Kuliah Bersama Mufti Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad di Masjid Kampong Kapok

JANGAN GELABAH, HILANG PUNCA MENGHADAPI FITNAH

Dalam dunia kita akhir-akhir ini, sangat ramai dan rancak orang memfitnah Islam dan tidak terhenti ke atas agama ini sahaja malah juga kepada penganutnya lebih-lebih lagi kepada kepala dan pemimpinnya.

Ini satu trend dan bukan baru berlaku pada hari ini, tetapi sudah lama.  Kita lihat sejarah Nabi kita, lantaran Baginda sebagai penghulu, ketua dan pemimpin tertinggi kita, tukang-tukang fitnah fokas kepada Baginda. Baginda menjadi sasaran, dicerca, dituduh dengan bermacam-macam tuduhan seperti dituduh sebagai tukang sihir malah dituduh gila.

Masa itu, tegas Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, belum ada internet dan media cetak.  Jika ada, katanya mungkin dilukis orang bagaimana Nabi sebagai tukang sihir atau bagaimana    keadaan atau keolahan orang gila. Pada masa nabi sudah tiadapun, orang masih sahaja melukis karekator kononnya Nabi itu sekian-sekian.

Betapa kesatnya akhlak tukang-tukang fitnah itu, mereka terus tuju ketua, Nabi kita. Nabi yang ma’shum, yang tidak berdosa, yang benar dan bersih semata-mata, yang tidak ada loophole (lubang) langsung untuk di kritik pun masih saja difitnah dengan macam-macam fitnah oleh orang-orang yang tidak mahu dan tidak selesa dengan Islam.

Yang Berhormat Pehin berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Subuh Bersama Mufti di Masjid Kampong Kapok, Muara pada 5 Rabiulakhir, 1437 bersamaan 15 Januari, 2016.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mengingatkan kita supaya tidak heran jika perkara seperti ini masih belaku di zaman ini.  Semakin hebat ketua atau semakin ketua itu orang shalih, maka semakin gatal hati orang untuk memburuk dan memfitnahnya dan seperti saja ini sudah menjadi semacam ketentuan bagi menguji hamba-hamba yang berpangkat istimewa itu.

Menurut urutan, menurut Yang Berhormat Pehin mereka yang paling berat dan paling teruk menerima ujian, di atas sekali ialah para Nabi, kemudian orang-orang shalih dari kalangan orang-orang beriman seperti para ulama, raja-raja dan seterusnya.  

Semakin tebal sifat shalih seseorang maka semakin berat lagi ujian ke atasnya kerana Allah mahu melihat sejauh mana kesabaran dan ketabahannya menerima ujian itu.  

Jika ia tabah dan sabar, tetap tidak gelabah atau hilang punca, katanya Allah akan angkat dia lagi, akan tinggikan lagi pangkatnya di sisiNya.  Tetapi jika dia tidak sabar, dan sebaliknya gelabah atau hilang punca, maka, katanya itulah perangkap untuk penyesalan kerana bukankah orang yang tidak sabar itu boleh saja melakukan macam-macam kesilapan seperti marah, dan marah yang berapi-rapi biasanya disusuli dengan tindakan-tindakan yang tidak karuan seperti memukul dan menzalimi orang dan lain-lain yang boleh menempah dosa.

Menurut Yang Berhormat Pehin, begitulah kita diajar untuk menghadapi kerenah-kerenah tukang fitnah itu, jangan gelabah dan hilang punca tetapi sabar, dan inilah juga yang diajar oleh Allah kepada Nabi.

Baginda menurutnya, lebih teruk lagi difitnah, dikata macam-macam oleh golongan yang tidak beriman, namun Allah mengingatkan NabiNya itu supaya bertenang dan sabar sambil membanyakkan zikir kepadaNya melalui ibadah sembahyang.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, tujuan orang memfitnah Nabi, memfitnah umat Islam dan Islam sendiri tidak lain cuma satu iaitu supaya Islam tidak menyerlah, tidak segar dan subur, biar ia layu dan malap, tidak nampak indah atau kalau boleh biar ia padam saja dari permukaan bumi ini, dibenci dan dimusuhi, kelihatan hodoh, tidak diminati dalam makna supaya cahaya agama ini akan padam samasekali dari permukaan bumi.

Tetapi, tegas Yang Berhormat Pehin, Allah menghiburkan kita orang-orang Islam supaya tidak payah risau.  Bagaimanapun rancaknya percubaan untuk memadamkan Islam itu, namun Allah tetap akan menggagalkan usaha tersebut.  Mereka tidak akan berjaya, sebaliknya Allah pula akan menyempurnakan cahayaNya itu tanpa menghiraukan orang-orang yang tidak menyukainya.

Menurutnya, inilah janji Allah dan selama janji ini kekal di dalam al-Qur’an, selama itulah Islam tetap bersinar dan  tidak akan padam-padam.

Menurutnya lagi, kita tidak perlu risau, Allah ada menjaga agamaNya dan  yang penting kita  terus berpegang dan beramal dengan agama ini, dan terus menghayati ajarannya sampai akhir hayat.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mengingatkan kita supaya mengikut nasihat Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam, sabdanya:  “Engkau peliharalah Allah, nescaya Dia pun akan memelihara engkau.”

Makna memelihara Allah, tegasnya ialah memelihara agamaNya dengan mengamalkannya, mematuhi dan mengikut semua ajarannya.

Orang yang dipelihara oleh Allah, jelasnya pasti akan bertemu jalan selamat kerana jika Dia sudah memelihara, siapakah lagi yang mampu menggugatNya?

Dalam pada itu, katanya adalah tidak salah, malah Islam adalah menyuruh,  kalau kita juga berusaha sebagai ikhtiar, memperlengkapkan diri dengan perlindungan, dengan kubu-kubu pertahanan untuk melindungi diri daripada segala kejahatan khasnya berkubu dari syaithan.

Menurutnya, banyak cara atau jalan untuk mengingati Allah itu, terutama yang paling mudah ialah dengan banyak melakukan ibadat sama ada wajib atau sunat.

Walaupun begitu katanya, mengingati Allah itu tidak semestinya dengan sembahyang semata-mata malah dalam pergerakkan-pergerakkan biasa pun Allah dapat diingati seperti membaca Basmallah ketika naik kenderaan dan makan minum, apa lagi kalau membaca al-Qur’an, berselawat, bertahlil, menghadiri majlis dan kuliah ugama, semua itu adalah wadah kepada mengingati Allah.

Yang Berhormat Pehin menambah, orang yang membaca al-Qur’an tidak akan ingat lain kecuali kepada Allah semata-mata.  Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Pehin mengajak kita sama-sama menghayati peringatan dan nasihat Rasulullah dalam sabda Baginda yang bemaksud:  “Kamu bacalah al-Qur’an sebelum ia diangkat.  Sesungguhnya tidak berlaku kiamat sehinggalah ia (al-Qur’an itu) diangkat.”

Menurut Yang Berhormat Pehin, maksud al-Qur’an diangkat itu ialah hilang tulisan dari mushaf dan orang-orang yang hafaz hilang hafazan mereka.

Katanya menurut riwayat hadits, ayat-ayat al-Qur’an itu lari meninggalkan kita, balik semula kepada pemiliknya iaitu Allah.

Kerana itu, katanya lagi sebelum tiba saat itu, bacalah al-Qur’an, jangan lepaskan peluang kerana membaca al-Qur’an itu sangat besar manfaat  dan ganjarannya, semua ayat al-Qur’an adalah doa iaitu doa untuk menagih rahmat dan mendatangkan keuntungan di dunia dan di Akhirat.