarak iaitu 1. al-Qur’an, atau 2. As-Sunnah, atau 3. Atsar para sahabat, atau 4. Ijma’ para ulama Islam.

Menurutnya, mesti dilihat keempat-empat ini, dan jangan mengambil mudah dengan melihat al-Qur’an dan Hadits semata-mata tanpa perlu melihat atsar sahabat dan ijma’ ulama.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata bahawa adalah tidak wajar bagi kita mengabaikan ulama kerana mereka adalah guru sepanjang zaman; dan tentang bid’ah, disamping kita merujuk hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, kita juga perlu melihat pendapat-pendapat para ulama mengenainya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, tiga perkara yang disebutkan oleh penceramah itu telah biasa dibuat di Brunei sejak dahulu lagi, dan masyarakat khasnya orang tua-tua telah mesra dengan amalan itu dan menganggapnya sebagai satu amalan yang bagus sehingga tidak terbayang langsung untuk menjadikannya sebagai isu bid’ah.

Membincangkan kembali satu persatu isu tersebut, dalam perkara menyapu muka selepas memberi salam, Yang Berhormat Pehin mengajak kita bersama-sama dengan al-Alamah Abu Bakar bin As-Said Muhammad Ad-Dimyaathi pengarang kitab I’aanah ath-Thaalibin yang telah memetik perkataan al-Imam an-Nawawi seperti berikut, (maksudnya):  “Kami telah menerima riwayat dalam kitab Ibnu Sunni daripada Anas radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam apabila selesai menunaikan sembahyang, baginda itu menyapu wajah baginda dengan tangan kanan baginda, kemudian berkata, (maksudnya): “Aku naik saksi, tiada    Tuhan  melainkan  Dia  yang  Maha    Pemurah      lagi  Maha Mengasihani, Ya Allah, hilangkanlah daripadaku perasaan bimbang dan dukacita.”

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa menurut an-Nawawi daripada sahabat Anas radhiallahu ‘anhu, bahawa perbuatan menyapu muka selepas memberi salam itu adalah ia dibuat oleh Nabi dan perbuatan Nabi.

Mengenai dengan isu mengaminkan doa imam, Yang Berhormat Pehin seterusnya mengajak kita membuka kitab Fathul Mu’in Bi Syarah Qurratul ‘Aini karangan al-Alamah Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibari, katanya:  “Dan (sunat) bagi makmum mengaminkan doa imam jika dia (makmum) mendengarnya walaupun makmum itu telah hafaz doa tersebut”.

Menurut Yang Berhormat Pehin, perkataan “makmum mengaminkan” itu disyarahkan atau dihuraikan pula oleh al-‘Alamah Abu Bakar bin As-Said Muhammad ad-Dimyaathi, katanya (ertinya):  “Dan disunatkan makmum mengaminkan doa imam jika ia mendengarnya dan kalau makmum tidak mendengarnya, dia berdoalah sendiri.”

Berhubung dengan bersalam-salaman selepas selesai sembahyang pula, Yang Berhormat Pehin menjelaskan al-Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyebut di dalam kitabnya al-Azkar, “bahawa bid’ah itu ada lima macam, iaitu:  1.  Bid’ah yang diwajibkan, 2.  Bid’ah yang diharamkan, 3.  Bid’ah yang dimakruhkan, 4. Bid’ah yang disunatkan, dan 5.  Bid’ah yang diharuskan (dibolehkan).  Diantara bid’ah yang dibolehkan itu ialah berjabat tangan (bersalam-salaman) selepas selesai sembahyang”

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelas bahawa berkata an-Nawawi  rahimahullah lagi  dalam  al-Majmu’  Syarah  al-Muhazzab sebagai menukil pendapat Imam Muhammad bin Abdussalam, bahawa adapun berjabat tangan yang biasa dilakukan selepas sembahyang Subuh dan ‘Asar adalah antara bid’ah yang dibolehkan, tidak disifatkan ia makruh dan sunat.  Namun tidaklah mengapa, kerana asal berjabat tangan itu adalah sunat, khusus dalam keadaan tertentu.

“Ini cara para ulama melihat masaalah, bukan setakat menghukumkan bid’ah semata-mata dan kemudian membiarkan orang ramai teraba-raba, boleh buat atau tidak boleh buat?  Tetapi mereka mengupas dengan cara mendalam sehingga benar-benar dapat difahami untuk kita pakai,” tegasnya.

Oleh itu, tambahnya dalam isu bid’ah ini, kaji dan fahamkan dahulu ta’rif bid’ah itu, dan lihat pendapat ulama mengenainya.

Yang Berhormat Pehin turut mengajak umat Islam supaya tidak terburu-buru menerima pendapat-pendapat baharu.  Katanya, timbang-timbang dan lihat-lihat dahulu dan jika difikirkan perlu, boleh bertanya kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, Brunei kita sudah cukup bagus, tidak perlu lagi untuk mengada-adakan khilaf atau pertelingkahan sesama kita, dan apa yang telah diamalkan sejak berkurun-kurun yang kita ambil atau terima daripada para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, itulah yang terbaik.  Kita beramallah dengan ini, dengan niat baik untuk mendapat pahala dan keberkatan daripada Allah.