Ceramah Perdana Sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016

CERAMAH PERDANA SEMPENA SAMBUTAN HARI KELUARGA 2016: PENGUKUHAN INSTITUSI KELUARGA​

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan menjelaskan bahawa institusi keluarga itu wajar dan mesti diperkukuh, kerana kalau tidak, ia akan berantakan.

“Memang wajar institusi keluarga itu mesti diperkukuh, kerana kalau tidak, jawabnya ialah “berantakan”, keluarga berantakan.  Kita tidak tidak mahu keluarga berantakan. Lebih-lebih lagi Islam adalah tidak mahu keluarga berantakan,” tegas Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan Ceramah Perdana bertajuk Pengukuhan Institusi Keluarga sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016 bertempat di Teater Utama, Jabatan Perdana Menteri pada  1 Mei, 2016.

Menurut Yang Berhormat Pehin, keluarga berantakan adalah keluarga malang, tidak bernasib baik dan tidak berbahagia.

Katanya, kita semua sebenarnya, mengimpikan kebahagiaan. Malah Islam sendiri pun telah menunjukkan jalan atau memberi panduan bagaimana kebahagiaan itu boleh dicapai.

Tetapi, katanya kita cuai, tidak mengambil berat terhadapnya.  Kita lebih gemar memilih ‘gaya’ sendiri-sendiri, tanpa menghiraukan petunjuk atau panduan itu. Lalu kerananya jadilah kehidupan ini satu musibah dan keluarga berantakan,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin menegaskan Islam telah menunjukkan bagaimana membina keluarga, iaitu betul-betul seperti kita membina rumah.  Mula-mula tapaknya, kita carilah tapak yang baik; kemudian dilihat pula bahan-bahan binaannya.

Maka demikian itulah juga dengan membina rumahtangga atau keluarga, tapak dan bahan, tidak boleh tidak, mesti diperinci.

Menurutnya, tapak itu ialah pasangan suami isteri iaitu wadah untuk melahirkan keturunan, dan keturunan itulah ibarat tumbuh-tumbuhan.  Dari tapak yang baik akan tumbuh benih yang baik pula.

Selepas tapak, katanya berbangkit pula “bahan binaan”.  Bahan binaan itu ialah “siapa” dia calon isteri itu.

“Selepas tapak, berbangkit pula “bahan binaan”.  Apa ia bahan binaan itu?  Bahan binaan ialah “siapa” dia calon isteri itu.  Bukan batang tubuhnya, tetapi siapa dia?  Apa yang ada padanya, isi manusianya, nilai dalamannya?  Brandnya?  Capnya?” tegas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda (maksudnya):  “Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara  (empat jenis brand): (1) Kerana hartanya, (2) kerana keturunannya, (3) kerana kecantikkannya, dan (4) kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama supaya engkau berbahagia.”

Menurut Yang Berhormat Pehin, hadits tersebut  turut melayani naluri manusia.  Ia mula-mula menyebut harta, kemudian keturunan, kemudian kecantikkan dan akhir sekali baru agama.

Secara umumnya, tegasnya semua orang adalah suka dan mahu kepada harta, mahu kepada keturunan yang baik, mahu kepada kecantikkan disamping agama. 

Tetapi agama di sini, tegasnya disebut oleh Nabi paling terkemudian, Mengapa?  Kerana Baginda ingin mempromosi agama itu dari yang lain-lain. 

“Agama sedia diketahui, banyak yang dikawalnya, atau macam-macam pantang larangnya.  Kerana itu apabila agama disebut, maka ramailah orang mungkin rimas atau kurang selesa.  Tetapi menurut Nabi, dalam perkara membina keluarga atau rumahtangga khasnya, bahan atau brand agama inilah yang mesti diutamakan, bukan lain-lain bahan atau brand,” tegasnya.

Begitu juga dalam memilih calon suami.  Memilih calon suami, tegas Yang Berhormat Pehin dilihat juga pada brandnya.  Janganlah memilih calon suami yang handsome, kaya, baik keturunan tetapi bercampur dengan fasik.

Yang Berhormat Pehin menegaskan demikian berdasarkan petunjuk Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasalam, sebagaimana sabda Baginda (bermaksud):  “Barangsiapa yang mengahwinkan anak perempuannya dengan seorang fasik, maka dia telah memutuskan hubungan kekeluargaan dengan anaknya itu.”

Menurut Yang Berhormat Pehin, jalan keluar bagi perkara tersebut mengikut  Nabi Shallallahu  ‘Alaihi wasallam ialah sebagaimana sabda Baginda (bermaksud):  “Apabila datang kepada kamu seorang lelaki (untuk meminang), yang kamu bersetuju tentang agama dan akhlaknya, maka kamu kahwinkanlah dia.  Jika kamu tidak melakukannya, adalah satu fitnah dan kerosakkan besar akan berlaku di muka bumi.”

Perhatikan dan lihat, tegas Yang Berhormat Pehin di dalam hadits tersebut juga Nabi tidak menyebut harta, keturunan dan kecantikkan, tetapi Baginda hanya menyebut agama dan akhlak semata-mata.  Kalau datang kepada kita pinangan daripada seorang lelaki, dan kita tahu lelaki itu bagus agama dan akhlaknya, Nabi terus sahaja menyuruh menerimanya tanpa sebarang dolak dalik.

Mengapa perkara memilih isteri dan suami ini sangat-sangat diambil berat oleh Islam, katanya kerana Islam  mahu supaya pasangan-pasangan itu kekal berbahagia, Islam mahu supaya keluarga atau rumah tangga yang dibina itu kukuh dan tidak berantakan.

