Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Siaran Akhbar

19 September 2022 - Buku Terbitan Terbaharu

​Oleh: Osman Abu Bakar


Dua buah buku terbaharu  terbitan Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri  kini boleh didapati di kedai buku JMK.  Buku-buku tersebut ialah  Fatwa Mufti Kerajaan 2021 dan Irsyad Hukum 2021.

Berbagai persoalan hukum yang menyentuh mengenai kehidupan harian yang dihadapi oleh umat Islam dihuraikan di dalam buku-buku tersebut.  Tujuannya ialah agar kehidupan umat Islam akan sentiasa terpimpin dan terpandu di atas  landasan yang betul dan di redhai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Fatwa Mufti Kerajaan 2021 memuatkan sebanyak 22 siri fatwa yang telah difatwakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam sebagai jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan yang dihadapkan oleh berbagai pihak daripada orang ramai, institusi dan orang perseorangan.  Antara perkara yang disentuh di dalam buku ini ialah tentang  bolehkah sembahyang ghaib ke atas jenazah pesakit COVID-19?  Kedudukan hukum suntikan vaksin COVID-19 ketika berpuasa dan memakai sungkup muka (facemask) semasa ihram, dan lain-lain persoalan menarik yang difatwakan untuk rujukan dan panduan kehidupan. 

Sementara buku Irsyad Hukum 2021 pula, menghidangkan kepada pembaca berbagai isu dan perkara yang berkaitan dengan aqidah, ibadat, mu’amalat, ahwal syakhsiyyah, haiwan, faraidh, perundangan, siyasah syar’iyyah, akhlak, doa, wirid dan zikir. Isu atau perkara-perkara yang diketengahkan itu dihasratkan untuk dapat membimbing masyarakat Islam lebih memahami hukum-hakam Islam dalam melaksanakan aktiviti kehidupan harian mereka dengan sempurna.

Kedua-dua buku ini diharapkan akan terus dapat memberikan manfaat dan menyumbang ke arah peningkatan ilmu para pembaca tentang hukum-hakam Islam.​


Attachments