
| 
|
Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti (Ifta') bertolak ke Kaherah, Republik Arab Mesir pada hari Sabtu, 21 Muharram 1446 bersamaan 27 Julai 2024 bagi menghadiri Persidangan Fatwa Antarabangsa kali ke-9, sebagai wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.
Persidangan pada tahun ini bertajuk 'Fatwa dan Asas Etika Dalam Dunia Yang Semakin Pantas'dan akan bersidang selama dua (2) hari bermula 29 sehingga 30 Julai 2024.
Turut mengiringi beliau ke persidangan tersebut ialah Ustaz Haji Abdul Rahman bin Pengarah Haji Mokti, Ketua Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan.
Dianjurkan oleh Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa di Seluruh Dunia dan diadakan di bawah naungan Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, persidangan ini dijangka akan membincangkan peranan fatwa dalam mempromosikan etika dan nilai kemanusiaan. Dalam masa yang sama, ianya bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara institusi-institusi fatwa dan organisasi antarabangsa dan serantau; seterusnya menghasilkan cadangan praktikal untuk mengukuhkan standard etika dalam masyarakat. Persidangan ini juga dijangka mengumpulkan para mufti, menteri, dan ulama terkemuka dari lebih 100 negara, bersama-sama dengan wakil peringkat tinggi dari pelbagai organisasi antarabangsa.
Kehadiran ke persidangan tersebut juga adalah atas jemputan Ustaz Dr. Shawqi Allam, Mufti Republik Arab Mesir selaku Presiden Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa di Seluruh Dunia (General Secretariat for Fatwa Authorities Worldwide).