Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

20 Mac 2023 - Penolong Mufti (Buhuth) Menyampaikan Sijil Tauliah Amil bagi Tahun 1444-1445H/2023-2024M

Oleh: Rawandi Rafie Yahya





Majlis Ugama Islam telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Tauliah Amil kepada Amil-Amil yang dilantik seluruh Negara bagi Tahun 1444–1445 Hijrah bersamaan 2023– 2024 Masihi yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah.

Bagi majlis di Daerah Belait, hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan Sijil Tauliah kepada Amil-Amil ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan, selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei. Majlis berlangsung di Masjid Zainab, Kampong Lumut, Kuala Belait.

Seramai 362 orang Amil dilantik bagi 142 kawasan tempat mengutip zakat di seluruh Negara pada kali ini. Bagi Daerah Belait sahaja, penyampaian sijil telah disempurnakan kepada 24 orang Amil bagi 15 kawasan di Daerah Belait.

Menurut siaran akhbar daripada Majlis Ugama Islam Brunei, sejak berkuat kuasanya Peraturan Zakat dan Fitrah 1969, Majlis Ugama Islam Brunei telah melantik Amil-Amil yang terdiri daripada Pegawai-Pegawai Masjid, Imam-Imam, Bilal-Bilal, Ketua-Ketua Kampong, Guru-Guru Ugama, pegawai-pegawai beruniform daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pegawai Bomba dan Penyelamat serta kakitangan kerajaan yang bersesuaian.

Tempat-tempat pengutipan dan pembayaran zakat dilakukan di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadat, rumah-rumah Amil (terdiri daripada Ketua-Ketua Kampong yang berkenaan), di pejabat Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam, Daerah Brunei dan Muara serta cawangan-cawangan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat di Pejabat-Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Tutong dan Temburong. Selain itu, institusi-institusi kewangan Islam seperti Tabung Amanah Islam Brunei dan Bank Islam Brunei Darussalam juga dilantik sebagai Amil khusus bagi mengutip Zakat Harta sahaja, iaitu bagi penyimpan di institusi-institusi kewangan berkenaan.

Orang ramai juga akan dapat menggunakan pembayaran Zakat Fitrah secara atas talian ‘online’. Perkhidmatan berkenaan akan dapat digunakan mulai 01hb Ramadhan sehingga 28hb Ramadhan 1444 Hijrah.

Attachments