Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

18 Mac 2023 - Kertas Perdana: Kesihatan Mental ke Arah Kesejahteraan Ummah
​SEMINAR SERANTAU KESIHATAN MENTAL 2023M

​TEMA: “KESIHATAN MENTAL KE ARAH KESEJAHTERAAN UMMAH”

TAJUK: “KESIHATAN MENTAL KE ARAH KESEJAHTERAAN UMMAH”
KERTAS PERDANA

Disampaikan oleh:
Yang  Berhormat Pehin 
Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned
Mufti Kerajaan
Negara Brunei Darussalam

Tempat:
Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas

Hari Sabtu
25 Sya’aban, 1444H 
18 Mac, 2023M

​​---

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ الله ، وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَوَالَاه. أَمَّا بَعْدُ.

Saya terlebih dahulu merakamkan ucapan banyak-banyak terima kasih kepada pihak penganjur, khasnya kepada Yang Mulia Raes KUPU SB yang meminta saya untuk membentangkan Kertas Perdana. Saya juga meminta maaf kerana tidak dapat muncul secara fizikal, kerana masa ini saya masih didalam rawatan doktor. Mohon saja doa awda semua. 

Tajuk yang diberikan kepada saya berbunyi “Kesihatan Mental Ke Arah Kesejahteraan Ummah.”

Memang, dari mental yang sihat akan membuahkan kesejahteraan. Pepatah Arab berbunyi: “اَلْعَقْلُ السَّلِيم فِى الْجِسْمِ السَّلِيم”  (Akal yang sihat duduknya di dalam badan yang sihat).  Sebab itulah, kesihatan mental adalah sangat-sangat dihajati, sebaliknya penyakit mental, kita minta kepada Allah supaya ia benar-benar dijauhi. Aamiin.

Apa itu penyakit mental? 

Penyakit mental adalah gangguan pada fungsi otak, yang menyebabkan boleh berlaku perubahan pada pemikiran, perasaan dan tingkah laku.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit mental adalah antara lima penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia.  

Adakah penyakit mental itu pelbagai?

Jawapnya: Ya. Ia bukan hanya satu jenis sahaja, tetapi terdiri dari beberapa kategori, iaitu secara umum terbahagi kepada 3 kumpulan utama:

1. Neurosis: iaitu mengalami gangguan dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan. Antara contoh penyakit neurosis ialah:

a) Kemurungan, iaitu perasaan yang melampau dan berpanjangan dan berat untuk ditanggung.

b) Kebimbangan, iaitu yang digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah, yang mengakibatkan seseorang itu merasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar-debar dan merasa takut yang melampau akan bahaya yang tidak diketahui puncanya.

2. Psikosis: iaitu mengalami perubahan amat ketara dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku, di mana kewarasan juga terjejas. Antara contoh penyakit Psikosis ialah:

a) Penderita akan merasa keliru, mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengannya, dikenali sebagai halusinasi. Penderita juga mempunyai kepercayaan pelik yang menyebabkan reaksi melampau berlaku, seperti menganggap ada orang yang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepadanya menyebabkan dia bertindak menyerang orang yang disyakinya itu.

b) Penderita mungkin bercakap-cakap merapu, bercakap seorang diri, ketawa atau marah tanpa sebab dan lain-lain lagi.

Akibat dari semua ini boleh merosakkan atau memutuskan hubungan interpersonal dengan orang disekelilingnya.

Apakah penyebab penyakit mental?

Jawabnya: Tidak diketahui dengan tepat apa penyebabnya. Namun menurut teori jua, ada beberapa faktor yang dianggap boleh menyumbang kepada terjadinya penyakit mental iaitu antaranya:

i. Faktor genetik/keturunan, iaitu jika di dalam keluarga ada mempunyai sejarah penyakit mental, maka menurut teori, ini adalah beresiko lebih tinggi, berbanding populasi yang tidak ada sejarah penyakit berkenaan.

ii. Faktor bahan kimia neurotransmitter dalam otak terganggu atau tidak berfungsi dengan baik, maka gejala penyakit mental akan muncul.

iii. Faktor sejarah hidup getir, juga termasuk disebut sebagai penyebab, seperti pernah mengalami proses kelahiran yang sukar, atau kehilngan ibu bapa semasa kecil, atau terlalu kerap mengalami cabaran-cabaran pahit didalam hidup.

iv. Faktor sosio-ekonomi yang rendah, iaitu kemiskinan dan tanpa kemudahanan asas, atau boleh juga jadi penyebab ialah keganasan yang berlaku di dalam rumahtangga atau di dalam masyarakat.

