Sabtu, 04 Jamadilakhir 1448 bersamaan 14 November 2026
KAMPUNG LUMUT, BELAIT, 14 NOVEMBER 2026 – Masjid Zainab, Kampung Lumut telah menganjurkan Bengkel Solat Bagi Orang Yang Sakit pada Sabtu, 14 November 2026, bertempat di Masjid Zainab, Kampung Lumut, Daerah Belait.
Bengkel anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Zainab ini diadakan sebagai usaha memperkukuhkan kefahaman masyarakat mengenai kaedah pelaksanaan solat bagi individu yang menghadapi keuzuran atau masalah kesihatan, selaras dengan tuntutan syariat Islam.
Program itu telah disertai oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah Masjid, Kumpulan Dikir Muslimah serta para jemaah dan penduduk kampung sekitar.
Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh tiga orang pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan iaitu Muhammad Hilmi bin Yakop, Pegawai Buhuth, Hajah Azalinah binti Zainal Abidin, Pegawai Istinbat, dan Hajah Surayani binti Sabtu, Pegawai Istinbat.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta diberi penerangan mengenai hukum-hakam berkaitan solat bagi orang yang sakit, termasuk tatacara dan pelaksanaan solat mengikut tahap kemampuan seseorang. Sesi soal jawab yang diadakan turut memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelbagai isu berkaitan ibadah ketika sakit.