Pesta Buku Borneo 2015

3 Zulhijjah 1436 bersamaan 17 September 2015

Dalam usaha untuk menyebarkan ilmu dan maklumat Fatwa Mufti Kerajaan dan Irsyad Hukum, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri menyertai Pesta Buku Borneo yang telah diadakan di Dewan Pameran 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah pada 3 hingga 10 Zulhijjah, 1436 bersamaan 17 hingga 21 September, 2015.

Pesta Buku ini yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sabah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Mosidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Menurut Pengerusi pelaksanaan Pesta Buku Borneo 2015, Prof Madya Dr. Asmady bin Idris, pesta buku ini disertai oleh pampamer dari dalam dan luar negeri termasuk Royal Embassy of Saudi Arabia, Kuala Lumpur, IKAPI Indonesia, NUS Press, Singapura, penerbit-penerbit Universiti di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

Menurutnya lagi Pesta Buku Borneo 2015 mungkin baru bagi masyarakat di Sabah dan Borneo amnya tetapi pihak penganjur bertekad untuk menjadikannya sebagai salah satu pesta buku yang terkenal di rantau ini.

​Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Mosidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berminat dengan buku-buku terbitan JMK. Sebelum beredar meninggalkan gerai JMK, YB sempat bergambar ramai untuk kenangan.