Demikian itu antara penyebab penyakit mental menurut teori.

Apa bolehkah penyakit mental itu dirawat atau diubati?

Jawabnya: Ya, tentu saja boleh. Kerana setiap penyakit, Allah sediakan ubatnya dan kita juga disuruh berubat.

Dalam bidang perubatan modern telah membolehkan penemuan ubat-ubat yang dianggap mampu untuk merawat penyakit mental. Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan juga digunakan, seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psikososial dan pendidikan psikologi adalah dianggap berkenaan sebagai ubat merawat mental.

Semua hospital dan klinik kesihatan, biasanya mempunyai anggota-anggata terlatih untuk memberikan rawatan kepada mereka yang mengalami masalah mental dengan pakar psikiatri pula sedia dirujuk bagi kes-kes yang rumit.

Inilah rawatan modern yang menampilkan pelbagai jenis terapi. Semua ini adalah terapi biasa dengan nama-namanya dicipta menurut kesesuaian. Siapakah yang mencipta nama-nama itu, tentu saja para pakar dalam bahagian masing-masing, seperti juga ubat-ubat adalah dicipta oleh para ahli yang berkenaan.

Kita sesungguhnya tidak menolak sebarang terapi dan juga ubat-ubat yang dicipta itu. Tetapi khusus mengenai penyakit mental/penyakit jiwa yang pangkalannya adalah di hati, kita melihat, semua jenis terapi yang disebutkan tadi dan malah semua ubat yang datangnya daripada para pakar yang sedia ada adalah belum memadai.

Kerana di sana ada lagi, yang nampak-nampaknya orang lain lupa, bahkan para pakar pencipta terapi dan ubat-ubat tidak terlintas bahawa masih terdapat terapi dan sekaligus ubat yang lebih diperlukan selain pelbagai terapi dan ubat yang telah dipergunakan itu. Setakat ini orang cuma mengenal terapi fizikal berupa pergerakkan-pergerakkan anggota tubuh badan. Tetapi ramai yang tidak menyedari bahawa terapi dan ubat merawat mental yang paling diperlukan adalah namanya “Terapi Zikir/Terapi Al-Qur’an/Terapi Sembahyang.” Mengapa ini?

Ya memang! Bukankah penyakit mental itu pangkalannya di hati? Hati yang bergelora, tidak tenang dan resah gelisah. Itulah gejala mental. Jadi apa hubungannya dengan zikir, dengan al-Qur’an dan dengan sembahyang? Ya, amat rapat hubungannya. Kerana hati yang bergelora, yang tidak tenang dan resah gelisah adalah perlu dirawat, ditenangkan ia. Tetapi dengan apakah ia dirawat dan ditenangkan itu? Dengan apa? Adakah dengan muzik? Atau dengan aneka lagu? Atau dengan menari dan menyanyi? Bukan! Tetapi Al-Qur’an telah memberi jawapannya, firman Allah Ta’ala:

أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ  (الرعد : 28)

Tafsirnya: “Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati-hati.”
Ah ini, terapi dan ubat paling ampuh untuk turut merawat mental. Mental yang sakit juga boleh berpunca dari hati yang berkarat, hati tidak bersih. Dan dengan apakah untuk menghilangkan karat itu? Jawabnya, juga dengan zikir atau dengan Al-Qur’an, berdasarkan hadits riwayat al-Baihaqi, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ هٰذِهِ الْقُلُوبَ تَصْدَأُ كَمَا يَصْدَأُ الْحَدِيْدُ إِذَا أَصَابَهُ الْمَاءُ. قِيْلَ يَا رَسُولَ الله وَمَا جِلَائُهَا؟ قَالَ : كَثْرَةُ ذِكْرِ الْمَوْتِ وَتِلَاوَةُ الْقُرآنِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya hati-hati ini akan berkarat sebagaimana besi berkarat apabila terkena air.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah penggilap hati berkarat?” Baginda menjawab bersabda: “Banyak ingatkan mati dan membaca Al-Qur’an.”

