Timbalan Mufti Kerajaan Hadiri Seminar Ulama’ Pahang Kali Ke-5

15 Sya’ban 1437 bersamaan 22 Mei 2016

Timbalan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin hari ini bertolak ke Kuantan, Pahang, Malaysia bagi menghadiri seminar dan seterusnya menjadi Panel Diskusi Seminar Ulama’ Pahang Kali ke-5, Malaysia.

Majlis perasmian serta seminar akan diadakan di sebuah hotel di Kuantan Pahang, Malaysia. Seminar akan berlangsung selama dua hari bermula 23hb sehingga 24hb Mei, 2016.

Yang Mulia Timbalan Mufti akan menyampaikan satu tajuk diskusi iaitu Pelaksanaan Undang-Undang Syariah di Brunei Darussalam.

Turut mengiringi beliau ke persidangan tersebut ialah Yang Mulia Haji Muhammad Ahmad Roza bin Haji Daud, Pegawai Istinbat Jabatan Mufti Kerajaan.

Seminar tersebut dijangka akan dirasmikan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Seminar Ulama Kali ke-5 ini memfokuskan tema penyatuan ummah, pemerkasaan ulama’ dan umarak serta penerapan konsep kesederhanaan.