Katanya, rumah tangga yang selamat dan berbahagia adalah rumah tangga yang tidak ada perang di dalamnya, yang tidak ada konfrantasi dan gelombang besar.

Menurutnya perang dan gelombang besar boleh terjadi di dalam rumah tangga,  kalau keluarga itu keluarga Islam, ialah kerana tipisnya akidah, iman dan pegangan agama yang lemah.

“Bagaimana tidak berantakan, kalau dalam rumah tangga itu misalnya, terdapat suami atau isteri yang curang?  Atau terdapat suami yang tidak menunaikan tanggungjawabnya selaku suami?  Berbulan-bulan malah bertahun-tahun tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.  Malah bukan setakat tidak memberi nafkah sahaja, kadang-kadang sampai mendera:  mendera mental dan fizikal isteri.

“Biasanya, kalau sudah berlaku keadaan seperti ini, maka rumah tangga pun adalah sukar untuk dipertahankan lagi, ibarat bangunan yang dilanda gempa kuat, mula-mula bergoncang dan tidak lama kemudian akan renap menyembah bumi,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, keruntuhan rumah tangga umat Islam, tidak boleh dipandang ringan kerana akibatnya sangat buruk.

Rumah tangga yang runtuh, tegasnya bukan sahaja ia sendiri yang runtuh, bahkan kesannya juga boleh menimpa generasi-generasi yang ada.  Generasi-generasi itu akan turut terjejas, dan jika generasi terjejas, bermakna bangsa dan umat juga akan terjejas.

Menurut Yang Berhormat Pehin, di Brunei, perceraian adalah membimbangkan.  Menurut Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, peningkatan perceraian dilihat mendadak.  Dalam tahun 2014, perceraian telah dicatat sebanyak 259 kes, berbanding tahun 2015 meningkat kepada 524 kes (dalam masa kurang setahun sahaja angka itu telah melebihi sekali ganda).

Melihat gambaran mengenai peningkatan perceraian itu, pada hemat Yang Berhormat Pehin, kalau kita cuma asyik bersemboyan-semboyan atau berteori sahaja, dikhuatiri hasrat pengukuhan akan tinggal jadi mimpi indah sahaja.

Oleh itu, katanya ke arah untuk betul-betul memperkukuh institusi keluarga itu, kita mestilah merancang dengan rancangan-rancangan yang praktikal iaitu dengan memperbaiki keadaan, menumpukan usaha untuk mencegah peningkatan itu dari terus berlaku.  Kita sudah tahu institusi keluarga itu rapuh dan lemah, maka mari kita cari jalan untuk merawat kerapuhan itu.

Untuk mengubati penyakit ini, tegas Yang Berhormat Pehin kita mestilah memakai “cara ketuhanan”.  Tidak memadai dengan cara yang kita cipta sendiri-sendiri, seperti dengan hanya mengadakan acara-acara hari keluarga, berupa perkumpulan-perkumpulan ramai antara keluarga, makan-minum sambil berkelah atau bersukan atau bernyanyi-nyanyi dan menari.

Katanya, bukan itu cara merawat penyakit masyarakat dan penyakit rumah tangga, tetapi kita diminta rujuk kepada Allah dengan memakai metode dan disiplin ketuhanan iaitu dengan mengembangkan dakwah dan nasihat.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa adapun “Jalan Tuhan” itu ialah semua yang bernama kebajikkan, termasuk adil, ihsan, kasih sayang dalam rumah tangga, anak-anak berbakti, sopan dan hormat kepada ibu bapa, mengikut nasihat, tidak melawan dan tidak menderhakai ibu bapa.

Menurutnya, bermacam-macam cara atau saluran dakwah dan nasihat bagi mengubati penyakit masyarakat dan keluarga itu, antaranya paling mustahak dan berkesan ialah dakwah melalui pendidikan.  Sebab itu, dalam sistem pendidikan, tidak boleh tidak, subjek Ugama mesti ia berdaulat menjadi subjek wajib.  Kemudian dakwah umum, melalui kaunseling, melalui ceramah-ceramah motivasi, kuliah-kuliah, dokumentari filem, melalui mimbar, rancangan-rancangan khas di kaca TV dan lain-lain.

Beralih kepada anak-anak dalam rumah tangga, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa anak-anak adalah juga berperanan sangat besar dalam rumah tangga.  Peranan mereka yang paling mencabar dan malah wajib, tegasnya ialah berlaku ihsan terhadap kedua ibu bapa dan jangan menjadi anak derhaka kerana padah derhaka itu adalah amat buruk.

“Oleh itu, berusahalah kita supaya jangan sekali-kali terjebak kepada perbuatan derhaka.  Perbuatan derhaka itu banyak, tidak terbatas hanya kepada mengikat atau menambat ibu bapa.  Mengikat atau menambat itu sudah sangat teruk, malah al-Qur’an mengingatkan hanya setakat berkata-kata yang boleh menyinggung atau melukakan perasaan ibu bapa, walaupun sekadar perkataan “ah!” sahaja, apatah lagi menengking, semua itu sudah jadi derhaka jika dibuat.

“Kerana itu, orang-orang salaf (orang-orang di awal Islam) dahulu cukup berjaga-jaga ini.  Ibu bapa sendiri turut menjaga, jangan anak-anak mereka sampai terjebak kepada penderhakaan,” tegasnya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, anak-anak yang baik cukup berhati-hati mengawal diri mereka supaya tidak terjatuh ke dalam perangkap derhaka ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya memperingatkan bahawa doa ibu itu adalah hebat, makbul dan tidak ada lapisan atau dinding diantaranya dengan Allah.