Mental juga boleh sakit apabila hati gelap gelita. Apakah ubatnya? Juga ubatnya ialah zikir/al-Qur’an, sebagaimana hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam riwayat Ibn Hibban dari sahabat Abu Zar Radhiallahu `anhu beliau berkata: “Wahai Rasulullah, nasihatilah saya.” Baginda bersabda: “Bertaqwalah kamu kepada Allah kerana taqwa itu adalah asas bagi segala amalan.” Berkata terus Abu Zar: “Tambahkanlah lagi untuk saya.” Maka Baginda pun bersabda: “Ambil beratlah untuk membaca Al-Qur’an, kerana Al-Qur’an itu adalah nur (cahaya) untuk kamu di dunia dan kelak akan jadi bekalan di langit (pada hari Kiamat)”.

Sementara sembahyang, memang ia tiang ugama, penghapus dosa dan asas bagi penyembuhan segala penyakit. 

Bagaimana boleh begitu?

Ya, ini dapat kita lihat dari sembahyang itu sendiri. Bukankah dalam sembahyang kita diwajibkan untuk membaca Al-Fatihah? Apa itu Al-Fatihah? Hadith riwayat Ad-Darimi dan Al-Baihaqi, Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

فِى فَاتِحَةِ الْكِتَابِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Maksudnya: “Dalam surah Al-Fatihah itu terdapat penawar bagi segala penyakit.”

Nah, kalau begitu, bukankah dengan membaca Al-Fatihah itu sahaja pun, kita adalah berubat?

Ya, tidak diragukan lagi, orang sembahyang adalah orang yang sentiasa merawat dirinya dengan Al-Qur’an. Firman Allah Subhanahu wata`ala:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٞ وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ  (الإسراء : 82)

Tafsirnya “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Qur’an itu ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Dan firmanNya lagi:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٞ لِّمَا فِي ٱلصُّدُورِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ   (يونس : 57)


Tafsirnya: “Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada-dada kamu, dan juga (menjadi (penyuluh) hidayah untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Dua ayat ini sangat terang dan jelas menyatakan, bahawa Al-Qur’an adalah penawar dan rahmat, khasnya penawar bagi penyakit-penyakit dalaman di dalam dada-dada dan hati-hati manusia, termasuk ia pantas dirujuk kepada penyakit-penyakit mental.

Jadi jelas, ibadat sembahyang adalah tidak terpisah dari Al-Qur’an, sama-sama menjadi terapi dan ubat bagi merawat semua penyakit, termasuk penyakit-penyakit mental.

Ini saudara, very-very sorry kepada para pencipta terapi dan ubat di luar Islam, mereka itu sama sekali tidak mungkin terlintas perkara ini, kerana ketika mereka mencipta terapi dan ubat, mereka tidak merujuk kepada Al-Qur’an dan Al-Hadits.

Jadi di sini, sesuai dan bahkan perlu untuk pakar-pakar Muslim memikirkan langkah-langkah terbaik, disamping kita juga tidak menolak terapi ciptaan-ciptaan orang lain, mengapa terapi ketuhanan yang ditunjuk oleh Allah dalam kitabNya tidak kita gunakan sama?

Maka melalui majlis yang bersukut baik ini, saya dengan segala besar hati, suka menyarankan supaya terapi ketuhanan berupa zikir-zikir yang meliputi ayat-ayat Al-Qur’an, ruqyah-ruqyah Nabawiyyah dan doa-doa turut diperkenalkan di pusat-pusat kesihatan dan klinik-klinik Islam kita sebagai rawatan utama atau sekurang-kurangnya sebagai rawatan sokongan kepada terapi-terapi yang sedia ada.

