BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Oktober – Dato Paduka Ahmad Bukhari Bin PSRK Haji Abu Hanifah, Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), bersama dua orang pegawai JMK telah berlepas ke Kuala Lumpur hari ini untuk menyertai delegasi Pusat Promosi Pelancongan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, ke World Islamic Tourism Conference and Expo 2015 (WITCX 2015). Dato Ahmad Bukhari akan menjadi salah seorang pembentang di dalam persidangan WITCX 2015 itu. Tajuk Kertas beliau: Islamic Knowledge Heritage Tourism.
WITCX ialah projek tahunan Muslim World Biz. Tahun ini ia diadakan sempena Muslim World Biz ke-6 di Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur, 27 – 30 Oktober 2015.
WITCX merupakan persidangan dan pameran terkemuka mengenai pelancongan. Pamerannya dianggap sebagai sebagai wadah berkesan mempamerkan kekayaan warisan budaya dan destinasi, produk dan perkhidmatan pelancongan moden. Manakala persidangannya pula ialah kesempatan membuat jaringan kerja dan memperoleh maklumat mendalam mengenai pelbagai dan istimewanya pelancongan Islam, kerana ia berjaya setiap tahun menyatukan pemimpin dan pihak-pihak berpengaruh di dalam berbagai industri daripada seluruh dunia, di mana masing-masing mereka menjangka akan adanya perkembangan dan perubahan untuk dibuat strategi mengenainya.
Delegasi Brunei ke Pameran Pelancongan Islam itu terdiri dari Pusat Promosi Pelancongan MIPR, JMK, Darussalam Holding dan Syarikat Penerbangan RB. Misi delegasi Brunei ialah untuk terus mempromosi Brunei sebagai ‘The Kingdom of Unexpected Treasure’. JMK, melalui pavilion Brunei itu, akan memberigakan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) yang masa ini bangunan kekalnya sedang dalam pembinaan dan dijangka siap di suku pertama tahun 2017. BPIS, dengan bangunan kekalnya itu, sudah pun dianggap akan menjadi satu tarikan pelancongan, one-stop destinasi pelancongan Islam di Brunei Darussalam.
