Majlis Kesyukuran Sempena Kenaikan Pangkat

Jabtan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri hari ini 22 Muharram, 1437 bersamaan 4 November, 2015 telah mengadakan Majlis Kesyukuran sempena kenaikan pangkat bagi mantan Timbalan Mufti Kerajaan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin yang dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan bagi kenaikan pangkat Yang Mulia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin sebagai Timbalan Mufti Kerajaan.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin memegang jawatan Timbalan Mufti Kerajaan sejak 1 September, 1994 dan dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah berkuat kuasa hari Selasa, 1 September, 2015 yang lalu.

Sebelum dilantik menjadi Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin pernah menjawat jawatan Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Ugama; Pegawai Ugama Kanan, Setiausaha Majlis Ugama Islam, Penolong Pengarah Hal Ehwal Syaraíah dan Pengarah Hal Ehwal Syaraíah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sementara Yang Mulia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pegawai Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan sejak 1 Januari, 2002 dan dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dilantik sebagai Timbalan Mufti Kerajaan berkuat kuasa hari Selasa 1 September, 2015.

Sebelum ini, Yang Mulia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin pernah menjawat jawatan Pegawai Ugama di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pegawai Ugama Kanan, sebagai Kadi Daerah Brunei dan Muara dan Pegawai Ugama Kanan, di Jabatan Mufti Kerajaan sebagai Pegawai Istinbat Kanan seterusnya sebagai Ketua Pegawai Istinbat.

Hadir di majlis pada hari ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan; pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan.

Majlis pada hari ini dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah oleh Awang Haji Jakaria bin Haji Hitam, Ulama Tarbiah Fatwa diikuti dengan ucapan daripada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada mereka yang diraiekan dan diakhiri dengan bacaan doa.