Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

10 Mac 2022 - Multaqa Ulama Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah Antarabangsa 2022

Oleh: Osman Abu Bakar

IMG_0479 (295x240).jpg

Bahaya Golongan Musyabbihah Alaf Baru Dan Khawarij Moden: Peranan Mufti Dan Ulama' Ahli Sunnah Wal Jama'ah Mendepani Golongan Takfiri
 

Brunei Darussalam Alhamdulillah, pada setakat ini, belum menghadapi atau dimasuki oleh ancaman-ancaman golongan pelampau dan penyeleweng agama seperti Khawarij dan Musyabbihah.

Banyak faktor boleh diandaikan mengapa Negara Brunei terselamat daripada ancaman-ancaman itu.  Diantaranya kerana Brunei meletakkan agama Islam sebagai agama resmi menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah dan mazhab Syafi'i.  Ini yang termaktub dalam perlembagaan.  Inilah perisai, malah kubu kebal Negara Brunei Darussalam untuk menolak ancaman-ancaman pelampau dan pengacau-pengacau yang mencemari aqidah.  Baru sahaja hadir mengimbang pintu kita, Insya Allah, mereka mampu diusir.  Dasar ini, diterapkan ke dalam segenap bidang, tidak terkecuali bidang pentadbiran, undang-undang, dakwah, pendidikan dan sebagainya.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti kerajaan ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Bahaya Golongan Musyabbihah Alaf Baru dan Khawarij Moden: Peranan Mufti Dan Ulama' Ahli Sunnah Wal Jama'ah Mendepani Golongan Takfiri" di Multaqa Ulamak Ahli Sunnah Wa al-Jamaah Peringkat Antarabangsa 2022:  Akidah Sifat 20 Metode al-Asyairah dan al-Maturidah Mendepani Ekstremis Agama dan Pemikiran Sesat anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Persatuan Ulama Malaysia pada 10 Mac, 2022 yang diadakan secara maya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, dalam bidang penguatkuasaan undang-undang sebagai contoh, kerajaan telah menguatkuasakan peraturan-peraturan mengawal kemasukkan buku-buku yang dianggap mengandungi fahaman-fahaman bercanggah dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jama'ah.  Dalam bidang penyebaran dakwah, telah ditubuhkan jawatankuasa bagi memberikan kebenaran dan pemberian tauliah kepada mana-mana orang yang ingin menyampaikan ceramah di negara ini.  Kerajaan juga  menubuhkan pusat-pusat seperti Pusat Pengajian Kefahaman Ahli Sunnah Wal Jama'ah dan Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi'i.  Semua ini bertujuan untuk pengembangan ilmu dan sekaligus memperkukuh kefahaman dan aqidah.  Pusat-pusat ini diletakkan di bawah pentadbiran institusi-institusi pengajian tinggi di Brunei.

Katanya, telah terbukti bahawa dasar ini telah dan sedang membawa Brunei menikmati kestabilan, baik dalam kehidupan beragama pada khususnya mahupun kehidupan bernegara pada umumnya.

Menurutnya, juga terkandung dalam ruang lingkup dasar negara ialah dasar yang menggariskan peranan dan tanggungjawab Mufti dalam menangani isu-isu agama di negara Brunei. 

Menurut akta, tegasnya fatwa adalah disandarkan kepada pendapat  mazhab Syafi'i  dengan  mengutamakan "Qaul Muktamad".  Namun jika mengikut mazhab Syafi'i itu akan membawa pertentangan dengan kepentingan awam, maka fatwa boleh dikeluarkan mengikut pendapat mana-mana dari tiga mazhab lagi yang dianggap bersesuaian.  Tetapi mana-mana fatwa sedemikian ini, syarat-syarat dan prinsip-prinsip mengapa ia patut diikut hendaklah dibentangkan dengan jelas dan lengkap.

Menurut Yang Berhormat Pehin, peranan Mufti dalam mendepani ancaman golongan-golongan pelampau agama dapat dikesan melalui fatwa-fatwa yang dikeluarkan dari dahulu hingga sekarang, contohnya:

  1. Fatwa-fatwa tersebut adalah dipakai sebagai panduan resmi oleh pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan bagi mengambil sebarang tindakan yang diperlukan.
  2. Walaupun sehingga masa ini belum ada fatwa khusus mengenai ideologi takfir yang dibawa oleh Khawarij moden dan Musyabbihah, namun jika isu berbangkit, maka Mufti dan institusi fatwa adalah platform utama yang akan dirujuk untuk kerajaan mengambil atau menentukan sikap.
  3. Fatwa dari dahulu sampai sekarang adalah melarang membawa masuk dan menyebarkan secara bebas buku-buku yang mengandungi pemikiran dan fahaman bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah seperti buku-buku karangan Ibnu Taimiyah.  Hanya institusi-institusi tertentu sahaja yang diberi kelonggaran, sebagaimana fatwa menyebut seperti berikut: "Adapun kitab-kitab Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim yang telah diketahui mempunyai hubungan ketara dengan fahaman-fahaman sesat atau yang bercanggah dengan pendapat atau fahaman Ahli Sunnah Wal Jama'ah adalah kitab-kitab sedemikian itu wajar dibendung dan tidak dibenarkan masuk sama sekali ke negara ini.  Permohonan untuk membawa masuk kitab-kitab sedemikian perlu dinilai dari masa kesemasa dan pertimbangan mengenainya juga sewajarnya dibataskan hanya kepada institusi-institusi tertentu sahaja seperti pengajian tinggi ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Mufti Kerajaan, pusat-pusat penyelidikan dan individu-individu tertentu yang benar-benar dikenal pasti berkaitan dengan tugasnya....."
  4. Fatwa juga menasihatkan pihak-pihak di dalam kerajaan supaya tidak menghantar pelajar-pelajar ke negara-negara yang dikenal pasti tidak sealiran dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah.  Nasiha ini dipakai sampai ke hari ini.