Kita tidak wajar memandang ringan aspek kesihatan mental. Sebelum wabak pada 2019 pun, telah dianggarkan satu daripada lapan orang di seluruh dunia adalah hidup dengan gangguan mental. Kemudian masuk era Covid-19, telah tercipta krisis global kesihatan mental yang lebih kronik, yang melibatkan berjuta-juta orang. Anggaran telah meletakkan peningkatan kemurungan melebihi 25% semasa tahun pertama sahaja wabak ini, sebagaimana data terbaru yang direlease oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bahkan menurut direktor general WHO, Dr. Tedros Adhanom, temuan ini mungkin hanya sebahagian kecil sahaja, dan masih ada lagi kejadian depresi (kemurungan) yang belum terungkap.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan kita dalam perutusan beliau sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022 antara lain menekankan, “bahawa beban kesihatan mental diperingkat global semakin meningkat akibat cabaran yang dihadapi di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

Beliau menambah lagi dengan menyebut rekod kesihatan elektronik (Bru-HIMS) bagi tahun 2021, seramai 1,515 individu telah didiagnosis dengan anxiety disorder dan lebih dari 900 individu mengalami depressive disorders.

Menurut beliau lagi, di seluruh dunia, pandemik Covid-19 telah mengakibatkan peningkatan tahap tekanan mental atau stress dan mewujudkan kadar kebimbangan dan kemurungan yang tinggi dianggarkan  satu dalam empat individu mengalami masalah mental, semasa tahun pertama sahaja pandemik berlaku.

Sekarang kita bukan lagi berada ditahun pertama pandemik, tetapi sudah pun memasuki tahun keempat, maka berapakah pula kadar kemurungan yang patut dianggarkan?

Semua ini mungkin mampu untuk dijelaskan oleh pihak yang berkenaan kesihatan.

Selain pandemik, dunia kita juga terus dilanda oleh pelbagai musibah, seperti gempa-gempa bumi, banjir-banjir besar, tanah susur, ribut taufan, letusan-letusan gunung berapi, peperangan, pembunuhan, krisis-krisis politik dan ekonomi yang tiada redanya. Ini semua berpotensi untuk menciptakan gejala-gejala kemurungan penyakit mental.

Setakat masa kini sahaja, dunia kita sedang dihantui oleh jumlah bersakala besar mangsa-mangsa musibah. Mangsa Covid-19 telah disahkan hampir 800 juta dengan jumlah kematian mencecah angka 6.8 juta, setakat data kemaskini WHO pada 28 Februari 2023.

Gempa bumi di Turki dan Syria pada 6 Februari 2023, setakat 7 Mac 2023 dilaporkan seramai 52,780 orang mati dan 129,490 yang cedera.

Di Pakistan, mangsa banjir, dianggarkan sehingga kira-kira 9 juta yang boleh dihimpit oleh kemiskinan yang teruk.

Di Malaysia dilaporkan, sekurang-kurangnya 51,200 orang telah dipindahkan ke pusat-pusat sementara akibat banjir, dan juga tidak terkecuali dari turut mengorbankan nyawa.
Ini belum lagi di bahagian-bahagian dunia yang lain, seperti Australia, Indonesia, Filipina dan lain-lain, yang masing-masing itu mempunyai mangsa-mangsa musibah yang tersendiri.

Tidak diragukan lagi, kesan dari musibah-musibah ini, pasti telah dan akan mencipta gejala-gejala mental kepada para mangsa.

Nah, tidakkah ini menguatkan lagi alasan untuk kita sangat-sangat perlu beramal dan menerapkan terapi ketuhanan berupa zikir-zikir, ayat-ayat al-Qur’an dan sembahyang, sebagai alat penenang jiwa yang rungsing dan bahkan sebagai ubat bagi penyakit-penyakit mental.

Di sinilah untungnya kita Alhamdulillah, menjadi umat yang berugama Islam, di mana umat-umat di luar Islam sama sekali tidak akan terlintas untuk memahami hakikat ini.  Sekian.

وبالله التوفيق والهداية ، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 *   *   *





Attachments