Brunei Darussalam di WITCX 2015

Rombongan Brunei Darussalam yang menyertai World Islamic Tourism Conference & Expo 2015 (WITCX 2015) di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur selama 4 hari 27-30hb Oktober 2015, telah kembali ke tanah air hari ini.

Pameran yang dipersembahkan di Pavilion Brunei telah menonjolkan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) dan pembinaan bangunan kekalnya yang dijadual siap pada suku pertama 2017.

Dato Paduka Ahmad Bukhari PSRK Abu Hanifah, Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, telah menjadi salah seorang pembentang kertas kerja di dalam persidangan World Islamic Tourism Conference, dengan tajuk: Islamic Knowledge Heritage Tourism. Beliau antara lain telah membuat definisi yang melangkaui sempadan fahaman sekarang mengenai perlancongan. Kata beliau, bila perkataan tourism diberi sifat ‘Islamic’, tourism mestilah bersifat :

(i) Tidak mengandungi unsur maksiat kepada Allah (keingakaran dan kekufuran) dan patuh syariah.

(ii) Berupa pelancongan ilmu; sebab Islam itu ugama ilmu. Kesan-kesan sejarah yang menjadi destinasi pelancongan, kepelbagaian kehidupan (bio-diversity), kecelikan kepada antara-budaya (inter-cultural literacy), adalah tanda-tanda kewujudan Tuhan; ertinya kenali ciptaanNya, maka kita kenal Tuhan.

(iii) Merupakan dakwah & tabligh (memberi ilmu & maklumat mengenai destinasi yang Islamik itu).

(iv) Menjadi strategi kearah kemajuan.

Beliau juga menyarankan strategi untuk Islamic Tourism:

(i) Mempertahankan Islamic tourism itu benar-benar mengikut namanya, bukan sekadar sedap bahasa (rhetoric). Hanya dengan demikian Islamic tourism akan dihormati dan ia akan berpanjangan, kerana tiada kecacatan padanya.

(ii) Memulihara khazanah warisan Islam negara.

(iii) Mewujudkan / mencipta (creating) destinasi pelancongan Islam.

(iv) Menjalankan dakwah dan tabligh (pre-occupation, e.g., ceramah ilmiah) untuk menanamkan minat kepada masyarakat sasaran.

Beliau dengan lantang mengatakan bahawa satu contoh mulia dalam mewujudkan destinasi pelancongan Islam ialah BPIS yang diasaskan oleh Raja Mukmin, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu`izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. BPIS, kata beliau ialah one stop Islamic tourism destination.

Beliau membayangkan senario kemakmuran BPIS sebagai pusat khazanah Islam yang menjalankan Agenda Ilmu, melibatkan para pakar / ulama’, ahli masyarakat yang berminat dan penuntut. Fungsi BPIS, insyaAllah ialah untuk menjalankan Agenda Ilmu:

(i) Agenda mengumpul khazanah Islam secara sistematik
(ii) Agenda menjalankan penyelidikan keatas khazanah Islam
(iii) Agenda menyebarkan ilmu dan maklumat yang didapat dari penyelidikan

Beliau membrand BPIS sebagai jelmaan Baitul Hikmah zaman Abbasiyyah. Tetapi BPIS mempunyai kelainan kerana terdapat balai-balai pameran yang menghidangkan pameran Islam dalam 29 Domain ilmu, termasuk antara lain mengenai nabi-nabi, umat-umat pupus, sahabat, pengikut-pengikut, ulama/saintis Islam, penciptaan alam semesta dan bagaimana kemantapan dan kekentalan Islam di Brunei dibawah pimpinan Raja.

Beliau dengan bangga mengatakan bahawa Brunei begitu yakin akan menjadikan Islamic Tourism benar-benar mengikut namanya, Islamic dan Brunei menjadi tempat menyelusuri keindahan Islam.

Ahli-ahli rombongan terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Jabatan Mufti Kerajaan, Penerbangan Diraja Brunei, Darussalam Holdings  Sdn Bhd dan Freme Travel Services. Mereka telah berjaya mempromosi Brunei sebagai Kingdom of Unexpected Treasure, dengan berbagai aktiviti termasuk business matching, taklimat dihadapan organized tour, melayan pengunjung, menghadiri tiga Persidangan / Forum: OIC Higher Education Conference, World Islamic Tourism Conference, OIC Asia Trade & Economic Forum. Pada kesuluruhannya, persembahan pameran di Pavilion Brunei memang mendapat perhatian dan sambutan warga kota dan para movers & shakers dari seluruh dunia. Di antara pembesar negara Malaysia yang berkunjung termasuklah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mukhriz bin Mahathir, Menteri Besar Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia dan Yang Berhormat Major Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Ugama Islam yang rata-rata mengatakan kekaguman tentang perlaksanaan pembinaan bangunan BPIS.

Ahli-ahli delegasi Brunei juga menghadiri Networking Dinner yang dihos oleh Universiti Islam Malaysia (UIM). Di majlis tersebut wakil dari Suruhanjaya Brunei di Kuala Lumpur diantara penerima  Benevolence Award kerana sokongan Brunei kepada UIM.

Dato Paduka Ahmad Bukhari Abu Hanifah menyampaikan kertas kerja beliau bertajuk ‘Islamic Knowledge Heritage Tourism’ di persidangan World Islamic Tourism Conference pada 29 Oktober 2015​.