"Dasar-dasar ini Alhamdulillah, telah berjaya membawa Brunei Darussalam menikmati keamanan dan kestabilan," tegas Yang Berhormat Pehin.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin menjelaskan golongan Musyabbihah dan Khawarij sama-sama dilihat sebagai berbahaya kepada fizikal mahupun aqidah. 

Dua-dua, katanya adalah ancaman kepada kesatuan dan perpaduan umat.  Dua-dua juga adalah berkaitan dengan fenomena 'takfir', iaitu menuduh dan menghukumkan seseorang  Muslim sebagai kafir.  Inilah bahaya yang jelas dari dua golongan ini.

Asal usul fenomena takfir, menurut Yang Berhormat Pehin boleh dijejaki daripada kemunculan golongan Khawarij yang berpecah daripada barisan Saidina Ali bin Abi Thalib Karramallahu wajhah dalam peperangan Shiffin

Peredaran zaman, katanya menyebabkan fenomena ini seperti menghilang,  tetapi pada masa ini menjelma dalam bentuk yang boleh disifatkan sebagai golongan Khawarij dan Musyabbihah moden.

Menurut Yang Berhormat Pehin, peristiwa takfir terawal dilakukan oleh Saidina Abu Bakar Ash-Shiddiq Radhiallahu 'anhu ke atas golongan yang mengingkari kewajipan mengeluarkan zakat. Tetapi tindakan beliau ini berlaku atas landasan yang betul dan hak  berdasarkan petunjuk hadits, Sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam (maksudnya): Aku telah diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengatakan: Tiada Tuhan melainkan Allah, maka sesiapa yang mengatakannya (kalimat ini),  maka harta dan nyawanya akan terpelihara dariku, kecuali dengan hak Islam dan perhitungannya (menyembunyikan kekufuran),  adalah itu terpulang pada Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
 
Tetapi tindakan mentakfir, jelas Yang Berhormat Pehin telah bertukar bentuk menjadi tindakan yang batil iaitu dengan menuduh dan menghukum secara melulu individu Muslim yang berdosa sebagai kafir.   Ini ditentang oleh Ahli Sunnah Wal Jama'ah yang kuat berpegang kepada prinsip, banyak mana pun dosa yang dilakukan tidak akan menjadikan seseorang itu kafir, selama mana masih mengucap La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.
 
Menurut Yang Berhormat Pehin, Imam Ibnu Katsir menyatakan,  bahawa tindakan golongan khawarij ini adalah merupakan awal kemunculan bid'ah  yang mengkafirkan kaum muslimin yang berdosa serta menghalalkan darah dan harta mereka.

"Gerakan takfir kemudiannya menular diamalkan oleh golongan ahli bid'ah di tengah-tengah masyarakat Islam, sehinggalah ke hari ini pemikiran gerakan ini jauh lebih menyimpang daripada pemikiran asal Khawarij. Gerakan tersebut berlaku sama ada berterang-terangan atau bersembunyi-sembunyi  dengan menyelitkan ideologi takfir melalui penulisan, dengan melabelkan masyarakat Islam hari ini sebagai masyarakat jahiliyyah dan kafir. Tujuan mereka ialah untuk menghasut, memprovokasi, menjerat dan mencemari pemikiran generasi baru muslim supaya memberontak dan menentang pemerintahan yang sah," tegasnya.
 

Beralih kepada golongan Musyabbihah, menurut Yang Berhormat Pehin  golongan ini berpendirian, semua ayat-ayat al-Qur'an dan nas-nas hadits yang bersifat mutasyabihat tidak boleh dita'wil atau ditafsir dengan lain-lain, melainkan bulat-bulat mesti dipakai sahaja lafaz-lafaz harfiah ayat-ayat atau nas-nas hadits tersebut.  Misalnya jika ayat berbunyi "Yadullah" (tangan Allah), maka bagi mereka adalah itu betul-betul tangan, yakni Allah itu benar-benar bertangan seperti kita juga bertangan.  Begitu juga  selain tangan, golongan ini juga berpendapat bahawa Allah berwajah, berkaki, berbetis dan bertempat, beristiwa di atas 'Arsy dengan dzatNya.  Pendiknya, segala nas mutasyabihat difahami  dan dipakai oleh mereka secara harfiah tanpa boleh dita'wil atau ditafsir dengan  yang lain.

Fahaman seperti ini, jelasnya telah disangkal dan disifatkan oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jama'ah sebagai batil dan sesat kerana bertentangan dengan al-Qur'an dan al-Hadits yang mengungkapkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah Maha Suci dari menyerupai sekelian makhluk.

 

 

Nota:

Objektif Multaqa:

  1. Meningkatkan professionalism pensyarah dan pelajar dengan memberi peluang menjana idea dan berkongsi pengalaman serta kepakaran bersama pakar dalam dan luar negara.
  2. Menyemarakan budaya ilmu melalui perkongsian dan perbincangan ilmiah.
  3. Membentuk jaringan dan jalinan dalam kalangan warga pendidik dan institusi luar.
  4. Mengetengahkan tenaga pakar Pendidikan Akidah Islam dalam dan luar negara dengan perbincangan isu-isu semasa berkaitan akidah dan ajaran sesat serta kesannya kepada Pendidikan Islam dalam negara dan antarabangsa agar dapat dijadikan input integrasi ilmu yang bermanfaat.


Attachments