Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

11 Ogos 2022 - Ucapan Yang Berhormat Mufti Kerajaan Di Majlis Doa Kesyukuran Sempena 60 Tahun Institusi Fatwa Brunei Darussalam 1962 – 2022

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ الله ، وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَوَالَاه. أَمَّا بَعْدُ.


Majlis kita pada hari ini kita sebut ia sebagai Majlis Doa Kesyukuran dan Penghargaan Sempena Menyambut 60 Tahun Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam 1962 – 2022.


Sambutan ini wajar untuk mengimbas balik detik bersejarah wujudnya Institusi Fatwa di negara ini. Ia adalah detik keramat, kerana sebelumnya negara tidak mempunyai mufti, sehinggalah pada 1 April 1962, Kerajaan Johor telah bersetuju meminjamkan Tuan Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz menjadi mufti Kerajaan Brunei selama tiga tahun iaitu sehingga 31 Mac, 1965.  Kemudian diperkenankan berkhidmat semula pada 8 Mac, 1967 sehinggalah beliau itu kembali kerahmatullah pada 3 Februari, 1993.


Sejarah lantikan mufti berhubung rapat dengan wawasan raja Brunei ke-28, Al-Marhum Sultan Haji Umar ‘Ali Saiffuddien Sa’adul Khairi Waddien.  Bagindalah pencetus kesedaran untuk melantik mufti, dengan warkah baginda kepada Menteri Besar Brunei, bertarikh 24 Januari, 1961 dan pada April 1962 hasrat baginda terkabul dengan Tuan Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, pegawai pinjaman daripada Johor menjadi Mufti Pertama Brunei Darussalam.


Setelah lebih 30 tahun Institusi Fatwa adalah merupakan salah satu bahagian di bawah Jabatan Hal Ehwal Ugama dengan perkara pentadbiran diletakkan di bawah Pengetua Hal Ehwal Ugama manakala tanggungjawab undang-undang pula di bawah Majlis Ugama Islam, dan setelah Jabatan Hal Ehwal Ugama dinaik taraf menjadi Kementerian pada tahun 1986, Institusi Fatwa diletak pula di bawah Jabatan Hal Ehwal Syar’iah (salah sebuah jabatan di dalam Kementerian Hal Ehwal Ugama). Sehinggalah pada 3 Jamadil Akhir 1415 bersamaan 7 November, 1994, dengan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan telah ditubuhkan secara berasingan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dengan Mufti Kerajaan bertanggungjawab terus kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, pada menyembahkan apa-apa jua perkara yang berkaitan dengan tugas-tugasnya sebagai Mufti Kerajaan tanpa melalui sesiapapun.


Inilah kemuncak wawasan raja mengenai Institusi Fatwa dan jawatan Mufti. Nyatalah di sini, Institusi Fatwa itu turut menjadi keutamaan kepada negara. Perkara ini dilihat oleh raja dengan pandangan yang sangat tajam dan jauh.


Memang sudah menjadi hakikat, kepentingan fatwa adalah sangat besar. Mufti memikul tanggungjawab sangat berat yang resikonya sangat tinggi, mengapa? Kerana mufti menurut Imam Asy-Syathibi adalah ibarat pengganti dan pewaris kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam perkara untuk menyampaikan ajaran Allah, mengajar, memberi bimbingan kepada manusia ke arah jalan yang benar serta memberi peringatan tentang ancaman siksa bagi sesiapa jua yang menyelewing.


Tugas ini bukannya ringgan. Imam Malik Rahimahullah pernah berkata: “Sesiapa yang hendak menjawab sesuatu soalan, hendaklah dia bersedia membentangkan dirinya di hadapan syurga dan neraka  sebelum menjawab, serta memikirkan kesudahan dirinya di Akhirat kelak dan kemudian barulah dia menjawab.”


