

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan telah menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Rabitah al-‘Alam al-Islami Kerajaan Arab Saudi, Dr. Abdullah bin Abdul Mohsen at-Turki.
Kunjung itu berlangsung di pejabat Yang Berhormat Pehin di DarulIfta Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan pada 29 Muharram, 1437H. bersamaan 11 November, 2015. Dr. Abdullah bin Abdul Mohsen at-Turki berada di negara ini bagi menghadiri perasmian Majlis Ilmu 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam pada 9 November, 2015 yang lalu, seterusnya menghadiri Seminar Wasatiyyah yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 9 hingga 11November, 2015. Seminar ini anjuran bersama penyelenggara Majlis Ilmu 2015 dengan Pertubuhan Islam Sedunia (Rabitah al-‘Alam al-Islami). Majlis Ilmu 2915 bertemakan ” Wasatiyyah Asas Kesejahteraan Sejagat”.
Di dalam kunjungan tersebut, Setiausaha Agung Rabitah al-‘Alami al-Islami itu disertai oleh Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Hisham bin Abdul Wahab; Dr. Ja’far Abdul Salam dari Rabitah al-‘Alam al-Islami; Pengarah Organisasi dan persidangan Rabitah al-‘Alam al-Islami, Dr. Rahmatullah Inayatullah Ahmad dan Sadek Mahfodi dari Rabitah al-‘Alam al-Islami, Kerajaan Arab Saudi.
Turut hadir ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin; Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah dan beberapa pegawai kanan Jabatan Mufti Kerajaan.




Terdahulu sebelum itu, Dr. Abdullah bin Abdul Mohsen at-Turki dan rombongan telah dibawa melawat Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS).

Sejurus selepas kunjung hormat tersebut, Yang Berhormat Pehin seterusnya menerima kunjungan hormat daripada Profesor Dato Wira Dr Ismail bin Haji Ibrahim, Pengerusi Institut Professional Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin, Terenggau Darul Iman.
Profesor Dato Wira Dr Ismail adalah salah seorang pembentang kertas kerja Seminar Wasatiyyah Majlis Ilmu 2015 sempena Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-69 tahun.