Atas asas inilah, Imam Malik apabila ditanya, sering kedengaran menjawab: “Aku tidak tahu.” Orang yang bertanya membalas:  “Bukankah ini masaalah yang ringan dan mudah sahaja?”  Lalu Imam Malik marah dan berkata: “Tidak ada sesuatu yang ringan dalam ilmu.  Tidakkah kamu mendengar firmah Allah ini


إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا (سورة المزمل : 5)


Tafsirnya: “Sesungguhnya Kami (Allah) sampaikan kepadamu ucapan yang berat.”


Maksudnya, ilmu pada keseluruhannya adalah berat belaka, kerana ia adalah perkara yang akan ditanya kelak pada hari kiamat.


Ini imam Malik, bahkan Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam juga pernah ditanya, apakah tempat yang paling buruk?  Baginda bersabda menjawab:  “Aku tidak tahu.”  Lalu Baginda bertanya kepada Jibril, dan Jibril juga menjawab: “Aku tidak tahu.”  Lalu Jibril bertanya langsung kepada Allah ‘Azzawajalla dan Allah menjawab memberitahu bahawa seburuk-buruk tempat itu ialah ‘pasar’.

Asy-Sya’bi pernah ditanya satu perkara lalu beliau menjawab:  “Aku tidak tahu.” Orang yang bertanya berkata: “Tidakkah engkau malu dengan ucapanmu aku tidak tahu itu, sedang engkau adalah tokoh fiqah bagi penduduk Iraq?”


Berkata Asy-Sya’bi: “Akan tetapi para Malaikat tidak malu ketika mengatakan “Tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang Engkau (Allah) telah ajarankan kepada kami sahaja.”


Imam Asy-Syafi’e pula ketika ditanya suatu masaalah beliau diam.  Orang berkata: “Tidakkah Tuan mahu menjawabnya?”  Berkata Asy-Syafi’e: “Sehingga aku tahu dahulu sama ada terdapat kebaikkan pada diamku atau pada jawapan.”


Begitu para ulama muktabar adalah bersikap sangat berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa. Sebenarnya, membuat fatwa adalah menggubal undang-undang. Undang-undang apa? Undang-undang Allah. Disebut undang-undang Allah, ia bukan terbit dari pendapat dan fikiran kita seperti mengubal undang-undang manusia, bukan! Tetapi undang-undang Allah itu adalah ia bertolak dari kitabNya Al-Qur’an, dari al-Hadits dan Ijma’ Ulama.  Inilah dasar dalam menggubal undang-undang (fatwa) itu. Sebab itulah para ulama tidak sebarangan memberi fatwa, kerana yang difatwakan itu tidak boleh terbabas dari landasan undang-undang Allah. Hukum arak haram adalah undang-undang Allah.  Hukum riba haram adalah undang-undang Allah. Hukum mendadahkan ‘aurat haram adalah undang-undang Allah dan banyak lagi. Semua itu, para mufti tidak diberi mandat untuk cuba-cuba mengubah hukum itu. Kalau mengubah, pintu neraka adalah terbuka untuknya.


Para ulama muktabar sangat menggeruni neraka. Biar mereka sakit di dunia asal selamat di akhirat.  Imam Abu Hanifah mati dalam penjara kerana menegakkan hukum. Imam Ahmad bin Hanbal dirotan sampai berlumuran darah kerana menegakkan hukum dan ramai lagi para ulama yang menderita kerana menegakkan hukum. Namun mereka tidak kisah, kerana mereka tahu ini semua adalah ujian dari Allah.  Jika mereka sabar maka pangkat dan darjat mereka di akhirat akan ditinggikan oleh Allah.


Di era sekarang mufti tidak keseorangan, malah bersama-samanya ramai pegawai dan kakitangan. Semua mereka itu adalah pembantu-pembantu kepada mufti. Maka tolonglah mufti sama-sama menegakkan hukum Allah. Jika mufti lupa, ingatkan. Jika mufti silap, betulkan.  Inilah namanya kita sama-sama memelihara amanah.



*   * *













Attachments